Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, July 9, 2017

Malaysia: Keluhan dan sindiran TMJ

'Apa sudah jadi padamu Malaysia?'
Tunku Ismail Sultan Ibrahim    -     Hari ini, 1:06 pagi
ULASAN |  Apa yang telah berlaku kepada negara yang saya hormati? Sebuah negara yang dahulunya saya bangga untuk memanggilnya sebagai rumah saya.

Sebuah negara yang saya berdoa untuk kestabilan. Apa yang telah berlaku kepada sahabat kesayanganku, Malaysia?

Saya berharap suatu hari nanti, anda akan kembali pulih.

Pada hari ini saya berada di sebuah negara di mana rasuah telah menjadi sebuah budaya. Sebuah negara di mana media melindungi rasuah dan menjadikan orang yang tidak bersalah sebagai mangsa untuk menjual cerita.

Orang yang kurang berpendidikan sentiasa ditipu, dimanipulasi oleh sistem dan diperas. Ia telah menjadi tempat di mana orang kaya semakin kaya manakala orang miskin semakin miskin.

Sebuah tempat di mana rakyat tidak lagi menilai dengan fakta, tetapi menghakimi berdasarkan persepsi tentang apa seseorang memakai atau katakan.

Di mana yang berlakon dan individu yang hipokrit dipuji sebagai hero, manakala yang pemberi sumbangan dan mereka yang berdedikasi kepada yang baik diabaikan dan dianggap sebagai penjahat.

Dimanipulasi oleh gambar-gambar yang mereka lihat.

Pangkat boleh dibeli

Ia telah menjadi tempat di mana ahli-ahli politik mahu menjadi selebriti dan ahli sukan. Di mana seseorang yang tidak boleh menunggang kuda atau bermain polo boleh dipilih untuk mewakili negara.

Di mana individu yang tidak menjalani latihan ketenteraan yang sebenar boleh menjadi seorang jeneral. Sebuah negara di mana institusi perlahan-lahan kehilangan identitinya.

Pemimpin yang berpura-pura dengan apa yang mereka pakai, tetapi di sebaliknya, memaksa kerajaan untuk menggunakan wang rakyat untuk membayar jet peribadi mereka.
Sebuah negara di mana bangsa saya sendiri telah melupakan sejarah, warisan dan budaya kita.

Sebuah negara yang meninggalkan budaya tradisi tempatan kita seperti pakaian tradisional kita dan sebaliknya memilih memakai pakaian campuran budaya asing, kononnya ingin menjadi seperti orang Arab.

Tempat yang dicemari oleh sifat cemburu dan iri hati. Tempat di mana anda boleh membeli pangkat dan kini pangkat-pangkat tersebut kehilangan nilainya.

Ada yang memilih untuk berdiam kerana mereka sendiri mempunyai agenda tersembunyi.

Sementara itu masih ada yang seperti saya yang memilih untuk bersuara kerana bimbang tentang apa yang akan berlaku kepada anak cucu-cicit kita dan generasi masa akan datang.

Sebuah negara di mana ramai individu ingin menjadi ahli politik untuk kepentingan peribadi mereka dan tidak lagi percaya kepada tugas untuk berkhidmat kepada rakyat dan institusi kita.

Di mana penafian dan kejahilan telah menjadi panduan hidup.

Kekal bertabah sahabat

Di mana penipu memperoleh lebih banyak kuasa. Di mana kebenaran sering diabaikan dan pembohongan diiktiraf sebagai pengakuan.

Kehormatan, kesetiaan dan kesungguhan tidak lagi wujud. Apa yang telah berlaku kepada kamu sahabatku?

Walau bagaimanapun, janganlah kau risau, kerana masih ada beberapa yang masih belum kehilangan harapan.

Masih terdapat beberapa orang yang sanggup berkorban demi generasi masa akan datang. Beberapa yang akan mengubah sesuatu dari dalam.

Visinya kini jelas. Sekarang adalah masa untuk melaksanakannya. Visi tanpa pelaksanaan, adalah halusinasi.

Kekal bertabah sahabatku. Anda bernasib baik memiliki rakan seperti Sabah, Sarawak dan juga beberapa tempat di Malaysia.

Buat baiklah kepada mereka. Hormati mereka. Perpaduan adalah kunci kepada kejayaan. Saya akan sentiasa berdoa yang terbaik untuk anda dan saya akan sentiasa berdoa untuk kestabilan Malaysia.

Daripada rakan anda dan rakan kongsi yang baik, Johor. Daripada hamba yang berkhidmat kepada Sultan Johor dan negeri Johor, Ismail.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa