Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, October 24, 2009

Tidak Petriotikkah Ayah?

Ketika Jepun menyerang dan menakluki Malaya, ayah masih dengan Kereta Lembunya. Zaman itu adalah zaman survival. Ramai manusia kebuluran dan tidak cukup makan dan pakaian pun tidak ada. Ramai yang hanya hidup dengan Ubi Kayu dan Jagung. Pakaian yang ada hanya sehelai sepinggang yang koyak rabak dijahit dengan menggunakan urat daun nenas yang dijadikan benang. Ada yang hanya mempunyai sehelai kain untuk suami isteri bergilir-gilir. Kalau sisuami berkain maka siisteri terpaksa bertapa di dalam bilik bertelanjang!. Bayangkanlah betapa susahnya peribumi di zaman itu.

Kerana Jepun amat memerlukan pengangkutan untuk membawa barangan militer serta bekalan logistik dan sebagainya, ayah mengambil peluang ini bekerja dengan Jepun mengangkut barang-barang Jepun menggunakan kereta lembunya. Pada waktu malam pula ayah mengurut badan Pegawai tentera Jepun. Jadi melalui usaha begitu ayah mempunyai hubungan yang rapat dengan Jepun. Mengikut cerita ayah keluarga kami agak mewah ketika itu walau pun orang lain hidup penuh derita dan papa kedana. Keluarga kami mewah dengan beras, lauk dan pakaian. Tidak payah makan ubi dan jagung dan tidak payah bergilir pakaian untuk melindungi badan.

Bila ayah ceritakan pada saya tentang kehidupannya di zaman itu, hati saya terdetik dengan satu soalan, "Adakah ayah tidak petriotik?". Kerana apa yang saya faham mengikut cerita sejarah, ramai Orang Melayu mati kerana melawan Jepun yang menakluki kita tetapi ayah membantu Jepun dengan kereta lembunya!. Sekarang barulah saya tahu, demi survival keluarga, ayah terpaksa lakukan itu. Di masa itu ayah sudah mempunyai dua orang anak kecil iaitu Abang Sulung dan Abang Kedua saya. Mereka berselang dua tahun.

Hakikatnya ayah bertarung nyawa bila bekerja dengan Jepun di Pengkalan Tentera Gong Kedak, Pasir Puteh. Pengkalan Tentera Gong Kedak ialah sebuah Pengkalan Tentera British yang ada landasan Kapal Terbang Perang yang telah dikuasai oleh Jepun di Kelantan. Pengkalan ini boleh dikatakan lengkap dengan pertahanan dan sebagainya di zaman itu. Bukan hanya ayah seorang saja yang berkerja dengan Jepun di situ. Ramai lagi manusia yang berfikiran seperti ayah bekerja di situ.

Pada suatu pagi ketika ayah dan kawan-kawannya sedang memacu kereta lembunya dengan muatan barangan Jepun di tengah-tengah landasan terbang di situ, pihak British melakukan serangan udara. Ayah terperangkap di tempat lapang di situ. Tentulah ayah dan kawan-kawannya menjadi sasaran British yang sedang mengebom. Sudah tentu dari segi logiknya British menganggap semuanya Jepun walau siapa pun di sana kerana mereka membantu Jepun.

Ketika kelam kabut itu, orang lain semuanya lari bertempiaran dengan meninggalkan lembu dan keretanya di tempat yang lapang itu menjadikan sasaran yang mudah bagi british kerana terdedah. Ayah tidak meninggalkan lembu-lembu dan keretanya. Namun ayah tetap memacu kereta lembunya dengan tenang merentasi lapangan itu sehingga memasuki Kubu bawah tanah. Banyak lembu yang mati dan kereta lembu hancur menjadi sasaran serangan itu. Alhamdulilllah ayah dan lembunya selamat dilindungi Allah.

Bila saya tanya ayah kenapa dia tidak lari dan meninggalkan lembu dan keretanya di situ untuk menyelamatkan diri? Ayah menyoal saya balik, "Bolehkah kamu larikan diri dari maut sekiranya ditakdirkan kamu akan mati ketika itu?". Barulah saya faham rupanya ayah mempunyai hati yang kental dan tawakkal yang tinggi. Rupanya bagi ayah, Lembu dan keretanya adalah nyawanya dan nyawa keluarga!. Jadi ayah tidak akan menggadaikannya.

Dalam persoalan ini saya tanya ayah, tidakkah ayah merasa bersalah bekerja dengan Jepun demi untuk hidup sedangkan orang lain bermatian berjuang melawan Jepun? Jawapannya mudah. Dia menyoal saya balik "Apa bezanya dengan Melayu yang berkerja dengan British sebelun ini, bukankah British itu juga Penjajah?". "Bukankah sia-sia dan bodoh namanya menggadaikan nyawa melawan Penjajah Jepun untuk diserahkan pula kepada Penjajah Brittish?". Sambungnya lagi, "Bukankah lebih hina manusia yang kekerja membantu British ketika aman kerana inginkan kemewahan berbanding dengan ayah bekerja untuk Jepun semasa gawat/perang demi survival keluarga?"

Saya tabik ayah!

16 comments:

  1. Satu pemikiran dan keputusan yang logik dan baik demi tanggung jawap sebagai seorang suami/bapa dan keluarga.

    Dan sebuah n3 yang terbaik bagi mereka yang mahu berfikir.

    ReplyDelete
  2. Salam Abe Din..
    berani hidup..berani mati,
    apa bezanya manusia melayu yg bekerja dgn British semasa aman...dgn Jepun semasa perang?

    jwpnya panjang dan penuh makna tersirat..kena duduk diam2 sambil fikirkan..

    ReplyDelete
  3. Kita sebenarnya untuk setiap perbuatan atau niat, kita ada alasan sendiri untuk dikemuka kpd Allah...tak penting apa yg kita diamkan mahupun nyatakan kpd orang ramai/lain pun.
    Tapi zahirnya,dlm kes ayahanda pakcik Din, aku ingat tak salah dia berkerja untuk survival & in a way earned more than others. Tu rezeki dia masa tu, masa susah. Taim tu bukan semua mampu berjuang (patriotik) tapi at least dia berjuang untuk keluarga sendiri drp terus menerus susah/derita kemiskinan/kelaparan. Tu kebijaksana jugak tu... Kalau seseorang tu mampu & memang tanggungjawab dia untuk berperang lawan musuh seperti Penjajah Jepun masa tu, tu lain kes ler. Tapi dia cuma orang biasa, bukan anggota keselamatan negara. Pulak tu zaman perang atau tengah darurat, jadi kena pikirkan diri sendiri lebih drp others (negara).

    Ya lebih hina orang yg bersengkongkol time zaman dah senang Pasca-WWWII, masa Penjajah Enggeris ambil semula. Taim ni mungkin mentaliti semua takut diseksa dicengkam kemiskinan cam taim Jepun perintah dulu lalu mereka pilih jalan mudah untuk diam diri & ikut telunjuk pemimpin Enggeris all the way hingga gaya hidup pun dah kebaratan...Islam entah ke mana...tu ler elit Melayu hingga kerani gomen pun dah eksen (ego).
    Kebanyakan mereka ketika tu dah tak sedar diri/alpa mana prioriti samada berjuang untuk perintah negara sendiri (patriotik) atau ikut telunjuk Enggeris. Zaman tu ler kisah UMNO bersekongkol dgn Enggeris & membesar bawah telunjuk Enggeris..& bla bla bla. Next we know it's history.

    ReplyDelete
  4. Sukarnya hidup pada zaman perang. Saya anggap itulah cara survival ayah Pakdin pada waktu itu.

    Jika saya di tempatnya, mungkin saya juga akan bertindak perkara yang sama, demi memastikan mulut anak isteri sentiasa dapat diisi.

    Baik Jepun,Inggeris atau mana-mana kuasa penjajah, mereka akan mengambil kesempatan terhadap penguasaan politik dan ekonomi tanah jajahan.

    Yang pasti, rakyatlah yang menderita.

    Doalah Pakdin, moga Malaysia yang kita sayangi ini, kekal merdeka selamanya.

    ReplyDelete
  5. salam pakdin,
    aku tabik kt ayah pakdin..
    tentang tanggungjawab utk keluarganya hebat, tawakkalnya dasat.
    tak mustahil turun ke anak..

    ReplyDelete
  6. thanks sbb naik kan isu tu,

    Saya selalu terpk ape salah Ibrahim Yaakob yg di pangil pengkhianat berkerjasama ngn Jepun dgn niat utk merdeka dr org2 melayu yg berkerja dgn british sbb cari makan ketika aman.

    ReplyDelete
  7. Anakanda Isa

    Rasanya keputusan ayah tentang apa yang dia buat adalah dianggap sesuai pada situasi masa itu.

    ReplyDelete
  8. W'salam Induk Yati

    Bagi Abe Din, orang yang mengambil peluang untuk senang dengan keringat orang lain di samping membantu Penjajah adalah pengkhianat sebenar.

    ReplyDelete
  9. Hanz

    Setalah Pakcik mendengar jawapan ayah, Pakcik Din faham kenapa ayah bertindak begitu.

    Pandangan Hanz terhadap pengkhianat sebenar adalah betul.

    ReplyDelete
  10. Sdr. Brahim

    Memang logik tindakan ayah dengan situasi semasa itu. Keluarga lebih utama di saat-saat orang lain kelaparan.

    Sama-samalah kita berdoa.

    ReplyDelete
  11. W'salam aku

    Memang ayah adalah manusia degil dan keras hati. Sepanjang ingatan Pak Din segala tindakannya tidak pernah dia sendiri ragui.

    Mungkin jiwa dan sifatnya terdidik oleh zaman ganas sebelumnya tahun 20'an.

    ReplyDelete
  12. Xenan

    Mungkin niat dan tujuannya murninya pada masa itu orang tidak nampak.

    ReplyDelete
  13. pakcik,

    cerita yg menarik ttg ayah pakcik. pada saya beliau seorang ayah yg hebat pemikirannya. hebat apada waktu itu dan tetap hebat pada masa ini. itu utk org yg pandai menggunakan akal utk mentafsir.

    saya rasa kalau pakcik bawa cerita begini pada org2 btn satu perkataan je dari mulut mereka...tidak patriotik. tapi bekerja dgn british itu patriotik kekeke

    semasa saya menghadiri kursus btn mereka pernah mengatakan pemimpin amno masa itu bijak kerana mendapat kemerdekaan secara aman dari british. dan mereka mengatkan pemimpin indonesia tidak cerdik kerana menggunakan tangan.

    pemimpin palestin pun dikatakan tidak cerdik karana menolak cadnagn british dan akhirnya hilang negara sendiri.

    ReplyDelete
  14. pengalaman pengetahuan dan kebijaksanaan yang menjadi petunjuknya, alhamdulillah

    ReplyDelete
  15. paloi,

    Pak Cik pun pernah di berikan kursus satu masa dulu oleh BTN, semasa Nordin Kardi. Dan Pak Cik juga pernah menjadi Fasilitator Undangan untuk mengendalikan Kursus mereka.

    Apa yang Pak Cik kesalkan ialah banyak persoalan yang mereka tidak boleh memberikan jaeapan yang konkrit dan memuaskan. Terlalu banyak penekanan menjurus ke arah perkauman. Dan kuasa Melayu.

    Bagi Pak Cik, kalau masalah kuasa dan kaum membimbangkan kereka, kenapa dulu bersetuju dengan syarat Inggeris?

    Sapa yang bodoh. Pemimpin Indon atau kita yang bodoh. Satu persoalan, sampai bila bangsa lain menghormati Jus Soli?

    ReplyDelete
  16. Mak Su

    Rasanya petunjuk dan keputusan terbaik ketika itu berdasarkan situasi.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa