Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, May 5, 2017

Hadi disanggah.......

Menyanggah Presiden Pas
04 Mei 2017 | ZOLKHARNAIN ABIDIN
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak seharusnya melihat hanya dirinya atau partinya saja yang mahukan syariah tertegak di negara ini.

Dalam proses pelaksanaan syariah di Malaysia, pendekatan yg digunapakai oleh Amanah ialah "bersendikan Maqasid Syariah". 

Pendekatan ini oleh sebahagian pihak (seperti dlm ucapan Presiden Pas) telah dianggap sebagai pengabaian atau pencuaian terhadap syariah. Anggapan itu adalah meleset dan jauh daripada realiti sebenar serta sembrono.

Ungkapan syariah perlu difahami secara holistik yang tentunya tidak merujuk kepada hukuman dan deraan yang terkandung dalam nas wahyu sahaja.

Apa saja arahan wahyu termasuk arahan berlaku adil, ihsan, berkasih sayang dan memuliakan manusia juga adalah syariah. 

Begitu juga larangan bertindak zalim dan menindas manusia lain, termasuk sebahagian daripada syariah. Semua arahan ini terkandung secara jelas dalam al-Quran.

Meninjau syariah hanya dalam aspek hukuman saja bercanggah dengan identiti syariah itu sendiri yang disifatkan oleh Allah dengan lengkap dan menyeluruh. Aspek hukuman hanyalah salah satu daripada aspek syariah yang ditampilkan dalam beberapa ayat tertentu dan hanya merujuk kepada kesalahan tertentu dalam situasi tertentu dengan syarat dan mekanisme pelaksanaan tertentu. Jika syariah ditinjau dari sudut hukuman saja, syariah akan kelihatan hanya suka menghukum padahal hukuman bukan satu-satunya kaedah menangani persoalan kehidupan manusia dalam ruang lingkup yang luas seluas buana ini.

Syariah keseluruhannya adalah keadilan, rahmah, hikmah dan maslahah. Sebarang dakwaan pelaksanaan syariah tetapi tidak mencapai tujuan yg ditetapkan oleh syariah itu sendiri sebenarnya adalah pengabaian terhadap syariah.

Syariah apa sekiranya pelaksanaan sesuatu hukum yang didakwa hukuman syariah tetapi pelaksanaan hukuman itu tidak mencapai tujuan yang ditetapkan oleh syariah iaitu keadilan dan maslahah? Syariah mana yang mengajar umat ini berbalah, bersengketa bahkan menerakakan pihak yang mahukan pelaksanaan syariah itu mencapai maksudnya?

Maqasid adalah roh syariah. Mengabaikan maqasid menjadikan syariah lesu, beku, tidak realistik bahkan kelihatan kejam dan ganas. Misalnya, gambarkan jika begitu banyak ayat perintah berperang melawan orang kafir yang terkandung di dalam al-Quran dipraktiskan oleh umat Islam Malaysia pada hari ini, apa akan jadi dengan negara ini? Tercapaikah maslahah dengan amalan syariah tanpa maqasid?

Perintah berperang adalah syariah. Jika perintah itu dilaksanakan tanpa mengambil kira tujuan Allah mensyariatkan perintah itu, tentulah negara menjadi rosak dan huru-hara. Padahal, syariah datang membawa kebaikan bukan kerosakan, bahkan al-Quran melarang keras sebarang tindakan yang mencetuskan kerosakan sama ada kepada manusia, alam atau makhluk lain. Jadi, pelaksanaan syariah mesti bersendikan maqasid syariah.

Bagaimana boleh dikata, mengambil maqasid syariah bermaksud mengabaikan syariah, padahal sumber maqasid syariah adalah syariah? Perintah berzakat misalnya, secara jelas dinyatakan tujuannya oleh al-Quran iaitu membersihkan serta menyucikan jiwa pengeluar zakat daripada dosa. Pengeluar zakat beroleh doa kebaikan daripada rasul dan orang beriman yg akhirnya membawa ketenangan dan rahmat dlm kehidupan. Maqasid bukan bersumberkan nafsu tetapi wahyu. Jika mengambil maqasid adalah arahan syariah, bagaimana boleh dikata mengambilnya mengabaikan syariah?

Malaysia bukan Mekah atau Madinah, atau Baghdad dan Basrah. Kita hidup pada era langit terbuka, maklumat tersebar pantas dan manusia semakin kritikal. Pelaksanaan syariah perlu mengambil kira semua realiti itu. Mengambil kira realiti bukan bermakna menundukkan syariah kepada realiti atau waqi'.

Nabi SAW menjawab soalan yang sama degan jawapan yang berbeza apabila ditanya oleh individu berbeza. Itulah kebijaksanaan Nabi hidup bersama realiti. Baginda mengarahkan sahabat mencurahkan sebaldi air ke atas kencing seorang Badwi dalam masjid adalah contoh meraikan realiti.

Jika kebadwian seorang badwi dirai oleh seorang Nabi yang agung, siapa kita untuk mengenepikan realiti kehidupan manusia kini yang bukan lagi badwi? Atau kita rasa kita sudah lebih mulia mengatasi Nabi?

Begitu juga soal keutamaan (aulawiyyat). Berbicara soal aulawiyyat dalam konteks negara bangsa kini, bukan bermaksud melarikan diri daripada kewajipan melaksanakan syariah. Al-Quran sendiri memerintahkan pelaksanaan sesuatu perintah perlu mengambil kira keutamaan. Misalnya, jika seorang anak yang ingin keluar berjihad, pada masa yang sama dia mempunyai ibu ayah yang perlu disantuni, Nabi tidak membenarkannya keluar berjihad. Bukankah jihad untuk meninggikan Islam?

Ketika ini, menjaga nyawa ibu bapa lebih aula daripada keluar ke medan perang.

Amanah melihat pelaksanaan syariah dalam negara ini perlu dilihat dari sudut pandang itu, iaitu sudut pandang maqasid yg mengambil kira realiti (waqi'), aulawiyyat (keutamaan), tawaqqu' (andaian), muwazanah (perimbangan) dan maalat (implikasi).

Adakah melihat pelaksanaan syariah dari sudut pandang itu bercanggah dengan syariah? Adakah sembrono dalam perkara yang dinamakan pelaksanaan syariah sehingga menimbulkan suasana tegang dan menggugat keharmonian serta mencetuskan kekeliruan adalah syariah atau sebahagian daripada syariah?

Presiden Pas tidak seharusnya melihat hanya dirinya atau partinya saja yang mahukan syariah tertegak di negara ini. Amanah ada pendekatannya sendiri yang diyakini berupaya meletakkan syariah pada tempatnya tanpa mengganggu-gugat keharmonian bermasyarakat dan bernegara dengan berteraskan perlembagaan. Bukankah Presiden Pas juga menyeru rakyat menjunjung perlembagaan?

Pemikiran Khawarij yang melihat pelaksanaan syariah secara keras, kasar, tanpa hiraukan suara orang lain bukanlah daripada syariah. Amanah komited dengan syariah, pelaksanaan syariah tetapi bukan dengan kerangka pemikiran Khawarij.

*Penulis Zolkharnain Abidin adalah Pengarah Syariah Amanah.

2 comments:

  1. Pemimpin pas nak dilihat sbg pejuang hukum syariah unggul. Tiada kompromi. Aku bimbang jk hukum hudud terjatuh keatas sanak saudara mrk, dia akan cari pelbagai alasan utk meloloskan diri. Mrk bukan boleh dipercayai sgt. Perangai sama mcm umno

    ReplyDelete
  2. BEGITULAH JADINYA......
    Bila pemimpin dia terima/dapat rasuah/komisyen/baksis apa-apa projek mereka akan spin kata "INFAQ" kpd "perjuange Isle"
    #KER GUANER TUANG PRESIDENG

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa