Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, March 14, 2009

Melayu Bergantung Di Dahan Rapuh?

N3 ini bukanlah bertujuan memburukkan sesiapa, tetapi itulah hakikatnya apa yang saya lihat dan alami. Ianya hanyalah sekadar titipan luahan perasaan yang sekian lama terbuku di hati. Saya akui Melayu di jiwa saya masih tebal dan mungkin tidak ada kompromi bila hak dan keistimewaannya disentuh atau dipertikaikan.


Semasa Almarhum Tunku menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew, saya masih buta dan tidak tahu apa-apa di sebalik tindakan politik Almarhum. Tetapi selepas itu saya cuba memahami sedikit demi sedikit apa-apa saja perkara yang berkaitan dengan politik. Seingat saya persaan tidak senang bermula dari zaman Allahyarham Tun Abdul Razak lagi bila beliau menaikkan ramai etnik lain menjadi Timbalan Menteri. Semasa itu saya masih remaja dan baru berada di sekolah menengah. Bermula dari situlah segala kejadian di dalam politik tanah air menarik perhatian saya.


Dilemma, ragu, di persimpangan….. itulah perasaan saya ketika ini. Rasanya saya tidak bersendirian di dalam bab survival Melayu di dalam Negara Malaysia. Kepada siapakah yang boleh diberikan kepercayaan untuk membela dan meneruskan kesinambungan kekuasaan Melayu di negara ini? Ke manakah dan di manakah Melayu akan bergantung harap sebenarnya. Dari pemerhatian saya sejak dari merdeka sehingga kini, kita "Melayu" sudah terlalu banyak kerugian dari segi hak, dari segi agama dan budaya.


Memanglah sepatutnya Perlembagaan Negara akan menjaga hak dan kepentingan bangsa kita dan agama kita. Akan tetapi bolehkah diharapkan kepada Perlembagaan sekiranya Perlembagaan itu sendiri sentiasa terdedah kepada pencerobohan dan pindaan-pindaan yang merugikan kita?


UMNO/BN adalah parti yang memerintah Melayasia lebih daripada 50 tahun dari merdeka sehinggalah sekarang. Memang dari segi fizikalnya UMNO telah membangunkan sosioekonomi kita melalui RMK yang dicipta selepas May 13, 1969. Infra structure dimajukan dan juga kemajuan pelajaran yang memang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Tetapi dalam masa yang sama kita juga mengalami kerugian dari segi fizikal dan rohani akibat dari beberapa pindaan Perlembagaan dan diwujudkan pula akta-akta yang mengikat kita.


Rezab Melayu telah menguncup, kebebasan berdakwah telah diikat. Sepatutnya dakwah perlu dipantau oleh pihak berkuasa agama dan perlu bertindak bila perlu dengan kuasa yang diberikan kepada Raja-Raja Melayu tetapi malangnya kekebalan Raja-Raja dan kuasa-kuasa Raja juga telah dihadkan juga melalui pindaan perlembagaan. Bahasa pun mengalami nasib yang sama. Dianak tirikan dan telah dicacamarbakan dengan istilah-istilah asing pinjaman. Keaslian bahasa juga kian menipis. Keaslian perjuangan UMNO sudah hilang lantaran kemewahan yang kita capai.


Minda kebanyakan pemimpinnya telah berubah dari memperjuangkan kedaulatan negara dan bangsa kepada perjuangan mengumpul harta. Salah satu hasil dari kealpaan UMNO/BNlah Pulau Singapura terlepas dan Pulau Batu Puteh tercicir dari tangan kita. Jadi pada masa hadapan, adakah mereka boleh diharapkan untuk memelihara kedaulatan kita?


Di Parlimen, cuba kita tengok balik peratus wakil Melayu seketika dulu selepas merdeka dari nisbahnya dan bandingkan dengan peratus wakil Melayu di masa kini. Dalam erti kata lain semua yang berkaitan dengan Melayu telah mengalami penyusutan atau penguncupan yang ketara. Orang lain diberi muka dengan hak kita dijadikan galang gantinya. Perkara-perkara ini kita tidak akan terasa sekiranya kita tidak pernah pandang ke belakang dan merenungi masa hadapan.


PAS yang berasaskan Islam dan merupakan sebuah parti yang mempertahan Islam dan cuba memberikan fahaman Islam kepada semua kaum tetapi tidak mengutamakan Bangsa Melayu. Sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan selama lebih 19 tahun, PAS cuba memperkenalkan prinsip kesamarataan di dalam pentadbiranya yang juga merugikan Melayu. Sudah banyak rezab melayu dibebaskan statusnya untuk membolehkan bukan Melayu juga mendapat manafaatnya.


Memang perjuangan asas PAS adalah Islam, tetapi tidakkah Bangsa juga menjadi keutamaan? Kalau tidak takkanlah Rasulallah sayangkan Bangsa Arab sehingga baginda bersabda “Mengutuk/mencaci Bangsa Arab, samalah engkau mencaci aku” Tetapi bagi PAS sayangkan/utamakan bangsa akan dilebel “Asobiyah”. Dan PAS sebagai sebuah parti pembangkang tidak ada apa yang boleh memberikan impak di dalam merancang dan mencadangkan Akta dan sebagainya. Semua itu di dalam bidang kuasa BN sebagai parti pemerintah.


PKR lagi sebuah parti di dalam pakatan longgar PR (Pakatan Rakyat) lagilah tidak boleh digantungkan harap. PKR sendiri adalah parti berbilang kaum dan kaum bukan Melayu mempunyai pengaruh yang besar. Keadilan untuk semua yang diperjuangkannya itu bagus tetapi di dalam konteks survival Melayu, bagi saya amat menggerunkan. Kita tahu Melayu memang jenis bangsa yang naïve bila berhadapan dengan bangsa lain yang penuh kelicikan dengan minda yang memang lebih terkehadapan dari orang-orang kita.


Kekuasaan DAP juga tidak boleh dipandang ringan di dalam PR. Apa yang kita nampak ialah PAS seolah melukut di tepi gantang sahaja. Semua perkara yang melibatkan keputusan politik nampaknya setakat ini PAS terpaksa akur saja. Pendek kata parti-parti bukan melayu semakin kuat dan lantang dengan suara yang keras tetapi parti-parti Melayu pula semakin lemah akibat percakaran akibat dari fahaman politik.


Raja-Raja Melayu pula walau pun dijamin hak dan kuasanya oleh Perlembagaan tetapi malangnya pindaan perlembagaan itu sendiri telah melayukan kuasa dan darjat mereka. Memang pindaan ini memberi impak yang besar kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu. Cuba imbas balik perbahasan Ku Li di Parlimen semasa perbahasan pindaan Perlembagaan yang melibatkan Raja-raja Melayu pada satu masa dulu.


Malang juga pada masa ini selepas pindaan perlembagan tersebut istana seolah-olah hanya berusaha cuba mengekalkan kedudukan mereka dengan mengiakan apa saja yang dilakukan oleh pemerintah walau pun mereka sebenarnya masih lagi Raja Berperlembagaan dan juga pelindung Perlembagaan. Tengok apa yang berlaku di Perak sekarang. Pada hemat saya Sultan bukannya tidak mahu menyelesaikan keadaan yang bercelaru tetapi dari sudut yang lain Sultan juga terpaksa akur dengan kehendak pemerintah. Takkanlah seorang Sultan mahukan dan suka rakyatnya di dalam suasana bercelaru tanpa kententuan yang hakiki.


Apa yang saya cuba perkatakan di sini ialah kita mahukan sebuah parti Melayu yang kukuh dan bersatu menjadi wadah tunggal untuk memperjuangkan Islam dan Melayu yang mampu berkompromi dengan kaum lain tanpa menjejaskan hak-hak kita. Kita boleh hidup dengan aman dengan mengekalkan hak-hak dan kuasa kita ke atas tanah air kita dengan tidak mengabaikan juga hak-hak orang lain yang memang termaktub di dalam perlembagaan.

18 comments:

  1. Salam Ayahanda,

    Sebenarnya tiada apa yang boleh diharapkan dari kepimpinan Melayu, masing2 ada agenda sendiri.

    Hakikatnya melayu secara umum memang jauh ketinggalan dari pelbagai bidang.

    Ini pun berkaitan juga dengan pelbagai faktor. Pemimpin dengan cara pemimpin manakala individu pula dengan sikap masing2, dan masih tebal dengan PHD.

    Jurang kaya miskin pun masih tinggi lagi, entahlah apa malangnya nasib bangsa melayu, dari dulu hingga kini tidak nampak tanda2 boleh bersatu padu.

    ReplyDelete
  2. W'salam anakanda Isa.

    Betul, perkara-perkara itulah yang merunsingkan kita. Terutama untuk generasi akan datang.

    ReplyDelete
  3. rumah kata pergi kubur kata mari so anda punya mulut mahu kasi jaga baik2. masa yg tinggal utk byk2 buat pahala bkn mencari dosa membaca salah org atau menabur fitnah sana sini. byk komentar anda di mana2 dilihat berbau lahanat. cermin dulu kelantan negeri sendiri apa kemajuan yg ada di bwh pas? takkan sebangang itu takleh fikir?

    ReplyDelete
  4. Taiko

    Bagus komen anda yang menunjukkan manusia jenis yang tidak berotak di dalam UMNO. Anda sebenarnya liability kepada UMNO. Jenis tidak mahu buka mata dan hati.

    Anda ingat bila tua saja kubur kata mari, yang muda macam anda ingat tidak akan mampuskah?

    ReplyDelete
  5. Wah, kasar sungguh 'Taiko' tu, Pakdin..

    Agaknya orang UMNO kot..hihihi. tak pun, Pakida.. hahaha.

    Toksah layan lah, orang macam tu banyak dalam dunia siber ni..

    Pakdin, berhati-hati menyentuh perkara berkaitan sultan. Dah 6 orang kena dakwa menghina Sultan Perak..

    Sebenonya, semua ahli politik jaga kantung masing-masing...

    ReplyDelete
  6. Salam sdr. Brahimnyior.

    Ooh.. manusia begitu memang ramai, darah muda katakan.. saya sebenarnya nak dia faham maksud tulisan saya. Saya lama di dalam politik dan banyak perkara yang saya rasa dan lihat.

    Bab Sultan itu, saya bukan menghina tatapi sebenarnya saya simpati. Pada saya Baginda seorang yang bijak. Sebarang keputusannya tentulah mempunyai makna yang mungkin kita gagal fahami.

    Apa pun terima kasih di atas nasihat saudara.

    ReplyDelete
  7. Salam uncle..

    dalam profesion saya (kerjaya sblm berhenti kerja..:)) pun tidak ramai anak melayu.. kalo saya pergi ke seminar @ konvensyen.. ramai dari bangsa tionghua..
    saya melihat analisa keputusan SPM bebaru ni secara sepintas lalu menyatakan 30 ribu pelajar yg mengambil Prinsip Akaun mendpt sijil LCCI, hati tertanya drp 30 ribu brp ribu bilangan anak bangsaku.. ataukah bilangan nya tdk sampai pun 1000

    ReplyDelete
  8. W'salam Kak Yong.

    Zaman uncle dulu lagi teruk. Seingat uncle semasa di tingkatan 3 sekolah inggeris, ada 11 class kesemuanya tetapi melayu yang ada di dalam 2 class teratas hanya tidak lebih dari 5 orang melayu. Guru pula kebanyakannya cina dan india.

    racial pula tinggi ketika itu.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum Saudara,

    Saya juga seperti saudara, semangat Kemelayuan saya amat tebal dan lebih kental dari "Melayu Asli". Saya sayangkan bangsa saya.

    Saya setuju dengan Pendapat saudara. Semoga Allah swt beri kita semua kesedaran, kekuatan dan Perpaduan mengharungi cabaran mendatang.

    WaAllahuAlam.

    ReplyDelete
  10. Wa alaikumussalam Puan melayuangkat.

    Terima kasih di atas sokongan dan berkungsi perasaan yang sama semoga di suatu masa nanti Allah akan ilhamkan suatu wadah yang betul-betul menyakinkan dan menyatukan sebuah bangsa yang memperjuangkan haknya berpaksikan Islam.

