Hasan dipelawa sertai Perkasa
GUA MUSANG - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu berundur sebagai Menteri Besar kerana tidak lagi layak menerajui Kerajaan Negeri Kelantan, malah tidak wajar bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, banyak sebab menteri besar itu perlu berundur, bukan sahaja disebabkan faktor umur, tetapi juga kelemahan sepanjang lebih 20 tahun memerintah negeri itu.

Nik Abdul Aziz mengetuai Kerajaan Kelantan sejak Pas menguasai negeri itu pada 1990.

Ibrahim yang bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas pada 2008 menggunakan tiket Pas berkata, antara sebab lain kegagalan membawa perubahan ke arah kemajuan masa depan rakyat dan sumber pendapatan kerajaan negeri yang semakin menurun.

"Kalaulah dia terus memegang jawatan itu sudah tentu rakyat akan berdepan dengan banyak masalah.

“Oleh itu saya minta Nik Abdul Aziz berundur sebelum PRU13," katanya di sini.

Ahli Parlimen Pasir Mas ini berkata, penyandang jawatan Menteri Besar perlu dilantik daripada kalangan pemimpin muda yang berpelajaran tinggi dan mempunyai perancangan berwawasan untuk kemajuan rakyat.

Katanya, Nik Abdul Aziz boleh dikatakan memegang jawatan Menteri Besar itu hanya sebagai pemerhati kerana tidak mampu melakukan apa sahaja pembaharuan menyebabkan Kelantan masih mundur dan kurang peluang pekerjaan.

“Kalau nak dikatakan dia layak sebagai mufti tidak juga kerana banyak fatwa yang dikeluarkan bercanggah dengan mufti lain berikutan ada kepentingan politik peribadinya.

“Tambah pula sekarang terikut-ikut telunjuk parti pakatan termasik DAP dan PKR.

"Adalah lebih baik dia berehat sahaja di rumah dan memberi laluan kepada orang yang lebih muda untuk menerajui kerajaan negeri supaya ada perancangan yang berguna," katanya.

Beliau mengakui kelemahan kepimpinan Nik Abdul Aziz itu menyebabkan Kerajaan Pusat menghulurkan pelbagai bantuan khususnya kewangan bagi membangunkan negeri berkenaan sejak dahulu sampai sekarang.

Katanya, rakyat negeri itu juga sudah kurang yakin dengan kemampuan Nik Abdul Aziz terus menerajui Kerajaan Kelantan dan kemungkinan besar menolak Pas pada PRU13.

"Pada hemat saya sudah nampak dengan jelas rakyat semakin muak dengan karenah kepimpinan kerajaan negeri yang lebih mengutamakan kepentingan diri daripada membawa perubahan untuk mereka," katanya.