Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, September 19, 2017

Bohong berjemaah

Bohong berjemaah, bohong MLM
Mohd Fudzail Mohd Nor  -   Hari ini, 12:44 tengahari
Parodi atau sindiran Jimmy Fallon dalam The Tonight Show di TV Amerika mengenai pertemuan enam minit perdana menteri dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melucukan sekali. Boleh dilihat klipnya di Youtube atau ramai sudah melihatnya melalui Whatsapp dan Facebook.
Parodi yang melucukan itu merumuskan lawatan paling berprofil yang diuar-uarkan oleh seluruh mesin propaganda kerajaan bawah Najib Razak sebagai bahan kempen politik menjelang PRU14.

Sebuah komedi yang mahal harganya untuk dibayar oleh kita semua, rakyat Malaysia yang tidak berdosa dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam membantu memperkukuhkan ekonomi Amerika Syarikat, negara paling kaya (juga paling berhutang) di dunia.

Suara Najib Razak yang kedengaran bergetar tak berkeyakinan, seolah-olah dalam siri The Apprentice itu memang sungguh memalukan dalam apa jua kategori. Sama ada kategori diplomatik, politik, bisnes, drama swasta mahupun komedi taraf Maharaja Lawak.

Mungkin para penasihat seorang yang mengaku pahlawan Boogies itu tidak mengetahui yang Rumah Putih akan menyiarkan rakaman 'strong propositionas' itu untuk dunia tahu apa yang dikelentongkan sebelum, sewaktu dan selepas lawatan kerja yang tidak rasmi itu.

Sudahlah kita menanggung segala kos lobi, perjalanan, penginapan dan wayang, kita juga menawarkan bantuan ekonomi hampir RM80 bilion sebagai rakan yang sama mengaku, “musuh Amerika adalah musuh Malaysia!”

Media perdana kepunyaan Umno terus sahaja mencanangkan kejayaan lawatan bersejarah seorang perdana menteri yang dituduh bersubahat dan dalang kes kleptokrat terbesar di Amerika itu sebagai amat berjaya.

Buat kami yang berada di luar negara, membaca segala berita termasuk tajuk besar di Newsweek, Trump's meeting with Malaysian Crook Najib Reeks of The Swamp menjadikan kami lebih terasa malu sebagai warganegara yang setia, patriotik dan komited terutama menjelang Hari Malaysia yang disambut dengan penuh patriotisme.

Seperti biasa, untuk menutup segala pembohongan dan kemaluan akibat dari ketidakpandaian para penasihat dan perdana menteri sendiri, bermula episod yang lebih memalukan, menjengkelkan, memualkan sebaik ketibaan pulang di KLIA.

Melihat foto-foto hampir seribu penyokong totok dengan segala sepanduk memuji, menyokong, membodek dan memuji seorang politikus, yang sama tersiar di media asing, terasa sungguh malangnya di tahun ke-6o kemerdekaan, ramai yang tetap dengan mentaliti dunia ketiga.

Selama berada di bumi UAE, tidak sekali, ya, tidak sekali kami melihat sewaktu pemergian dan kepulangan lawatan presiden, perdana menteri ke luar negara, diadakan majlis sambutan besar-besaran seperti di Malaysia.

Tidak pasti di negara-negara lain, mungkin Korea Utara dan Zimbabwe.

Sandiwara sambutan yang membazirkan waktu, wang, tenaga dan tidak mendapat manfaat apa-apa selain rasa syok sendiri dalam pembohongan berterusan.

Ucapan sambutan juga penuh dengan pembohongan. Bercampur riak, angkuh dan kebodohan terlampau. Wajah yang tidak langsung menggambarkan ketelusan.

Beginilah selepas enam dekad kemerdekaan, rakyat terus mahu diperbodohkan seakan masih di kurun ke-20 dahulu. Masih hanya ada RTM, Utusan dan NST untuk laporan sehala.

Bohong atas bohong untuk menutup pembohongan yang sudah setinggi Gunung Kinabalu, kalau sesiapa tidak nampak pembohongan gergasi itu, memang jiwa mereka sudah mati dan penuh dengan pembohongan.

Riuh rendah jugalah para blogger upahan, cybertroopers Umno menyalak segala yang dikatakan kejayaan besar lawatan bos besar mereka ke negara yang pernah dikatakan musuh umat Islam dan umat Melayu akan senasib dengan rakyat Iraq, diserang dan dimusnahkan oleh tentera Amerika.

Itu ucapan seorang ketua menteri Umno yang sama menyatakan konspirasi tertinggi melalui saman DOJ untuk menjatuhkan perdana menteri yang dilantik secara demokrasi.

Oleh kerana pembohongan bermula dari kepala, maka seluruh ahli parti dan penjawat awam yang 'saya yang menurut perintah' terpaksa sama-sama berbohong secara berjemaah untuk memberikan integriti kepada pembohongan.

Para cybertroopers berbayar pula sibuk berbohong secara MLM, mengikut hierarki. Makin tinggi kedudukan mereka dalam kumpulan propaganda, makin besar bohong kerana upah mereka juga besar berbanding macai-macai bawahnya.

Kata pepatah Cina, busuk ikan bermula dari kepala. Begitulah keadaan kita rakyat Malaysia pada hari ini. Sama ada kita mahu berbohong secara berjemaah atau berbohong secara MLM, ratus bilion yang tanggung hutang dan kini menyumbang bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara paling maju dan juga pembunuh umat Islam paling prolifik semenjak azali!

MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa