Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata presiden MCA Datuk Ser Dr Chua Soi Lek tidak berhak untuk bercakap soal hudud kerana tiada kepakaran dalam perundangan Islam.

“Perkara berkaitan agama ini sudah tetap, jadi jangan caci atau hina hal yang berkaitan akidah, ia hanya menunjukkan kebiadaban kita sahaja,” katanya seperti dipetik akhbar Sinar Harian hari ini.
NONEBeliau mengulas kenyataan Chua pada minggu lalu yang menjangkakan bahawa pelaksanaan hudud akan menjejaskan pekerjaan 1.2 juta rakyat negara ini – termasuk di pusat judi dan rumah urut.

Isu pelaksanaan hudud juga dibangkitkan dalam perhimpunan agung MCA pada hujung minggu lalu.

Harussani berkata, kelemahan penguatkuasaan undang-undang membuatkan pemimpin politik lantang membuat kenyataan mengenai hudud.

“Inilah kelemahan kita, undang-undang sudah ada tetapi tidak dijalankan dengan baik. Sebagai rakyat yang tinggal di negara ini, kita perlu hormati perlembagaan termasuk Islam sebagai agama rasmi,” katanya lagi seperti dipetik akhbar itu.