    ReplyDelete
  11. salam ayahanda, pada saya, kalaulah melayu semuanya bersatu di bawah satu parti, pasti semua ni takkan berlaku, kan.. saya tengok sekarang ni, kaum lain semuanya macam berlumba2 untuk menjadi lebih berkuasa dari melayu.. mungkin mereka lupa tanah yang mereka pijak ni adalah tanah melayu..

    ReplyDelete
  12. W'salam nurdaniella.

    Sebenarnya itu harapan dan impian ayahanda. Kita akan kuat bila bernaung di bawah satu wadah tanpa pecah belah.

    Tetapi syaratnya ialah satu wadah yang berteraskan Islam dan pemimpinya berperangai Islam.

    ReplyDelete
  13. bnda dh lama berlaku, mcm kata pakdin, ianya bermula dari pimpinan Tun Razak, sudah terlalu lama, dptkah generasi hari ni memperbetulkan semula.

    mungkin Melayu perlu jatuh sejatuh-jatuhnya dulu baru datang satu semangat bersama2 menaikkan semula kedudukan bangsa.

    kerana yang di atas tu mmg bisa jatuh manakala yg dibawah, jika ada nekad dan izin Allah, akan boleh lah naik ke atas. itu fitrahnya.

    pada masa itu, parti apa pun sudah tak menjadi persoalan lagi.

    buat masa skrg, masing2 tak mahu mengaku kalah dan salah.

    ReplyDelete
  14. Salam kakLuna.

    Perkara bermula sudah lama. Generasi baru selepas 60an tidak akan tahu kalau kurang ambil tahu. Suasan sekarang seolah semua dah naik tocang dan besar kepala. Memang suasana begini tidak menyenangkan pada negara yang berbilang kaum.

    Para pemimpin sepatutnya berbincang dan bermuzakarah sebelum menjadi parah. Bukannya masa untuk mencari kesahalan dan kesilapan siapa. Ini adalah masa untuk cuba perbetulkan keadaan.

    ReplyDelete
  15. Bila bercakap tentang Melayu orang label racist

    bila bercakap tentang agama orang label terorist

    bila beri pendapat kontradik orang label prajudis

    dan

    bila kita diam habis semua hak terhakis

    ReplyDelete
  16. fital.

    Itulah saudara, akhirnya kita yang jadi serba salah. Sebenarnya kita juga pada mula ikut rentak barat melebelkan sesuatu dengan buruk bila tidak sesuai dengan selera mereka. Jadi perkara itu bila lama diguna pakai melekatlah pula pada persepsi kita.

    ReplyDelete
  17. UMNO sekarang hanya memandang wang WAng dan WANG sahaja. Itulah apabila dasar perjuangan tidak berteraskan agama, pegangan yang pragmatik, habis semua tergadai kerana melihat kepentingan kroni dan taukeh.

    Perjuangan PAS lebih baik dari UMNO. Cuba lihat kereta mewah di Kelantan..siapa bawa, orang Melayu. Cuba lihat gedung perniagaan diKelantan, siapa punya? Melayu.
    Nak cari kedai Melayu di Ipoh..Fuhh penat Pak Din ooi!!

    ReplyDelete
  18. Salam rajasedaka.

    Betul kata saudara. Memang kami di sini rasa hidup lebih tenang dan senang. Orang Melayu ramai yang kaya raya dari usaha sendiri selain dari projek anugerah sebagai kroni. Saya memang kenal orang-orang ini.

    Isteri saya pun orang Manjoi dan saya tahu benar keadaan Ipoh dan orang-orang Melayu di Ipoh.

    Cuma di sini (Kelantan) hanya satu perkara yang rasa saya kurang senang ialah bila banyak juga tanah status Rezab Melayu telah diubah status supaya orang lain juga mendapat manafaat.

    Tapi keadaan ini sebenarnya silap orang kita juga, jual kepada bangsa lain dengan harga yang mahal dan status dipinda melalui Majlis Mesyuarat Negeri.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa