Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad melihat Buku Perancangan Strategik PPD Batu Pahat yang dirasmikannya di Program Kolokium Pendidikan Daerah Batu Pahat 2012, semalam.
BATU PAHAT – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mahu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan 'rakannya' yang membiayai jet peribadi digunakannya dalam kempen di Sabah dan Sarawak tengah bulan ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menyifatkan pemimpin pembangkang itu ‘cakap tidak serupa bikin’ kerana telah bermewah-mewah ketika belum pun lagi menakluk Putrajaya.

Katanya, tindakan itu jelas bercanggah dengan soal perjuangan untuk rakyat yang dilaungkan pembangkang.

“Saya ada kawan, dia ada private jet (jet persendirian), apabila dia ‘parking’ sahaja satu hari di lapangan terbang Taiwan, dia kena bayar RM50,000 dan ini tak masuk minyak dan sebagainya.

“Saya tak tahu di Malaysia berapa bayarannya tetapi kalau dipinjamkan, kita kena siasat kenapa orang itu sanggup pinjamkan?” katanya selepas merasmikan Kolokium Pendidikan Daerah Batu Pahat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi di sini, semalam.

Menurutnya, Anwar wajar mendedahkan kekayaan sebenarnya dan beliau tertanya-tanya apakah Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli akan halang mana-mana pihak bongkar nilai kekayaan itu.

“Apakah dia (Rafizi) setuju jika ada mana-mana bank dedah akaun bank Ketua Umum? Adakah dia akan kata itu melanggar akta Bafia (Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan)?” katanya.