Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, December 22, 2016

Kejadian pesawat TUDM terhempas, mendarat cemas

WARTAWAN SINAR HARIAN - 21 DISEMBER 2016

BERIKUT kronologi nahas melibatkan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas dan yang mendarat cemas sejak 1991.

* 22 Oktober 1991 - Jurulatih penerbangan terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas di Kepala Batas, Kedah.

* 27 Februari 1992 - Dua juruterbang terselamat semasa pesawat Pilatus PC-7 yang mereka naiki mendarat cemas di Padang Sekolah Menengah Sanglang, Kedah.

* 11 Julai 1993 - Juruterbang terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas dalam sawah padi Kampung Cemumar, Perlis.

* 13 Oktober 1993 - Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat ringan Cessna 402 yang mereka naiki terhempas di Kampung Seputeh dekat Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur.

* 15 April 1996 - Pesawat Aermacchi MB-339 milik TUDM terhempas kira-kira 30 batu nautika dari Pantai Mersing, Johor, berhampiran dengan Pulau Yu. Juruterbang terselamat.

* 17 April 1996 - Juruterbang pesawat pejuang F-5E terselamat apabila pesawat itu terbakar dan merempuh halangan keselamatan di penghujung landasan Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

* 18 Jun 1996 - Pesawat Hawk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan dekat Pangkalan TUDM, Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecerderaan.

* 23 Julai 1996 - Pesawat pejuang Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan, Labuan. Dua juruterbang terselamat.

* 3 September 1998 - Pesawat MiG-29N yang berpangkalan di Kuantan terhempas di selatan Kampung Jaya Gading, Kuantan, Pahang, kira-kira 6.4km dari pangkalannya, tetapi juruterbangnya terselamat.

* 10 September 1998 - Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk 208 dikendalikannya terhempas di Kuala Betis, Gua Musang, kira-kira 200km dari Kota Bharu, Kelantan.

* 24 Mei 1999 - Pesawat Caribou terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak, menyebabkan semua lima orang di dalamnya terbunuh.

* 2 Oktober 2000 - Pesawat pejuang Hawk 108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan, Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.

* 10 April 2001 -- Juruterbang pelatih maut setelah pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas di sawah berhampiran Kampung Kepala Parit, Kedah.

* 23 Januari 2002 - Pesawat Aermacchi MB-339 terhempas di kawasan hutan Tasik Kenering berhampiran Empangan Air Kala di Gerik, Perak. Dua juruterbang terselamat.

* 12 Ogos 2003 - Juruterbang pelatih wanita terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas di sebuah kebun getah dekat Kampung Lembah Keriang di Sintok, dekat Jitra, Kedah.

* 18 Disember 2003 - Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.

* 27 Mei 2004 - Juruterbang pelatih terbunuh apabila pesawat latihan Pilatus PC-7 terhempas berhampiran Kampung Padang Gelanggang, Sanglang, Kedah.

* 9 Nov 2004 - Pesawat MiG-29N terhempas di ladang kelapa sawit Ketengah Perwira, Kemaman, Terengganu. Juruterbang terselamat.

* 16 Disember 2004 - Juruterbang pelatih dan jurulatihnya terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 dari Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia, Kepala Batas, Kedah, terhempas.

* 23 Jun 2005 - Jet pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM

Labuan, Labuan, mengorbankan juruterbangnya.

* 11 Mei 2006 - Pesawat latihan Pilatus PC-7 milik TUDM terhempas di kawasan sawah di Kampung Ujung Padang, Kedah. Dua juruterbang terselamat.

* 4 Mei 2007 - Pesawat Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.

* 11 September 2009 - Pesawat Pilatus PC-7 Mark II terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah. Dua juruterbang terbunuh.

* 25 Mac 2010 -- Juruterbang terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 Mark II yang dikendalikannya terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.

* 26 Februari 2016 - Pesawat CN235 mendarat cemas di pesisir pantai Kuala Selangor berikutan kerosakan enjin. Kesemua lapan anak kapal terselamat dengan bantuan nelayan.

* 17 Mei 2016 - Jurulatih dan pelatih terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB-339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan, Pahang.

* 4 Oktober 2016 - Helikopter Nuri terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balong, Tawau, Sabah. Sebanyak 14 anggota tentera cedera.

* 21 Disember 2016 -- Juruterbang maut manakala tiga lagi cedera apabila pesawat Beechcraft B200T yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Pesawat Beechcraft B200T antara aset penting TUDM
21 DISEMBER 2016
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pesawat jenis Beechcraft B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, hari ini merupakan antara aset penting TUDM dalam memelihara kedaulatan perairan negara.

Menurut portal rasmi TUDM, di bawah No 16 Skuadron yang secara rasminya ditubuhkan pada 23 Mei 1994 dan beroperasi penuh pada 1 Oktober 1994, pesawat tersebut dipertanggungjawabkan melakukan tugas Penerbangan Pengawasan Maritim yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang.

"Peranan dan tugas utama No 16 Skuadron adalah memberi amaran awal dan lapor segera pengenalan kapal-kapal di perairan dan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE).

"Selain itu, skuadron ini turut mengawasi dan melapor kegiatan di kawasan pelantar minyak dan zon menangkap ikan, mengawasi dan meronda kawasan terumbu yang diduduki dan dituntut serta mengawasi dan melapor kemasukan pendatang tanpa izin dan juga aktiviti pencemaran laut," demikian menurut portal itu.

TUDM memiliki empat pesawat jenis Beechcraft Super King Air B200T Maritime Patrol Aircraft (MPA), termasuk pesawat yang terlibat dalam nahas pada 5.18 petang tadi, untuk rondaan persisir pantai serta laut dekat, selain pesawat PC-130H-30-MP Hercules untuk rondaan laut samudera.

Pesawat ringan dua enjin buatan Beech Aircraft Corporation (sekarang dikenali Hawker Beechcraft Corporation) dari Amerika Syarikat sejak pengeluaran pertama pada 1964 itu digunakan untuk rondaan maritim oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

Ketangkasan kru serta anggota dari No 16 Skuadron yang membawa moto 'JEJAK SAMUDERA' telah bekerjasama menyalur maklumat dan informasi bagi membanteras kegiatan yang salah disisi undang-undang maritim dan negara.

Sehingga kini, No 16 Skuadron juga telah banyak membantu agensi kerajaan yang lain dalam mengurangkan jenayah dan penyeludupan haram di perairan ZEE. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa