Senator Ezam Mohd Noor hari ini menyelar penggubal dasar dalam kerajaan yang menurutnya mengambil langkah mudah menaikkan tarif elektrik untuk menyelesaikan "masalah mereka" tetapi membebankan rakyat.

Katanya, sebuah kerajaan transformasi - seperti diperkenalkan perdana menteri - seharusnya lebih tangkas menangani masalah di samping mempertahankan kedudukan rakyat bawahan.

NONE"Kerajaan transformasi yang bercirikan negara maju mesti lebih efisien dan canggih dalam merungkai masalah, bukan dengan jalan mudah menaikkan tarif dan minta rakyat tanggung beban," kata Ezam (kanan).

Menteri tenaga Datuk Seri Maximus Ongkili pada 2 Disember lalu mengumumkan, tarif elektrik di semenanjung dinaikkan 14.89 peratus (4.99sen) setiap kilowatt, menjadikan harga baru 38.53sen sekilowatt.

Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus (5 sen) daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj berkuat kuasa 1 Januari 2014,

Langkah itu mengundang kemarahan awam kerana ia selari dengan pelbagai peningkatan lain seperti gula dan tol.

Dalam kenyataannya hari ini, Ezam berkata, kerajaan  sepatutnya menumpukan usaha membanteras ketirisan, rasuah dan rundingan perjanjian berat sebelah yang terlalu menguntungkan golongan korporat.

Ezam juga berkata, sebagai anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau juga pembasmian gejala itu menjadi tumpuan utama.

"Ia rumit berbanding keputusan naikkan harga tarif. Tetapi itulah tanggungjawab kerajaan yang menggelar dirinya kerajaan transformasi," katanya.