Aktivis yang mengadakan perhimpunan nyalaan lilin untuk memperingati perhimpunan BERSIH 3.0 malam tadi menyifatkan kerajaan menggunakan taktik menakut-nakutkan rakyat dalam menghadapi perhimpunan tersebut sejak sebulan lalu.

Anggota jawatankuasa pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata kerajaan bertindak "habis-habisan" dalam memburu anggota jawatankuasa tersebut dan juga penyokong mereka selepas perhimpunan 28 April.

Bersih vigil Maria Chin AbdullahKatanya, jawatankuasa gabungan NGO itu terkejut dengan dakwaan bahawa polis sekali lagi bertindak ganas dengan memukul orang yang diburu itu, selepas individu berkenaan menyerah diri, seperti yang dialami Mohd Safuan Mamat.

Katanya, orang yang menyerah diri tidak menjangka untuk dipukul, "tapi tidak dalam kes ini."

Polis juga hanya mendedahkan 36 nama daripada 141 orang yang dikehendaki itu, katanya yang mahu polis mendedahkan nama lebih 100 yang lain.

"Tujuan mereka adalah untuk mewujudkan ketakutan di kalangan orang ramai," katanya.

Beliau bersama pemimpin aktivis lain termasuk pengarah eksekutif Suaram E Nalini dan setiausaha agung PSM S Arutchelvan bersama 30 yang lain menyertai perhimpunan nyalaan lilin itu.