Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, December 23, 2016

Apabila keadilan berbeza neraca

Thursday, 22 December 2016

APABILA KEADILAN BERBEZA NERACA

Di Singapura setakat ini sudah tiga orang didakwa dan didapati bersalah berkaitan aktiviti penggubahan wang haram yang ada hubungan dengan 1MDB dan Jho Low.

Pada 11 November 2016, Yak Yew Chee, bekas Naib Presiden Kanan BSI Bank dan pegawai bank persendirian kepada Jho Low, dijatuhi hukuman penjara selama 18 minggu atas kesalahan pemalsuan dan gagal mendedahkan transaksi mencurigakan berkaitan 1MDB.
Beliau juga didenda S$24,000 dan akan menyerahkan S$7.5 juta kepada kerajaan bagi "menunjukkan penyesalan sebenar telah berlaku".

Pada 16 Disember 2016, Yvonne Seah Yew Foong, juga bekas pegawai BSI Bank, dihukum penjara selama dua minggu kerana membantu memalsukan dokumen dan gagal melaporkan urusniaga mencurigakan  yang melibatkan Jho Low dan 1MDB.
Semalam, 21 Disember 2016, seorang lagi pegawai BSI Bank, Yeo Jiawei didapati bersalah oleh mahkamah kerana mengganggu saksi berhubung penyiasatan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Kesalahan itu meletakkan beliau berdepan dengan hukuman penjara selama 7 tahun. Bagaimanapun, hukuman akan diputuskan oleh mahkamah hari ini.

Selain  tiga orang sudah didakwa, dibicara dan didapati bersalah, pihak berkuasa kewangan Singapura juga sudah menutup dua bank, BSI Bank dan Falcon Private Bank di republik itu atas keterlibatan kedua-duanya dalam aktiviti penggubahan wang haram berkaitan 1MDB dan Jho Low.
Jho Low turut dinamakan sebagai orang penting dalam penyiasatan berkaitan penggubahan wang haram 1MDB di Singapura, selain aset-asetnya  sudah dibekukan.

Di Amerika Syarikat, proses pendengaran saman sivil Jabatan Kehakiman negara itu untuk menyita aset dan hartanah berjumlah AS$1 bilion yang didakwa daripada dana 1MDB yang dilencongkan sudah pun bermula pada 12 Disember lalu.

Ia antaranya melibatkan Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz.

Pada peringkat awal ini, selain menolak notis keluarga Jho Low untuk menangguhkan perbicaraan, Hakim Persekutuan Los Angelas juga memutuskan ahli keluarga jutawan muda kelahiran Pulau Pinang dan kenalan keluarga Najib itu tidak boleh campurtangan dalam saman sivil kerajaan Amerika untuk penyitaan tersebut.

Bermakna, perbicaraan akan terus berjalan.
Di Switzerland, proses penyiasatan yang melibatkan penyelewengan dana 1MDB sebanyak AS$4 bilion kerana menggunakan rangkaian bank di negara itu juga sedang dijalankan sejak sekian lama.

Sehingga ini sudah dua kali permohonan bantuan MLA oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland ditolak oleh Peguam Negara Malaysia, tetapi mereka tidak berputus ada dengan mengatakan akan menggunakan cara lain untuk memperolehi pelbagai maklumat yang diperlukan.

Namun, dengan bebasnya Xavier Justo daripada penjara di Thailand dua tiga hari yang lalu dan kini sudah kembali ke Switzerland, perkembangan siasatan di negara itu mungkin lebih menampakkan "cahaya di hujung terowong".

Tidak mustahil Justo akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland untuk membersihkan namanya yang sebelum dipenjara atas kesalahan melakukan ugutan.

Hanya di Malaysia, segala-galanya yang berkaitan 1MDB dan Jho Low tetap kelihatan "suci serta halal"  dan tidak henti-henti dengan jawapan "semuanya masih dalam penyiasatan".

Kenapa neraca keadilan seperti jauh berbeza antara Singapura, Amerika Syarikat, Switzerland dan Malaysia?

Di sinilah peri pentingnya bukan saja Najib disingkirkan, tetapi juga UMNO dan BN dikalahkan dalam PRU 14 akan datang. (SH 22/12/2016).

Anda mungkin juga meminati:

BEBAN 1MDB & JHO LOW, PENGUNDI PRU 14 PASTI PEDULI

PENDAKWAAN DI SWITZERLAND SEHARUSNYA LEBIH MENAKUTKAN NAJIB

SIAPA PULA SELEPAS SWITZERLAND?

NAJIB KIAN TERKEPUNG DENGAN TINDAKAN PENYITAAN AMERIKA

Posted by Shahbudin Husin at 07:45  

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa