Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, December 21, 2015

POYO.........

Monday, 21 December 2015
DUA-DUA POYO
Cuba kita amati dengan teliti kenyataan sepupu Najib Razak, Hishammuddin Hussein mengenai kerjasama UMNO dan Pas yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.

1 - Pas digesa berfikir lebih daripada pertimbangan politik dalam mewujudkan kerjasama dengan UMNO sekiranya mahu memartabatkan Islam.

2 - Menolak dakwaan parti Melayu itu (UMNO) terlalu inginkan kerjasama, sebaliknya berkata usaha tersebut adalah untuk kebaikan umat Islam negara ini.

3 - Hal berkaitan ummah tidak kira siapa yang mulakan perjumpaan tetapi siapa yang betul ikhlas dan tidak ada pertimbangan lain.

Agak menghairankan apabila Hishammuddin mahu Pas berfikir hanya tentang Islam dan bukan semata-mata pertimbangan politik mengenai kerjasama itu, tetapi sedarkah beliau Najib Razak memulakan langkah ke arah itu adalah semata-mata kerana pertimbangan politik, bukannya ada kena mengena dengan Islam pun?

Jika tiada tekanan dan gelora yang sedang dihadapinya dalam UMNO, apakah mungkin Najib mahu membuka ruang kerjasama dengan Pas?

Bolehkah sesuatu yang dimulakan dengan niat politik tetapi berselindung di sebalik Islam, tetapi kemudian mahukan Pas mengenepikan faktor politik dan hanya memikir tentang Islam saja?

Tahukah Hishammuddin bahawa Pas juga adalah parti politik dan tindakan parti itu menyambut salam kerjasama yang dihulurkan Najib juga adalah  kerana faktor politik, lantaran masalah yang dihadapi parti itu bersama lain-lain parti pembangkang dalam Pakatan Harapan serta kerana perpecahan sehingga wujudnya Amanah?

Ketika Pas tidak berpecah dan hubungannya dengan parti-parti lain tidak bermasalah, cuba selak kembali helaian sejarah lama, apakah jawapan parti itu bila diajak untuk bekerjasama?

Jika kedua-duanya, UMNO dan Pas tidak menghadapi masalah masing-masing, mungkinkah wujud keinginan untuk bekerjasama itu?

Semua orang sedar, termasuk makcik Felda, pakcik kedai kopi dan lebai surau sekali pun, bahawa kerjasama yang ingin dijalinkan itu tidak lain hanyalah semata-mata kerana faktor politik. 

Islam hanyalah semata-mata modal untuk diperdagangkan bagi menghalalkan kerjasama yang mahu dibina. Yang memulakan langkah menggunakan nama Islam, yang menyambut langkah juga menggunakan Islam.

Kalau benar kerana Islam dan bukan politik, kenapa baru sekarang ingin bekerjasama? Dulu kenapa UMNO menolak Pas manakala Pas pula lebih sanggup mendakap DAP berbanding UMNO?

Oleh kerana masing-masing ada niat politik dalam kerjasama itu, janganlah Hishammuddin, mentang-mentang sepupu dengan Najib, cuba berlagak suci dengan meminta Pas mengenepikan faktor politik dan hanya berfikir tentang Islam.

Hakikatnya, kedua-duanya berfikir tentang politik. Niat, tujuan, matlamat dan segala-galanya, baik kepada UMNO mahupun Pas, hanya kerana politik dalam kerjasama yang sedang mahu diwujudkan itu.

Terimalah hakikat bahawa UMNO dan PAS sama-sama sedang bermain politik sekarang ini. Kenyataan Hishammuddin yang meminta Pas tidak memikir soal politik dan seolah-olah UMNO saja boleh berpolitik turut menunjukkan tanda-tanda ada niat lain di sebaliknya.

Dalam Hishammuddin cuba menafikan dakwaan bahawa UMNO yang terlalu inginkan kerjasama itu sambil mengatakan ia adalah untuk kebaikan Islam, siapa sebenarnya yang beliau hendak "temberang"  dan kaburi dalam hal ini?

Sama ada Islam mendapat kebaikan atau tidak, ia masih subjektif sifatnya tetapi yang pasti objektifnya  ialah untuk kebaikan Najib demi mengekalkan kedudukannya.

Setelah dapat mengekalkan kuasanya nanti, belum tentu juga Islam akan lebih dimartabatkan di negara ini atau perlaksanaan hukum-hukum Islam menjadi bertambah baik daripada sekarang, namun keuntungan dari segi kedudukan peribadi Najib dan lain-lain pemimpin UMNO termasuk Hishammuddin, sudah pasti  terjamin.

Naib Presiden UMNO itu juga mengatakan hal berkaitan ummah tidak kira siapa yang lebih dulu memulakan, tetapi siapa yang ikhlas dan tiada pertimbagan lain mengenainya.

Kahkahkah....sekali lagi, benarkah Najib dan UMNO yang memulakan langkah ke arah kerjasama dengan Pas itu kerana betul-betul ikhlas dan tidak ada pertimbangan lain dalam hati?

Walaupun sepupu, dalam keinginan mahu mempertahankan Najib, Hishammuddin tidak seharusnya lupa bahawa Tuhan mengetahui gerak hati dan niat semua umatnya, bahkan manusia juga boleh membuat tafsiran berdasarkan perlakuan, percakapan dan masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh seseorang itu.

Jangan terlalu bermain dengan kata-kata untuk melindungi sesuatu yang sebenarnya tidak sukar dibaca niat, tujuan dan matlamatnya. Budak-budak muda yang pertama kali mengundi akan melihat sikap begitu tidak lebih sebagai  "poyo", tambahan pula Hishammuddin berlatarbelakangkan pendidikan guaman yang tentunya lebih arif dari segi niat, pembuktian, hujah percakapan dan sebagainya.

Sama seperti Najib yang memulakan langkah kerjasama dengan Pas bersandarkan hujah-hujah yang dianggap "poyo" seolah-olah begitu memikirkan soal perpaduan Melayu dan Islam dengan antara lain memetik ayat-ayat terjemahan Al-Quran, Surah Ali-Imran yang meminta berpegang kepada tali Allah sedangkan tali dalam UMNO yang sedang dipimpinnya pun berselirat serta banyak yang putus, sang sepupu juga nampaknya sama "poyo" dalam mempertahankan abang sepupunya itu. (SH 21/12/2015). - shahbudindotcom

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa