Rakyat Pulau Pinang harus hargai jasa BN, kata Muhyiddin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
GEORGETOWN - Rakyat Pulau Pinang hari ini diingatkan agar tidak memandang ringan sumbangan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan negeri ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa pembangunan yang dikecapi rakyat negeri ini adalah hasil sumbangan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri semasa zaman pemerintahan BN.

"Saya bukan mahu mendabik dada tentang apa yang telah BN lakukan sebelum ini. Ini untuk mengingatkan rakyat atas apa yang telah kita lakukan.

"Rakyat mesti diberikan kefahaman yang betul. Sumbangan kerajaan pusat amat besar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan warga industri bersama Timbalan Perdana Menteri di sini.

Beliau berkata, tidak banyak negara di dunia yang mengambil berat soal kebajikan rakyat seperti yang dilakukan oleh BN yang terus menyalurkan bantuan kepada semua termasuk negeri-negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang. - Bernama