Seorang pekerja aksesori kereta ditembak seorang lelaki ketika cuba membantu dua wanita yang cuba diragut lelaki itu di sebuah restoran di Jalan Gelen, Kampung Baru, Sungai Buloh, di Kuala Lumpur petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Tuah Nasrom berkata dalam kejadian 5.20 petang itu, dua wanita yang berumur lingkungan 30-an dikatakan sedang minum di restoran tersebut sebelum didatangi seorang lelaki yang mengugut supaya menyerahkan beg tangan salah seorang wanita berkenaan.

"Hasil siasatan awal kita mendapati berlaku pergelutan di antara suspek dan salah seorang wanita berkenaan sebelum seorang lelaki yang bekerja di kedai aksesori kereta bersebelahan restoran itu datang membantu.

"Tindakan mangsa yang cuba membantu telah menyebabkan suspek melepaskan tiga das tembakan yang mana satu daripadanya terkena bahagian dada mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama, di Kuala Lumpur malam ini.

Tuah berkata suspek yang panik gagal merampas beg tangan wanita tersebut dan terus melarikan diri bersama tiga lagi rakannya yang menunggu di luar restoran menggunakan dua buah motosikal.

Katanya mangsa kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - mk