oleh Robin Stanley Augustin
KOMEN: Pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) di Malaya dalam dua pilihanraya umum (PRU) terakhir bermakna Sabah dan Sarawak adalah lebih sekadar “deposit tetap”.
Ramai yang menggelarkan dua negeri ini sebagai kuasa penentu, ataupun “kingmaker”, memandangkan MP di sana dapat menentukan siapa yang akan menduduki Putrajaya.
Mujurlah bagi BN dan Perdana Menteri Najib Razak, MP dari Sabah dan Sarawak kekal setia di tengah-tengah apa yang sedang berlaku di negara pada masa ini.
Status “penentu kuasa” ini telah membuatkan kedua-dua negeri mendapat perwakilan yang lebih saksama dalam kabinet, dan barangkali punca pengiktirafan yang sepatutnya dari kerajaan terhadap Hari Malaysia.
Akan tetapi adakah status itu benar-benar hebat?
Adakah ia relevan buat seluruh rakyat Sabah dan Sarawak?
Dalam satu artikel yang disiarkan laman Free Malaysia Today baru-baru ini, NGO hak asasi manusia yang berpangkalan di United Kingdom, presiden Yayasan Borneo’s Plight in Malaysia (Bopim) Daniel John Jambun berkata, isu paling utama di fikiran peserta Bersih 4 di Malaysia Timur adalah status penentu kuasa Sabah dan Sarawak di Putrajaya sejak 2008.
Beliau berkata, sejak Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia, negeri-negeri Borneo hilang kuasa veto mereka dan dipinggirkan sehingga PRU 2008, apabila Sabah dan Sarawak menjadi penentu kepada penubuhan kerajaan persekutuan.
Katanya lagi, jika usul undi tidak percaya terhadap Najib yang diketuai pembangkang berjaya dilakukan, Sabah dan Sarawak akan hilang statusnya sebagai penentu kuasa di Putrajaya, jika MP-nya tidak menyertai usaha itu.
Katanya lagi, usaha kedua-dua negeri itu ke arah autonomi penuh – status yang dimiliki sebelum 16 September 1963 - akan turut menjadi tanda tanya.
Sebaliknya, kata Jambun lagi, 47 MP di Borneo patut bersama-sama dan memastikan sekurang-kurangnya 15 MP di kalangan mereka menjadi sebahagian daripada 30 MP yang dimahukan pembangkang, untuk menyokong usul itu di Parlimen.
10 MP pembangkan di Borneo, katanya lagi, tidak cukup untuk mengekalkan status penentu kuasa Sabah dan Sarawak di Putrajaya.
Pertama-tamanya, penulis merasakan tidak adil dan agak gopoh bagi Jambun untuk mengatakan perkara paling utama dalam peserta Bersih 4 di sana adalah tentang status Sabah dan Sarawak selaku penentu kuasa.
Mereka menyertai perhimpunan di Kota Kinabalu dan Kuching kerana menyokong Bersih 4 dan tuntutannya.
Sementara Sabah dan Sarawak memang mempunyai lebih banyak perwakilan berikutan PRU 2008 – dan menjadikannya sebagai penentu kuasa, ini tidak bermakna mereka tidak lagi dipinggirkan.
Kunjungi sahaja rakyat di Sabah dan Sarawak dan lihat sendiri betapa sukarnya kehidupan mereka, terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.
Bolehkah Jambun secara jujur berkata bahawa kehidupan warga Sabah dan Sarawak adalah lebih baik pasca-2008?
Adakah kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah yang sudah lama menyelubungi dua negeri tersebut?
Bagaimana dengan isu keselamatan, imigresen, infrastruktur yang teruk?
Status penentu kuasa ini mungkin telah memanfaatkan mereka yang kini berada di koridor kuasa, bukannya orang kebanyakan.
Adakah kebimbangan “penentu kuasa” di Sabah dan Sarawak dipertimbangkan terlebih dulu sebelum kerajaan melaksanakan GST? Adakah pandangan dan cadangan mereka diambil?
Dan di sebalik status kita yang dikatakan sebagai penentu kuasa ini, mengapa Perkara 18 dan 20 masih belum dikembalikan?
Status itu tidak menjamin hak kita akan dilindungi, dan begitu juga janji yang dibuat mana-mana organisasi politik.
Ini memang akan sentiasa terjadi selagi politikus meletakkan kepentingan peribadi melebihi rakyat.
Kita juga tidak lagi seharusnya menggalakkan politikus untuk menukar kem atau membentuk puak bagi langkah jangka pendek.
Cara terbaik bagi warga Sabah dan Sarawak untuk memastikan hak mereka dilindungi adalah dengan mengundi pemimpin yang akan memperjuangkan hak-hak, tanpa mengira mereka datang dari parti mana.
Jika semua pemimpin Sabah dan Sarawak bersatu dan memperjuangkan hak bagi negeri mereka, suara kita pastinya akan didengar dan hak kita akan dapat dilindugi.
Komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis di robinstanley@hckmedia.com
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa