Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, September 6, 2013

Tanda Petrol?

Alkisah Tanda Putera

Uthaya Sankar SB | September 5, 2013
Catatan yang dibuat selepas pening dan sakit kepala reda akibat tindakan menonton filem di pawagam.
Bayangkan filem-filem seperti “Gandhi” (1982), “Invictus” (2009), “Seediq Bale” (2011), “Killing Lincoln” (2011), “Lincoln” (2012) dan “Betty and Coretta” (2013). Kemudian, bayangkan filem “Tanda Putera” (2013).
Jika anda melakukan seperti saranan di atas, anda pasti teramat kecewa. Dan tentu sahaja akan ada pula puak yang menyelar tindakan saya membandingkan filem Melayu dengan filem luar negara.
Kalau begitu, ayuh bayangkan filem-filem seperti “Chantek” (2012), “Gila-gila Remaja 2” (2013) dan “Pecah” (2013). Kali ini, anda pasti mampu menarik nafas lega kerana “Tanda Putera” lebih baik daripada “Gila-gila Remaja 2” dan “Chantek” – walaupun “kalah tipis” kepada filem “Pecah” yang diadaptasi daripada novel karya Khairulnizam Bakeri.
Saya tidak berani membuat perbandingan dengan filem-filem Melayu lain kerana itulah sahaja – seingat saya – filem-filem tempatan yang saya tonton sejak tahun lalu. Apa-apa pun, nampaknya trailer bagi filem “KL Gangster 2” (2013) yang sempat saya lihat sebelum tayangan “Tanda Putera” nampaknya lebih menarik berbanding “filem sejarah” ini.
Filem “Tanda Putera” yang “akhirnya bernafas di pawagam” sejak 29 Ogos 2013 (selepas jadual tayangan pada 13 September 2012 dan 15 November 2012 ditunda), sempat saya tonton sepenuhnya di pawagam yang hampir kosong bersama-sama Shahrul Nizam Abd Hamid pada 2 September 2013.
Shahrul yang juga AJK Khas dalam Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) memang peminat filem yang amat kritis. Salah satu hobi saya pula menonton filem-filem bermutu (sahaja) dalam pelbagai bahasa dari mana-mana negara.
Kebetulan, semasa belajar di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, sempat juga saya menimba ilmu perfileman daripada Allahyarham Dr Anuar Nor Arai. Walaupun saya tidak menggelarkan diri saya “pengkritik filem” tetapi saya tetap suka memberikan komen berdasarkan pengalaman saya menonton filem.
Untuk berlaku adil, sebelum pergi menonton “Tanda Putera”, saya secara penuh sedar memutuskan untuk tidak melihatnya semata-mata sebagai sebuah filem sejarah (baca: versi Umno); sebaliknya sebagai sebuah karya fiksyen yang diolah secara bebas, sebebas-bebasnya untuk menyampaikan “sesuatu” kepada khalayak.
Filem tentang dua orang; bukan tentang negara
Mungkin salah saya juga kerana pergi dengan harapan bahawa filem ini akan menyampaikan “sesuatu”. Selepas sepuluh minit, Shahrul sudah tidak tahan dan meminta diri untuk keluar sebentar bagi menenangkan fikiran. Saya pula setia menonton dengan penuh harapan; menantikan “sesuatu”.
Filem “Gandhi” memang bercerita tentang seorang tokoh/watak utama sahaja. Akan tetapi, melalui watak itulah fahaman ‘ahimsa’, semangat perjuangan kemerdekaan, krisis dalaman, politik, realiti sezaman dan sebagainya disajikan pada layar perak.
Hal yang sama juga dapat dilihat secara amat nyata menerusi filem-filem yang tidak jemu saya tonton berulang kali, seperti “Invictus”, “Seediq Bale” dan “Lincoln”. Filem “Betty and Coretta” pula menceritakan kisah perjuangan (bukan cerita rumahtangga semata-mata) dari sudut dua watak wanita iaitu isteri Martin Luther King Jr (1929-1968) dan Malcolm X (1925-1965).
Filem “Tanda Putera” pula adalah fiksyen mengenai hubungan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail. Titik. Saya berani mengatakan bahawa filem “sejarah” ini bukan filem mengenai negara Malaysia atau mengenai masyarakat Malaysia.
Filem “Tanda Putera” amat sesuai – malah seharusnya diwajibkan dan bukan sekadar “diharuskan” – supaya ditayangkan pada setiap tahun iaitu pada Hari Raya Puasa ketiga apabila kaum-kerabat dan cucu-cicit Allahyarham berdua berkumpul beramai-ramai.
Lebih bagus jika tayangan khas dibuat di pawagam yang disewa khas atau kembalikan amalan “wayang pacak” di laman rumah. Bolehlah filem “Tanda Putera” ditayangkan berulang kali sambil bercerita dan mengimbas kisah-kisah datuk-nenek.
Berapa lama cucu-cicit Allahyarham berdua mahu sekadar melihat album foto keluarga secara konvensional? Berikanlah mereka peluang menonton “album foto keluarga” yang sudah dibikin dalam bentuk sebuah filem supaya lebih seronok ditonton.
Sebagai sebuah filem – ingat: tanpa perlu melihatnya dari sudut politik – “Tanda Putera” gagal sepenuhnya. Saya tidak pasti bagaimana idea dan maklumat bagi penulisan skrip filem ini diperoleh; dan saya juga tidak mahu ambil tahu. Cukuplah saya pening dan sakit kepala selepas menonton filem itu di pawagam.
Semasa saya sedang berehat sebaik pulang ke rumah dan menelan ubat sakit kepala, seorang rakan wartawan mengirimkan SMS untuk bertanya filem mana yang lebih baik, “Tanda Putera” atau “Hey Ram”. Saya menjawab ringkas: “Tandas Puteri”.
Babak rusuhan sekadar tempelan
Apakah agaknya penanda dan petanda serta simbol yang dibawakan oleh judul filem itu sendiri? Mungkinkah juga “Tanda Putera” sebenarnya “Tanda Petrol” kerana sebaik keluar dari pawagam, saya mendapat berita bahawa harga petrol (RON95) akan naik 20 sen.
Sebagai sebuah filem, “Tanda Putera” terlalu lemah dari segala aspek. Saya membayangkan bahawa pada suatu senja yang indah, sekumpulan orang diarahkan berkumpul dan diminta menceritakan kisah-kisah berbentuk trivia dalam hubungan mereka dengan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail.
Kemudian, segala catatan berbentuk memoir kekeluargaan itu dikumpulkan dan dijalinkan menjadi skrip filem. Seterusnya mungkin dirujuk pada buku teks Sejarah sekolah menengah untuk menyelitkan fakta-fakta sejarah sebagai penyedap dan plot pada skrip.
Dari mula hingga akhir, saya tidak faham dan saya tidak nampak rasional “rusuhan kaum” ditonjolkan secara berlebih-lebihan dan secara berulang-ulang dalam filem ini. Kecuali mungkin untuk “beri makan” kepada para pelakon tambahan.
Memandangkan fiksyen ini adalah mengenai hubungan istimewa antara watak Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail, “rusuhan kaum” yang digembar-gemburkan itu tidak sedikit pun membantu menggerakkan cerita; apatah lagi menyumbang kepada konflik dalam hubungan kedua-dua watak. Kalau kesemua babak rusuhan dibuang, cerita tetap sama: hubungan istimewa dua individu.
Kisah pelajar perempuan di Institut Teknologi Mara (ITM) memakai skirt mini juga tiada kaitan dengan perjalanan cerita. Begitu banyak babak di Universiti Malaya juga sekadar mengisi ruang kosong tanpa makna sedangkan, mengikut sejarah, begitu banyak perkara sebenarnya berlaku di universiti berkenaan pada masa itu.
Mungkin Pesona Pictures Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Multimedia Development Corporation (MDeC) terlupa bahawa “Tanda Putera” adalah sebuah filem – yang perlu akur pada peraturan dan syarat perfileman – dan bukannya sebuah dokumentari sejarah – seperti “Killing Lincoln” misalnya.
Akibatnya, semua “maklumat”, trivia dan kenangan pahit-manis-kelat-tawar sahabat-handai serta kaum-keluarga mahu disumbat ke dalam sebuah filem. Sehingga akhirnya kisah Kara (pensyarah/tutor) yang lebih banyak melepak di rumah keluarga salah seorang pelajarnya tidak sempat dikembangkan menjadi sebuah filem.
Mungkin lebih baik jika kisah keluarga watak Zaman dijadikan cerita utama dan kisah Perdana Menteri kedua dan sahabat ikrabnya itu dijadikan sekadar latar sahaja! Tambahan pula, keluarga itu memang muncul di mana-mana sahaja sesuatu kejadian berlaku; sama ada banjir, rusuhan, kematian, perkahwinan atau apa-apa sahaja.
Sejarah negara hanyut, tenggelam
Perlu dinyatakan bahawa pawagam menjadi riuh sedikit – walaupun penonton tidak ramai – apabila watak … apa nama … Tun Dr Mahathir Mohamad muncul di layar. Begitu juga apabila watak Datuk Seri Najib Razak muncul (tanpa wanita anggun, Datin Seri Rosmah Mansor, tentunya) penuh bergaya.
Terlalu banyak babak dan kisah yang tidak membangunkan cerita utama iaitu hubungan “persahabatan akrab Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969” seperti dipromosikan di laman sesawang rasmi Biro Tatanegara (BTN).
Mungkinkah “Tanda” pada judul filem sebenarnya merujuk kepada hubungan antara kedua-dua “Putera” (“anak lelaki” dalam Bahasa Sanskrit) yang amat mesra dan “memiliki aura yang kuat” (www.btn.gov.my) tetapi tidak mampu dipaparkan pada layar perak?
Apa-apa pun, kisah sebenar yang mungkin mahu “didedahkan” secara penuh simbolik oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba ditenggelami pelbagai kisah sampingan yang tidak mampu menyelamatkan filem ini daripada terus tenggelam bak kapal Titanic.
Penggunaan ‘fast cut’ dan perubahan sudut kamera yang terlalu cepat menjadikan “Tanda Putera” seolah-olah mahu berlawan dengan filem-filem aksi seperti “KL Gangster 2” pula. Atau melawan babak-babak aksi penuh dramatik dalam filem “Seediq Bale” yang berdasarkan kisah sebenar di Taiwan.
“Struktur naratif yang bergerak dengan pantas amat tidak sesuai dengan filem yang bercorak begini (sejarah). Saya simpulkan bahawa ini filem terburuk yang diarahkan Shuhaimi Baba,” komen Shahrul yang gemar melihat filem dari aspek struktur, kerja kamera dan unsur artistik.
Pada penelitian saya, ketidak mampuan para pelakon menangani ‘method acting’ akhirnya menjadikan “sejarah” negara hanyut dan tenggelam. Mungkin buku teks Sejarah Tingkatan Tiga lebih menarik dan mempersonakan berbanding filem ini.
Satu-satunya watak yang “timbul” adalah Tun Hussein Onn kerana Hasnul Rahmat berjaya “bercerita” menerusi lakonan tanpa perlu bercakap banyak. Perhatikan betul-betul babak apabila Tun Hussein menerima berita Tun Abdul Razak meninggal dunia dan anda akan faham maksud saya.
Akhirnya, sebelum meninggalkan pawagam, saya masih sempat menarik nafas lega dan bersyukur kerana Hasnul membuatkan saya berasa tidak rugi membeli tiket berharga RM12 untuk menonton fiksyen ini.
Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan kolumnis FMT.

1 comment:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa