Daim, budaya Ali Baba tidak bermula dengan Anwar
Hazlan Zakaria
KOMEN: Budaya mengaut keuntungan segera atau digelar Ali Baba tidak terjadi selepas penjualan saham syarikat ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan. Ia bermula lebih awal ketika kontrak kerajaan dijual usahawan Melayu secara pukal atau diusahakan melalui kerjasama dengan kontrak lain bagi membuat keuntungan.
Jadi apa yang didakwa Tun Daim Zainuddin bahawa Anwar menjadi puncanya sebenarnya jauh tersasar.
Tun Daim menyalahkan Anwar kerana mengeluarkan slip merah jambu syarikat kepada penyokongnya sehingga menyebabkan budaya usahawan di kalangan Melayu hambar akibat sikap mereka yang lebih gemar meraih keuntangan secara mudah.
“Jadi Melayu ketika itu mudah mencapai kekayaan dan mereka tidak mengusahakan perniagaan. Anda sokong Anwar, anda sokong menteri kewangan, anda dapat saham. Kemudian, jualkan dan jadi kaya. Orang Melayu tidak lagi miliki kemahiran meniaga. Mentaliti ini muncul dan masih kekal sehingga hari ini,” bekas menteri kewangan tersebut dipetik sebagai berkata.
Selaku seorang yang menyaksikan borang merah jambu bagi penawaran umum awalan (IPO) baharu galak diperkatakan, saya mengakui bahawa ia merupakan jalan pintas mencari kekayaan di kalangan bumiputera dan proksi bukan bumiputera, yang mengambil kesempatan darinya.
Tetapi anda perlu sedar bahawa budaya Ali Baba telah diamalkan sebelum itu, malah mungkin sebelum zaman Tun Daim menerajui kewangan di negara ini.
Juga perlu disedari bahawa ketika zaman Daim sendiri, kroni diberi kelebihan mengaut keuntungan tetapi akhirnya mereka mementingkan diri sendiri sehingga negara menanggung kerugian.
Ironinya, mereka ini dianggap Daim sebagai guru yang perlu dirujuk bagi mendapatkan nasihat.
“Bagi saya, kita perlu ambil ahli perniagaan Melayu yang berjaya di sektor swasta dan minta pandangan mereka tentang bagaimana mahu melahirkan usahawan Melayu berjaya.”
Saya sangsi samada mereka jujur bagi memberitahu bahawa kejayaan bermula dengan siapa anda kenali, dan bukan apa yang anda ketahui.
Ia bukah hanya budaya mendapatkan saham syarikat dan menjualknya yang melingkupkan kemahiran meniaga Melayu, tetapi pemberian kontrak kepada kontraktor atau kroni yang tidak mampu melaksanakan projek. Malah Ali Baba juga merujuk kepada penjualan kontrak yang didapati bagi meraih keuntungan segera.
Tetapi kritikan Daim tepat apabila beliau berkata bahawa kerajaan Malaysia terlalu melibatkan diri di dalam perniagaan.
“Kerajaan tidak cekap di dalam perniagaan. Ia hanya tahu memerintah. Jadi mengapa beri wang untuk itu dan ini? Apa yang diketahuinya tentang berniaga?” Daim dilaporkan berkata.
Daim turut dipetik berkata bahawa perdana menteri tidak wajar memangku jawatan menteri kewangan kerana ia merupakan tugas sepenuh masa.
“Perdana Menteri perlu menumpukan kepada mentadbir negara dan memberi wawasan, sementara menteri kewangan melakukan kerjanya. Jika banyak masalah, negara akan musnah. Lihat Argentina. Ia pernah kaya satu ketika dahulu,” kata beliau.
Kata-kata Daim banyak kebenarannya, tetapi serangannya ke atas Anwar lebih bersifat peribadi.
Persoalan utama ialah sebagai seorang Melayu dan bekas menteri kewangan, beliau turut mengaut banyak kekayaan dan membina empayar perniagaan, jadi bagaimanakah Daim melakukannya?
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa