Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini membuat laporan polis terhadap empat blog Umno yangh didakwa menyebarkan emel palsu yang bertujuan mencetus huru-hara.

Rafizi berkata beliau membuat laporan terhadap blog yang menggunakan alamat theunspinners.blogspot.com, theflyingkick.blogspot.com, bidaman.blogspot. com serta badutrakyat.blogspot.com.

Beliau mendakwa blog berkenaan bertanggungjawab menyebarkan satu emel palsu sejak 27 Disember lalu, yang menyebabkan beliau disiasat polis semalam.

MP Pandan itu juga mendakwa, emel palsu mengenai rancangan untuk memasang bom di beberapa tempat di Kuala Lumpur yang kononnya dialamatkan kepadanya itu direka oleh "blog Umno" tersebut.

"PDRM tanpa menyemak terlebih dahulu kesahihan emel rekaan itu terus memanggil saya untuk memberi keterangan dan disiasat," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau juga kecewa apabila Polis DiRaja Malaysia (PDRM) masih belum menyatakan sama beliau merupakan saksi ataupun orang yang disyaki dalam siasatan ke atas sebaran emel palsu tersebut.

"Sehingga sekarang, pegawai penyiasat yang mengambil kenyataan saya tidak boleh mengesahkan sama ada saya hanya seorang saksi atau suspek," katanya.