Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, December 14, 2008

Kampung Tradisional Di tengah Rimba

Saya nak ceritakan macam mana syaitan menggoyahkan pendirian dan iman kita. Perkara ini berlaku bukan kepada saya tetapi adik angkat saya. Walau disifatkan adik, dia hanya 4 bulan lebih muda dari saya. Saya, dia dan enam orang lagi rakan di dalam Persatuan Mendaki Kelantan cuba meneroka trek dari Gunung Tahan melalui Pekan Merapoh ke Kuala Koh, Taman Negara di sebelah Kelantan.

Di hari kedua kami bertolak dari Kem Kol pada paginya dan waktu itu sudah hampir maghrib. Adik angkat saya berada bersama group di hadapan saya dengan 2 orang lagi rakan. Saya dan seorang rakan terpaksa memapah salah seorang anggota kumpulan yang cedera agak teruk di kaki. Saya memapah dan seorang rakan lain terpaksa memikul 2 hoversack, satu yang sendiri punya dan satu lagi kepunyaan kawan yang cedera itu.

Disebabkan saya bertiga ini perlahan kerana terpaksa memapah, saya suruh adik angkat saya dan dua rakan jalan dulu, jangan tunggu kerana akan membazirkan masa. Rakan yang 2 orang lagi terdahulu sudah jauh ke hadapan. Kami berjanji akan bermalam di Kem 2490 sekarang dikenali dengan Kem Mengkuang.

Sekarang hari sudah gelap dan terpaksa menggunakan lampu suluh. Sedang saya asyik berjalan dan mengelamun tiba-tiba kawan yang bawa hoversack tadi berhenti dan berkata " Eh.. Din, kenapa trek tiba-tiba ditutupi dengan pokok rotan yang padat dan berduri?, pelik ni!" Memang saya dapati kawasan yang sepatutnya trek dipenuhi pokok rotan yang padat dan mustahil boleh bolos. Tempat itu saya jangkakan sejam perjalanan biasa dari Kem 2490. Saya kata "Ok, kita rehat dan tunggu". Saya terpaksa tenangkan kawan yang membawa hoversack yang mula nampak cemas. Seorang lagi sakit, dah tidak paduli apa-apa pun.

Selepas lebih kurang setengah jam, saya bangun dan menyuluh trek, masih hutan rotan!. Saya pun berkata dengan kuat "Ok, kalau kau tak nak buka, aku akan tidur di sini. Kalau kau rajin sangat nak jaga kami, kau tunggulah sampai pagi esok. Aku nak tidur" Saya berpura-pura minta kawan saya tadi bersiap untuk masak. Saya berkata selepas makan kita tidur saja di sini. Tidak sampai pun 20 minit saya bangun dan menyuluh trek kembali dan saya dapati trek sudah nampak dengan jelasnya. Kami meneruskan perjalanan dan lebih kurang 1 1/2 jam berjalan, kami tiba di Kem 2490 di mana semua anggota telah berada di situ. Kami memasak, solat dan makan malam.

Selepas solat adik angkat saya bercerita yang dia dan dua rakan, selepas meninggalkan saya di satu lereng bukit dia telah masuk ke satu kampung tradisional Melayu melalui pintu pagar di bahagian belakang. Kampung itu di pagari dengan pagar dari kayu dan berpintu. Dia masuk dan berjalan melalui celah-celah rumah orang dan keluar ikut pintu pagar di bahagian hadapan kampung itu. Dia tahu pintu itu pintu hadapan sebab semua tangga rumah menghadap ke arah pintu yang dia keluar. Katanya rumah-rumah di situ dari papan dan beratapkan daun tetapi tidak berjumpa dengan seorang pun penghuninya. Sunyi sepi saja. Keadaannya tersusun dengan cantik dan teratur. Tidak lama selepas melewati kampung itu dia dan kawan-kawan sampai di Kem 2490 di mana dua orang rakan yang terdahulu sudah menanti dengan kopi panas. Sebenarnya tempat yang dikatakan perkempungan itu adalah tempat di mana saya tersekat oleh pokok-pokok rotan yang tebal tadi.

Diringkaskan cerita, selang beberapa bulan selepas kami balik adik angkat saya tadi jatuh pengsan ketika sedang membaiki basikal anaknya. Di bawa ke HUSM Kubang Kerian. Setalah di scan dan dilakukan pemeriksaan lanjut, dia didapati menghidap barah otak. Dari situ dia mula goyang dengan mengatakan dia sakit kerana memasuki kampung di gunung itu tanpa izin. Sakit dia disebabkan orang halus dan sebagainya. Puas saya pujuknya dengan mengatakan semuanya adalah ujian dan taqdir Allah yang perlu kita redhoi. Tapi susah dia nak terima penjelasan saya.

Akhirnya alhamdulillah, selepas membuat pembedahan di Hospital Ampang Puteri, dia kembali ok. Cuma anggota di sebelah kanannya separuh lumpuh tapi masih boleh drive. Apabila dia balik dari Ampang Puteri dia mula putus asa dan mengatakan Allah tidak memakbulkan doanya. Iserinya juga tersiksa kerana dia telah berubah sikap jadi pemarah dan serba tidak kena. Anak-anaknya pun tertekan sehingga anak keduanya saya bawa balik dan bela di rumah saya.

Pada satu malam, saya kerumahnya. Hanya dia dan isterinya saja ada di rumah. Selepas minum saya panggil dia dan saya mulakan kaunseling. Saya ceritakan berkenaan Allah dan Rasul. Rahmat dan Nikmat. Taqdir dan Iman. Akhirnya dia menangis sedar. Selepas itu alhamdulillah sikapnya berubah dan lebih rajin berdoa dan tidak lama selepas itu dia menunaikan haji bersama isteri.

Itulah salah satu cara syaitan memperdayakan kita dengan menggoyahkan keyakinan kita kepada Allah dan menyalahkan taqdir serta Allah tidak adil. Kita senang terjerat rupanya!.

26 comments:

  1. uncle, tak semua insan tabah terima ujian. alhamdulillah, adik uncle tuh punya seorang abang yang boleh menasihatinya ...kalau tak,pasti dia gagal ujian tersebut.

    ReplyDelete
  2. erisya,

    Entahlah uncle pun tidak tahu kat mana yang membuat orang mudah dilembutkan. Satu masa Jabatan Belia kumpulkan penuntut nakal dari 6 buah sekolah menengah dan serahkan kepada uncle selama 6 hari.

    Alhamdulillah, selepas itu bila uncle dapat maklum balas dari sekolah masing-masing menyatakan 80% daripadanya telah berubah sikap.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Tuan.Bayak yang boleh saya pelajari dari n3 nie dan keseluruhan n3 tuan..Semoga tuan sentiasa sehat sejahtera hendaknya

    ReplyDelete
  4. semoga adik uncle itu tabah & diberi kekuatan menghadapi penyakitnya...

    ReplyDelete
  5. Sdr. mogen.

    Itulah tujuan semua n3 saya. Kita ambil pengajaran bersama.

    Terima kasih di atas doa sdr. dan saya juga mengaharapkan sdr. sihat dan selamat sepanjang masa.

    ReplyDelete
  6. leiah,

    Alhamdulillah sekarang kesihatannya lebih baik dari semasa ke semasa.

    ReplyDelete
  7. alhamdulillah uncle punya kelebihan untuk mendidik...moga usaha uncle mendapat ganjaran dari-Nya .aminnnn

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,
    Tak sangka pulak saya yang cerita ini akan berakhir begitu.

    Baru-baru ini saya terserempak dengan seorang mualaf yang menyalahkan takdir dan menganggap Tuhan tidak begitu adil. lalu saya beritahu dia begini:

    "Ada seorang rakan yang sering membantu saya dalam kesulitan. Namun tiba-tiba rakan itu bertindak memusuhi saya. Tanpa disangka, muncul orang lain pula yang menolong saya."

    Saya beritahu si mualaf itu bahawa mesej cerita tersebut ialah Allah nak sedarkan saya agar jangan sampai menganggap bahawa manusia yang menolong saya selama ini sebaliknya Allah lah yang menolong saya. Dalam cerita tadi orang yang diharapkan sudah tidak mahu menolong lagi dan tiba-tiba orang lain pula yang datang menolong. Jadi, siapa yang menolong saya sebenarnya?

    ReplyDelete
  9. Salam Tuan,

    Satu pengajaran dan nasihat yang baik, insyallah....

    ReplyDelete
  10. erisya,

    Uncle buat semampu yang boleh dengan lillahi taala. Selebihnya itu serahkan kepadaNya.

    ReplyDelete
  11. W'salam sdr. Demang.

    Itulah masalahnya orang kita. Mereka terlalu bergantung kepada manusia sebagaimana kata Demang. Mereka lupa segala-galanya dari Allah, Tuhan semesta alam.

    Dia yamg memberi, Dia yang mengambil kembali. Dia yang menghantar penyakit dan Dia juga yang mnyembuhkannya. Kita hanyalah berikhtiar dan bertawakkal.

    Sdr.,

    Tentang si Surind tu membuat saya menggelegak. Bila saya baca apa yang dia tulis, saya terus ke Laman Kementerian Dalam Negeri dan isikan Borang Aduan dan sertakan pautan ke Blognya.

    Mengikut maklum balas dari KDN, mereka menjalankan siasatan. Memang manusia yang lupa daratan macam ini tidak boleh dibiarkan hidup di Malaysia.

    ReplyDelete
  12. W'salam sdr. Isa.

    Apa yang paparkan adalah apa yang saya sendiri lalui. Jadi kita ambillah apa-apa yang menjadi pengajaran mana yang patut.

    Hakikatnya daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.

    Wallahu aklam.

    ReplyDelete
  13. Terima kasih, ayahanda..
    Anakanda akan lebih kuat menghadapi cabaran hidup dan segala kesilapan2 org masuk hutan pada cerita2 ayahanda akan anakanda elak sedaya upaya. Ni nak pegi Gunung Ledang ni anakanda sedang buat persediaan rohani dan jasmani.. Seelok2nya anakanda akan minta izin dahulu untuk memasuki kawasan2 yang dirasakan pelik dan diyakini 'dipunyai' makhluk2 Allah yang halus. Terima kasih ayahanda, kerana menyedarkan anakanda bahawa semua yang berlaku sudah ketentuanNya, akan tetapi apa yang mampu kita lakukan ialah berusaha mencegah perkara yang tidak diingini, berusaha menerima dan bergantung harap kepadaNya.. :)

    ReplyDelete
  14. dua kali baca, baru nampak kat mana sesatnya... iya ler, depa tak ada kuasa pun, hanya Allahlah yang Memberi segala.

    ReplyDelete
  15. Anakanda Galoh,

    Anakanda akan ke Gunung Ledang. Gunung Ledang memang banyak cerita yang tidak enak di dengar. Sesat, jatuh dan gangguan makhluk halus.

    Anakanda mesti tegapkan kepercayaan dan bergantung harap kepada Allah, mantapkan iman dan percaya kepada kebolehan diri sendiri. Tentang minta izin pada tempat tertentu tu, ayahanda kurang setuju. Sebab kalau ditakdir makhluk yang ada di situ Islam, ok. Sebab kita masuk dengan salam dan berhemah tetapi sekiranya yang ada di situ terdiri dari makhluk kafir, mereka akan gembira sebab kononnya kita tunduk kepada mereka dengan meinta izin dan salam.

    Ingat dalam n3 dulu ayahanda ada mengatakan kenapa kita harus lemah dan tunduk kepada mereka, sedangkan kita adalah makhluk yang lebih mulia yang diamanahkan oleh Allah sebagai Khalifahnya di dunia. Jangan sekali-kali kita ingat mereka lebih berkuasa dari kita.

    Caranya ialah sebelum masuk, di kaki gunung berikan salam kepada semua makhluk rimba, katakan "aku datang sebagai tetamu nabi Allah Ilyas dengan izin Allah. Semua penghuni rimba mesti tunduk dan hormatkan aku". Niatkan yang kita memang menjadi tetamu Nabi Ilyas. Itulah petua yang dijar oleh Guru ayahanda.

    ReplyDelete
  16. Mak Su,

    Begitulah Mak Su, makhluk ini telah benjanji kepada Allah untuk merusakkan anak Adam dengan apa cara sekali pun. Tidak boleh berkasar, mereka gunakan cara halus dan mereka ada kaedah yang berbagai.

    ReplyDelete
  17. Salam Saudaraku Fakharuddin,

    Ketabahan saudara teruji.
    Keberanian saudara dipuji.
    Keikhlasan saudara disaji.
    Ilmu saudara diulangkaji.
    Ilmu guru mata gergaji.
    ke kiri ditaji
    ke kanan ditusuki
    Sebagai sandaran sebelum mati
    Sebagai bekalan di Barzakh nanti.

    Salam persaudaraan

    ReplyDelete
  18. W'salam sdrku Mohd. Sofi.

    Hamba hanya manusia biasa
    Tiada lebih di antara kita
    Hamba hanya suka bercerita
    Untuk iktibar kepada pembaca

    Apa yang dikata pengalaman semata
    Kebetulannya hamba yang rasa
    Tiada apa daya kita
    Apa yang ada pinjaman Yang Kuasa

    Kita Makhluk berserah saja
    Kepada Allah yang Maha Perkasa
    Apakah yang kita ada
    Selain kurniaan Allah yang Esa

    Usah memuji hamba yang hina
    Kita sebenar tiada bezanya
    Tuan berguru di Johor sana
    Hamba pula di Sekebun Bunga

    Dari mana pun asal kita
    Guru mana pun tetap serupa
    Membela agama niat dan kata
    Tanah Air juga kita tak lupa

    Jalinan persahabatn dengan salam.

