Peguam: Bukti dakwa askar AS tak cukup
21 Mac 2012
WASHINGTON - Peguam yang mewakili seorang askar Amerika Syarikat, yang kini ditahan kerana membunuh 16 rakyat Afghanistan termasuk sembilan kanak-kanak awal minggu lalu, mendakwa pihak berkuasa tidak ada cukup bukti untuk menyabitkan anak guamnya bersalah melakukan tindakan itu.
John Henry Browne berkata, setakat ini tiada bukti forensik terhadap Sarjan Robert Bales, malah tiada pengakuan daripada anggota tentera itu.
Browne juga mengetepikan laporan-laporan bahawa Bales, 38, yang menyertai perkhidmatan tentera AS selepas September 2001, berhadapan dengan masalah kewangan.
Katanya, perkara itu sama sekali tidak relevan dengan kes dihadapi Bales sekarang.
Selepas mengadakan pertemuan dengan Bales, Browne berkata: "Kita semua telah mendengar dakwaan. Saya tidak nampak kerajaan dapat membuktikan (dengan baik)."
Bales sedang ditahan di pusat penahanan tentera di Kansas sementara menunggu perbicaraan, dijangka minggu ini.
Pembunuhan 16 orang awam itu menggugat hubungan AS dengan Kabul dan mencetuskan desakan baru agar Nato mempercepatkan langkah menarik keluar anggota tentera dari Afghanistan.
Setakat ini, Bales hanya satu-satunya suspek kejadian meskipun ada dakwaan mengatakan lebih daripada seorang rakyat AS terlibat. - SH
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa