Tuduhan bahawa seorang calon pilihan raya BN di Terengganu 'membeli' kertas undi daripada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengundi bagi pihak mereka demi memastikan kemenangan parti itu tiada kaitan dengan suruhanjaya itu, kata SPR.

Justeru, timbalan pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar menasihatkan supaya laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat jika terdapat bukti kukuh perbuatan itu, lapor Sinar Harian.

Beliau juga dilapor berkata, SPR tidak menerima sebarang laporan mengatakan ada calon BN merampas, menawar rasuah dan memangkah kertas undi pos petugas-petugas SPR di Jerteh seperti didakwa Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

NONE"SPR menjalankan proses pilihan raya. Bagi mengurus pilihan raya umum, SPR melantik 230,000 petugas sepanjang proses ini. Seramai 100,000 bertugas di pusat mengundi. 

"Secara khususnya, setiap petugas perlu mengikut peraturan yang disediakan dan menjaga tatasusila semasa menjalankan tugas," beliau dipetik sebagai berkata kepada harian itu semalam.

Rafizi semalam mendakwa calon pilihan raya BN Nawi Mohamad "membeli" kertas undi daripada pegawai SPR dan salah seorang daripada mereka pada 4 Mei - sehari sebelum pilihan raya umum - membuat laporan polis.

Sukar kawal kes sebegitu
Laporan polis itu menceritakan dakwaan bagaimana pegawai SPR dipanggil oleh calon BN berkenaan sebelum mereka menyerahkan kertas undi kepada pekerja parti BN.

Rafizi mendakwa empat pegawai SPR menuntut semula kertas undi mereka sehari selepas kertas undi itu dijual kepada calon BN dengan harga RM100 setiap satu.

NONEBagaimanapun, dakwa Rafizi (kanan, berbaju putih), apabila mereka mendapat semula kertas undi tersebut, mendapati kertas undi mereka telah ditanda. Nawi ketika dihubungi KiniTVsemalam menafikannya.

Sementara itu, Wan Ahmad juga dilapor berkata, SPR sukar mengawal setiap petugas yang terlibat dalam kes rasuah seperti itu.

"Setiap petugas yang tidak amanah akan menerimanya, tetapi jika mereka telus dalam pekerjaan mereka, sudah pasti perkara sebegini tidak berlaku.

"SPR tidak ada kuasa menyiasat bagi kes-kes seperti ini dan akan menyerahkan kepada polis. Biarlah polis menyiasat secara terperinci," beliau dipetik sebagai berkata.