    ReplyDelete
  19. Assalamuaalikum Saudara,

    Memang benar, Iman kita lekas goyah. Sebab itu terpaksa kita pahat dihati, fikiran dan perasaan kita bertaut pada Tauhid ALlah swt, Quran dan Rasulnya. Memang kita manusia biasa lekas terpedaya dengan tipu helah syaitan. Tidak siapa pun dari kita terkecuali.

    Simpati saya pada saudara angkat ini. Semoga dia dan keluarga terus tabah menghadapi ujian ini. Dalam kes dia, dia bernasib baik kerana saudara ada membantunya dengan cara saudara sendiri.

    WaAllahuAlam.

    ReplyDelete
  20. Wa alaikumussalam Puan melayuangkat.

    Betul puan. Banyak helah dan banyak caranya syaitan memperdayakan kita, tambah pula masyarakat Melayu ramai yang percaya dengan tahyul dan karut marut.

    Adik angkat saya itu sudah makin pulih dan nampak gembira sekarang. Sebenarnya dia ternganga bila saya tanya dia "ok, sekarang awak sakit dan saya sihat. Adakah awak tahu siapa yang akan mati dulu?" rupanya itu soalan killer dari saya.

    ReplyDelete
  21. Assalamu'alaikum Wr,Wb

    Cerita ini agak menarik untuk di jadikan tauladan bagi penggemar jelajah hutan rimba atau pendaki gunung dan bukit ataupun pulau-pulau, mengikut pengalaman saya semasa tentera dulu cerita yang sebegini sering berlaku malah yang mati dengan sakit mistripun ada

    melihat cara cerita yang di berikan saya yakin makhluk itu adalah terdiri dari orang bunian, atau bangsa Jin islam, yang menghalang track tu adalah pagar kampung mereka supaya tidak di lalui kecuali minta izin, dan adalah cara yang tertentu untuk minta lalu

    Yang terbaik bagi mereka yang cuba mahu ke tempat yang saya katakan itu ialah:
    1. Jangan cakap besar
    2. Jangan buang air tidak tentu
    3. Jangan petik bunga jejarum
    4. Jangan potong atau ganggu akar yang berbentuk U
    5. Jangan usik jika ada jerat denak ayam hutan
    6. Jangan ganggu yang ada di dalam hutan jika tidak perlu

    Kalau boleh bawa limau lelang yang menandakan kita suka pada barang kesukaan mereka, insya Allah selamat

    ReplyDelete
  22. Salam,
    cerita yang menarik dan tertarik..kalau diizinkan, mohon saya 'link' kan blog dan pengalaman ayahanda bersama blog saya yang tak seberapa itu yek. Seronok dengar cerita-cerita hutan ni.Semalam bila bace blog ayahanda, sampai 2jam bace entri-entri yang lama..haha..Saya pun 'gila bercamping' jugak (aktif sebagai pengakap) tapi naik gunung kadang-kadang jelar, tak daye..orang hebat jek yang naik-naik gunung neh :p banyak yang saya boleh belajar dari otai-otai dan 'orang-orang' gunung nih. dan salam perkenalan.

    ReplyDelete
  23. bukan senang nak hadapi kenyataan mengidap barah... apatah lagi barah2 kronik...

    apa pun...


    mati itu pasti yang kekal hanya ALLAH.

    ReplyDelete
  24. Wa alaikumussalam Pak Karamu.

    Begitulah Pak apa yang telah di alami, adik angkat saya sudah nyaris hilang agama kerana percaya benda itu bawa petaka.

    Tentang pantang larang tu Pak, saya sudah diberitahu oleh orang-orang lama cuma yang bawa limau lelang tu, ini baru saya tahu. Itulah untung kita berinteraksi walau pun di alam maya.

    Terima kasih banyak Pak di atas nasihat yang Pak Karamu berikan.

    ReplyDelete
  25. W'salam SilumanSakti.

    Uncle ni tidak boleh dinama otai lagi. Tengok Pak Karamu lagi tahu dari uncle.

    Apa pun terima kasih di atas kunjungan dan penghargaan dengan linkkan ke blog SilumanSakti.

    Uncle paparkan adalah apa yang uncle alami saja. Orang kata ada lagi yang lebih menarik.

    ReplyDelete
  26. Hanis,

    Betul tu. Nak terima hakikat memang sesuatu yang berat. Berperang dengan perasaan, kekecewaan dan sebagainya. Kalau kita tidak kuat, iman akan menjadi mangsa. Iktikad akan goyah.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa