Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, July 1, 2017

Ketokohan Cik Siti Wan Kembang

Cik Siti Wan Kembang – Lambang Ketamadunan Melayu Kelantan
By Helmi Effendy  May 28, 2017
Sumber: http://chitchatovercoffee.blogspot.my/2012/03/kelantan-state-museum.html
Kalau orang Kedah akan berbangga dengan tokoh seperti Merong Mahawangsa ataupun Sultan Muhammad Jiwa II, kalau Johor akan berbangga dengan tokoh seperti Laksamana Tun Abdul Jamil dan juga Hang Nadim, kalau Acheh boleh berbangga dengan tokoh seperti Sultan Iskandar Muda, maka kata saya rakyat Kelantan juga bertuah kerana sepanjang orang Melayu Kelantan membina sebuah ketamadunan, mereka dikurniakan dengan seorang ratu perempuan yang bernama Cik Siti Wan Kembang, yang sesungguhnya sehingga hari ini, sinonimnya Kelantan dengan gelaran negeri Cik Siti Wan Kembang.

Tapi seberapa banyak anak Melayu di sini mengenali dengan mendalam riwayat hidup empunya nama Cik Siti Wan Kembang ini. Tiada siapa pula yang tahu apa jasanya sehingga diangkat sedemikian rupa. Maka, kami pejuang anak bangsa ini akan sekali membuka pena, mencoret kisah-kisah agung tentang tokoh bangsa yang semakin dilupakan. Sejarah ditulis oleh orang Menang, maka dengan jiwa yang penuh rasa kemenangan, kami hamparkan kepada kalian, salah satu tokoh dalam sejarah Melayu yang harus kita kenang bersama.

Baginda lahir pada tahun 1570, dari perkahwinan antara Sultan Ahmad dan juga Permaisuri Che Banun. Siapa tahu, bahawa dari pasangan pemerintah Kerajaan Serendah Sekebun Bunga di Kelantan ini, maka lahirnya seorang pemimpin agung yang sehingga hari ini masih lagi dikenang oleh seluruh rakyat Kelantan.

Tidak hairanlah bagaimana Cik Siti Wan Kembang membesar menjadi tokoh yang hebat kalau peribadi ayahnya juga hebat. Siapa yang tidak kenal pada pemerintahan Sultan Ahmad ketika itu. Negeri Serendah Sekebun Bunga begitu makmur di bawah pemerintahan ayahnya yang mengamalkan ciri-ciri pemerintahan Islam. Bahkan dicatatkan bahawa begitu makmurnya Kerajaan Negeri Serendah Sekebun Bunga sehinggalah ada pedagang yang sanggup memusnahkan kapal dagang mereka kerana mahu terus bermaustatatin di negeri ini. Para ulamak juga datang dari keseluruhan Kepulauan Melayu ke kerajaan ini menyebarkan Islam dan berdakwah membentuk masyarakat yang hebat di kerajaan ini.

Dan dari kebanjiran ulamak ini juga, Sultan Ahmad mengamanahkan proses pendidikan Cik Siti Wan Kembang kepada beberapa orang ulamak terkemuka pada zaman itu. Maka membesarlah Cik Siti Wan Kembang bukan sahaja sebagai puteri raja yang jelitawan dan rupawan, bahkan mempunyai peribadi yang indah. Bahkan dari proses pembelajarannya dengan ulamak-ulamak ini, dapat dilihat betapa berminat dan sayangnya Cik Siti Wan Kembang pada ilmu tassawuf yang seperti mana kita tahu nanti akan mempengaruhi pada saat usia baginda.

Cik Siti Wan Kembang mewarisi takhta daripada Raja Hussien yang diamanahkan oleh ayahnya Sultan Ahmad ketika usia Cik Siti Wan Kembang masih lagi kecil agar menjaga takhta itu untuk anak perempuannya. Ketika baginda menaiki takhta, maka pemerintahan yang hebat seperti mana yang dibawakan oleh ayahandanya diteruskan pula oleh Cik Siti Wan Kembang.

Maka pada tahun 1610 Masihi adalah pertabalan Cik Siti Wan Kembang sebagai pemerintah ke-6 kerajaan Serendah Sekebun Bunga. Mendengarkan khabar raja pertama dari kalangan wanita itu, bahkan dengan khabar angin kejelitaannya yang tiada tandingan, maka seluruh raja-raja Melayu di seluruh Nusantara pun berpakat menghantarkan rombongan peminangan ke atas Cik Siti Wan Kembang. Namun semuanya ditolak dengan sopan oleh Cik Siti Wan kembang dengana alasan sekiranya dia menerima salah satu daripada peminangan raja-raja tersebut, maka pastinya raja lain akan terasa dan ianya akan mencetuskan pada peperangan.

Baginda ialah seorang pemerintah yang bijaksana. Dia mendapati bahawa kerana kemasyuran namanya sebagai pemerintah wanita pertama, dan baginda takutkan kalau nanti konflik perang akan terjadi, maka baginda memindahkan pusat pemerintahan baginda dari Gunung Cinta Wangsa ke Cerang Tegayung. Maka di Cerang Tegayung, baginda bersama para hulubalang dan rakyat baginda pun mendirikan istana di Cerang Tegayung.

Dan dari kedudukan di Cerang Tegayung yang sangat strategik itu, maka pelabuhan yang ditubuhkan pun menjadi pesat, lalu menarik perhatian para pedagang dari seluruh dunia untuk menjejakkan kaki ke Cerang Tegayung. Ada yang datang daripada Jepun, China, Eropah, India, Indo-China dan Arab. Pedagang Arab yang datang berniaga di Serendah Sekebun Bungalah yang memberikan gelaran “paduka cik siti” kepada Wan Kembang yang kononnya mengikut catatan sejarah bermaksud Perempuan Mulia.

Dan secara jujur bagi saya, sangatlah cocok dengan Cik Siti Wan Kembang kerana betapa kerajaan yang diperintahnya ketika itu sangatlah makmur dari segi ekonomi, pendidikan sehinggalah ke sahsiah rakyatnya. Dicatatkan bahawa Cik Siti Wan Kembang bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan kepada kaum lelaki, bahkan kaum perempuan turut mendapat hak yang sama rata.

Ketika kaum perempuan di eropah masih menjadi mangsa penindasan kuasa kaum lelaki, tetapi tidak di Tamadun dan Peradaban Melayu di mana kaum lelaki dan perempuan mendapat pendidikan yang setimpal. Bahkan Cik Siti Wan Kembang dicatatkan membawa masuk para ulamak dari seluruh dunia semata-mata demi memastikan bahawa rakyatnya mendapat pendidikan agama yang terbaik. Ini menyebabkan kadar jenayah ketika itu sangatlah rendah dan amatlah jarang ditemui sebarang perilaku yang melanggar undang-undang negara.

Dan tentu ramai tertanya-tanya entah bagaimanalah Kelantan sinonim dengan lambang seekor Kijang? Ini tak lain tak bukan adalah kerana sebuah peristiwa yang mempamerkan sisi indah pemerintah hebat ini.

Kononnya dicatatkan bahawa terdapat hadiah daripada pembesar di dalam negerinya yang mempersembahkan seekor anak kijang yang sangat jinak dan comel kepadanya. Cik Siti Wan Kembang sangatlah sayang akan anak kijang kerana mengisi kesunyian dalam hidupnya sehinggakan mata wang Kelantan diletakkan cop kijang sebagai lambang negeri.

Baginda dikatakan memerintah selama 67 tahun, menandakan bahawa baginda antara raja paling lama memerintah di Alam Melayu. Maka tanggungjawab memerintah negerinya diserahkan pada Puteri Saadong yang merupakan anak angkatnya yang dijaga dari kecil. Maka ketika itulah, dicatatkan bahawa Cik Siti Wan Kembang membawa diri ke Gunung Ayam dan menjadi ahli sufi serta menghabiskan sisa hayatnya beribadah dan mengabadikan diri kepada ALLAH. Tiada siapa yang tahu tarikh sebenar pemergian pemerintah agung ini.

Sumber:

Nisriwani Yahaya & Syed Zulflida (2003) 101 Puteri Dunia Melayu: Sejarah Dan Legenda. Jabatan Muzium Malaysia

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa