Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, September 16, 2011

SUHAKAM Kata....

SUHAKAM ulangi syor tubuh JK parlimen hak asasi


ULASAN
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) amat mengalu-alukan pengumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk membatalkan Perisytiharan Darurat sedia ada, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) serta Akta Buang Negeri 1959, dan mengkaji semula dan meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan, termasuk Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Suruhanjaya berpuas hati dengan langkah terkini yang diambil oleh Kerajaan dan ingin memuji Perdana Menteri atas keputusan yang penuh sejarah dan berani untuk melupuskan ordinan darurat, ISA dan undang-undang terhad yang lain yang telah lama dituntut dan dinanti-nantikan rakyat, dan telah digesa secara berterusan oleh suruhanjaya sejak penubuhannya.

Pengumuman yang amat dialu-alukan ini tiba tepat pada masanya untuk semua rakyat Malaysia meraikan Hari Malaysia dan merupakan langkah positif ke arah peningkatan keseluruhan keadaan hak asasi manusia di negara ini.

Ianya merupakan semangat pendekatan “1Malaysia” yang diilhamkan Perdana Menteri sendiri dan selaras dengan ikrar untuk mengkaji semula secara komprehensif Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) apabila beliau memegang jawatan pada tahun 2009.

Besarlah harapan suruhanjaya agar keputusan ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin, dan dengan itu mengarak ke satu era baru untuk Malaysia dalam ia melangkah ke arah menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 dan meletakkan ia di kalangan barisan negara-negara yang menghormati, melindungi dan mempromosi segala aspek hak asasi manusia secara bersungguh-sungguh dan konsisten.

Selaras dengan halatuju baru bagi negara ini, berdasarkan pengiktirafan realiti masa dan keperluan, aspirasi dan kebijaksanaan rakyat, suruhanjaya amatlah berharap agar Kerajaan akan mengadakan usaha baru yang lebih fokus ke arah penyertaan kepada instrumen-instrumen teras hak asasi manusia, yang mana Malaysia telah hanya ratifikasi tiga, dengan reservasi.

Dalam menggubal mana-mana undang-undang baru dan perlu yang berkaitan dengan keselamatan negara, suruhanjaya menggesa pihak kerajaan agar memastikan undang-undang ini bukan sahaja mematuhi peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan tetapi juga prinsip-prinsip dan norma-norma hak asasi manusia antarabangsa, khususnya sebagaimana yang termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, yang Malaysia berkewajipan untuk menegakkannya sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang bertanggungjawab.

Suruhanjaya berharap kepada komitmen Kerajaan yang berterusan dan tanpa henti ke arah perlindungan dan promosi hak asasi rakyat, yang sememangnya menjadi tanggungjawab Kerajaan. Sehubungan dengan ini, Suruhanjaya mengulangi syor bagi penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia sebagai satu mekanisme penting untuk membuat pertimbangan yang lebih berpengetahuan dan fokus mengenai isu-isu hak asasi manusia di kalangan ahli-ahli Parlimen, sekaligus mengukuhkan proses demokrasi berparlimen di negara ini.

Nota: Tan Sri Hasmy Agam adalah pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

1 comment:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa