KUALA LUMPUR - Masalah Orang Asli di Kelantan yang kebanyakannya hidup miskin akan dapat diatasi jika negeri itu dikuasai Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.  

Beliau berkata pada masa sekarang kerajaan pusat yang diterajui BN tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu kaum Orang Asli di Kelantan kerana tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang diterajui PAS.

Mohd Shafie berkata kerajaan BN telah berjaya menyelesaikan banyak masalah tanah yang dihadapi kaum Orang Asli di negeri yang dikuasai BN seperti di Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu di mana kedudukan masyarakat Orang Asli di negeri  berkenaan lebih maju.

"Kalau kita (BN) perintah cepatlah masalah itu diatasi dan yang penting kita perlu berkuasa di peringkat negeri Kelantan," katanya kepada pemberita selepas beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar Kelantan) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini hari ini.

Kesedar Kelantan diwakili Pengurus Besarnya Mohd Arshad Ismail dan Risda oleh Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Mohd Shafie berkata rakyat Malaysia boleh membandingkan sendiri pembangunan Orang Asli di Terengganu yang lebih maju berbanding kaum Orang Asli Kelantan sedangkan masyarakat itu berada pada satu kedudukan yang tidak jauh daripada masyarakat Orang Asli yang tinggal di Selatan Kelantan.

Mohd Shafie berkata demikian ketika mengulas keadaan masyarakat kaum Orang Asli di Kelantan hari ini yang berkonflik dengan kerajaan PAS disebabkan negeri itu tidak mengiktiraf tanah adat milik mereka.

Mengenai perjanjian yang ditandatangani hari ini, Mohd Shafie berkata pembangunan tanah di Selatan Kelantan itu nanti akan membolehkan peneroka memperoleh pendapatan minimum RM3,000 sebulan dan ia sejajar dengan kehendak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat nasib rakyat terbela.  

Perjanjian itu melibatkan pembangunan 10,000 hektar tanah di Selatan Kelantan terutama di kawasan Gua Musang untuk dibangunkan dengan tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit yang akan menjanjikan pendapatan yang lebih terjamin kepada para peneroka dan orang kampung di kawasan itu.

"Jika pendapatan menurun sekalipun, agensi terbabit akan memastikan bahawa pendapatan peneroka tidak jatuh ke paras kemiskinan kerana keadaan komoditi itu walaupun stabil tetapi ada turun dan naik," katanya.

Selain itu, katanya Perdana Menteri akan memperkenalkan konsep Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kelantan pada 4 Mei ini.

RTC yang menyerupai konsep yang sama di Perak akan membolehkan satu pusat aktiviti pertanian masyarakat luar bandar yang dilengkapi dengan kemudahan pinjaman bank, permohonan bantuan oleh agensi kerajaan, pusat jualan dan pelbagai bantuan lain.

Di Perak, konsep itu berjaya meningkatkan pendapatan dan hasil jualan para petani di sana, katanya.- SH