Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, February 22, 2016

Begini rupanya AG baru?

Muhyiddin terima taklimat SPRM, Bank Negara, Gani mengenai RM2.6 bilion sebelum dipecat
OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Published: 22 February 2016 10:57 AM
Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana tidak berani mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu SRC International Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Februari, 2016.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan beliau dimaklumkan mengenai siasatan terhadap wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kes SRC International Sdn Bhd sebelum pemecatannya pada Julai lalu.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, beliau mendapat taklimat daripada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang turut dipecat daripada jawatan tahun lalu.

"Saya tahu lebih daripada yang anda tahu (penonton). Saya mempunyai keberanian kerana saya mengatakan kebenaran.

"Saya tidak berbohong," katanya dalam satu video yang dimuat naik di blog Din Turtle Original.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno berkata demikian pada satu majlis di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Beliau berkata Gani, Bank Negara dan SPRM menerangkan kepadanya mengenai siasatan itu kerana mereka sedar, sebagai timbalan kepada Najib, beliau (Muhyiddin) berhak tahu terutama ia melibatkan perdana menteri yang juga presiden Umno.

"Saya mendapat malu jika orang ramai kemudian mengetahui saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini. Itulah sebabnya saya meminta taklimat," katanya.

Beliau juga membidas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang disifatkannya tidak berani mendakwa Najib susulan siasatan terhadap SRC International, syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Katanya, panel pengawasan SPRM sendiri mengkaji semula perkara tersebut dan mendapati wujud kes yang kukuh terhadapnya.

"The question is, whether he is brave enough to do it or not (Soalannya ialah, sama ada dia cukup berani melakukannya atau tidak).

"Pasal hakim kata, kalau dia ambil tindakan, dia akan dipecat. Tetapi kalau dia amanah dan bertanggungjawab, dia ambil tindakan," kata Muhyiddin.

Beliau berkata, Apandi sepatutnya memaklumkan kepada rakyat Malaysia, terdapat bukti mencukupi untuk tindakan selanjutnya diambil terhadap Najib.

"Takkan dia (Najib) tak tahu, dia dah belanja pun. Ada bukti-bukti. 3 juta bayar kredit kad. Dan bayar yang lain-lain.

"Dunia mempersoalkan kenapa peguam negara tidak mengambil tindakan," kata Muhyiddin dalam video berkenaan.

Muhyiddin mendakwa, Apandi mengarahkan kes itu ditutup kerana beliau tidak ada keberanian merangka pendakwaan atas Najib.

Muhyiddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamed Noor Abdullah yang berkata, peguam negara tidak berani mendakwa perdana menteri kerana takut dipecat.

Noor berkata, peguam negara sebenarnya dicalonkan perdana menteri walaupun dilantik Yang di-Pertuan Agong.

"Saya rasa bekas hakim perlu menjelaskan ini dengan lebih lanjut," kata Muhyiddin.

Katanya, Najib tidak sepatutnya lepas daripada tindakan pendakwaan hanya kerana Yang di-Pertuan Agong melantik Apandi atas nasihat perdana menteri.

"Saya rasa itu bukan tafsiran yang betul dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Beliau berkata, rakyat Malaysia juga tidak sabar-sabar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu memandangkan peguam negara dan panel SPRM itu mempunyai pandangan berbeza.

Dua panel pengawasan SPRM juga mahu berjumpa Apandi berhubung keputusan beliau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Najib tetapi pertemuan itu dibatalkan baru-baru ini.

Pada 26 Januari, Apandi berkata pihaknya tidak mempunyai bukti mencukupi menyokong tindakan pendakwaan diambil terhadap Najib atas sebarang kesalahan jenayah dalam kes RM2.6 bilion dan SRC International. – 22 Februari, 2016.

2 comments:

  1. lagi bertambah koyak rabak
    tapi depa cuba duk kokyok dah terang lagi bersuloh

    ReplyDelete
  2. Jika wang RM2.6 bilion itu merupakan wang derma, kenapa perlu dikembalikan semula kepada penderma? Kenapa ia tidak dimiliknegarakan? Jika tidak dikembalikan kepada penderma, apakah pula implikasinya? Aku gerenti wang RM2.6 bilion itu bukan merupakan wang derma, tetapi hasil curian dari 1MDB. Tetapi, apa boleh buat, sebabnya individu yang menjalankan undang-undang di Malaysia ini adalah Musang Berjanggut UMNO.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa