Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, April 23, 2013

Mahu undi siapa? — Abdul Azim Roslan

23 APRIL — Ramai yang tersenyum sinis apabila Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen awal bulan ini. Kepenatan berspekulasi selama bertahun-tahun tentang tarikh pembubaran parlimen akhirnya terbalas lelah. Calon-calon yang bertanding merebut kerusi DUN dan Parlimen pula umumnya sudah diketahui ramai. Kini hanya menanti hari pengundian yang seakan tidak siapa yang menjamin pasti apa keputusan yang bakal didapati. Politik gila sedang melanda parti yang sedang perintah dan yang mahu perintah.
Sembang kosong
Terdapat ramai ahli politik jadian yang hanya tahu menaip laju dilaman sosial, tapi sekadar hanya tahu menaip laju. Bercerita tentang hal politik sepatutnya begitu dan begini, seolah dialah pakar sains politik dan ekonomi. Namun apabila ditanya sudahkah mendaftar sebagai pengundi ataupun mahukah pergi mengundi? Maka ahli jadian ini akan diam seribu kelu. Jika ada jawapan pun, kelihatan sedikit dangkal. Apa guna pergi mengundi? Satu undi tidak membawa apa-apa makna perubahan katanya.
Mempunyai pendapat politik tidak salah, bahkan ini hak demokrasi, tetapi menyangka satu undi tidak membawa makna itu salah. Jika semua orang memiliki mentaliti seperti ini, sistem demokrasi akan mandul dan tidak akan dapat disuburkan di Malaysia. Barang kali juga mereka pejuang demokrasi tulen, kerana tidak mendaftar dan tidak mengundi itu juga salah satu hak dalam demokrasi. Namun kita hanya akan diimarahkan dengan kerencaman pendapat politik, dan ia bakal berakhir menjadi sembang politik. Berbunyi bising tapi kosong.
Calon vs parti
Terdapat perdebatan intelektual mengenai apa yang patut menjadi keutamaan semasa mengundi. Adakah perlu mengutamakan calon kemudian barulah parti, atau pun melihat jenama parti terlebih dahulu? Dalam konteks politik di Malaysia, kebanyakkan tokoh politik kepartian menyeru masyarakat dan pengikut mengutamakan lambang parti semasa membuat pilihan mengundi. Realiti pengikut parti politik di Malaysia juga menunjukkan sikap yang sama dengan begitu setia mengundi lambang parti anutannya tidak kira siapa calon yang diletakkan dikawasan itu atas alasan taat kepada keputusan pengurusan tertinggi parti politik. Hal ini amat bermanfaat dan memberi kelebihan kepada survival parti politik terbabit, tetapi ia merupakan satu kerugian besar kepada hak pengundi untuk memilih.
Pengundi yang terpuji seharusnya mempunyai kajian dan penilaian sendiri terhadap latar belakang calon yang ingin dipilih dengan mengambil kira faktor pendidikan, pengalaman dalam bidang politik, kepetahan berhujah, boleh bekerja untuk rakyat, bersikap mesra dengan masyarakat dan mudah untuk didekati. Senarai ini bukan satu bentuk lengkap ciri-ciri yang perlu ada, tetapi ia sekadar contoh terhadap beberapa hal-hal penting yang perlu diambil kira semasa menilai seseorang calon yang telah diletakkan untuk bertanding di dalam kawasan tertentu. Keperluan dan penilaian politik itu senantiasa berubah mengikut tempat dan masa. Ada yang berhujah, jika pengundi meletakkan penilaian calon sebagai perkara teratas, ini akan menyebabkan mereka membelakangi keputusan tertinggi pengurusan parti. Benar. Biarkan ia berlaku. Ini akan memberikan tekanan kepada parti politik terbabit untuk meletakkan calon-calon yang bertanding dibawah lambang mereka dengan mengambil kira aspirasi rakyat yang mahukan calon yang berwibawa. Bukan sekadar melengkapkan senarai calon atau memberikan ruang kepada ahli majlis tertinggi dalam parti mereka untuk bertanding merebut kerusi.
Manifesto parti yang sepatutnya menjadi taruhan pertama semasa membuat penilaian mengundi? Tidak! Ia sepatutnya diletakkan pada tempat yang kedua. Kredibiliti calon masih lagi penting. Bagaimana suatu manifesto atau idea yang baik itu mahu digerakkan kelak jika calon yang terpilih itu nanti tiada nilai yang boleh menggerakkan idea itu? Maka hasilnya, manifesto akan berakhir menjadi sebuah tragedi dan rakyat akan terus dibohongi. Maka tidak hairanlah apabila ada yang menyatakan, manifesto itu bukan janji. Rakyat yang menjadi pengundi harus menguatkan kuasa memilih mereka, agar akhirnya kita tidak terpaksa memilih apa yang telah dipilih untuk kita. Dan lebih malang, pilihan itu sekadar memilih antara yang mana paling kurang buruk!  
Lalang politik
Menjadi lalang dalam politik Malaysia kadang kala sangat sukar. Terutamanya apabila berhadapan dengan sebahagian manusia yang merasakan dirinya berprinsip dengan sekadar mengimani sebuah fikrah parti politik dan setia dengannya. Lalang politik itulah yang sebenarnya berprinsip dalam berpolitik. Manusia yang mendakwa berprinsip itu barangkali lupa, dia sebenarnya hanya tahu menurut dan membatu dengan apa yang diputuskan tanpa banyak soal. Disuruh bersorak mereka bersorak, dan disuruh diam mereka akur untuk diam. Prinsip jenis apakah sebenarnya yang sedang dipegang oleh mereka itu? Prinsip Pak Turut barang kali.   
Tidak memasuki atau dimiliki oleh parti politik tertentu itu tidak salah. Apa yang salah adalah mendakwa orang lain salah hanya kerana tidak memiliki keanggotaan dalam mana-mana politik kepartian. Prinsip itu tidak terlekat atau tergantung pada mana-mana parti politik, tetapi ia amat mendasar kepada apa yang kita pegang dan percaya iaitu kepada fakta dan kebenaran. Manusia yang berprinsip adalah mereka yang senantiasa berpegang teguh kepada dua hal itu, tidak kiralah sama ada mereka itu berparti atau pun tidak. Lalang itu walaupun kelihatan rapuh apabila sentiasa terbuai ke kiri dan ke kanan dek tiupan angin, tetapi jarang benar akar lalang itu tercabut dibawa pergi. Lalang politik itu senantiasa mengakar pada prinsip, tidak kira parti apa. Yang benar itu tetap benar.
Firman politik
Penulisan ini bukan firman-firman politik yang mana wajib untuk diikuti. Tapi ia sekadar mahu menambah celaru dalam dunia politik yang sudah sedia bercelaru. Kecelaruan itu bukan mahu menambah buntu, tapi mahu mencambah idea pemikiran agak kita tidak melulu dalam menghadamkan pilihan dikertas undi itu nanti. Bukankah kita telah diingatkan oleh firman yang satu ini?
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya” [al-Israa’:36] - sumber

# Ada lagi ke yang bangang sehigga tidak tahu menilai dan memilih?

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa