MUAR – Tiga remaja yang dipercayai baru berjinak-jinak dengan kegiatan mencuri ditahan polis pada 14 April lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kesemua remaja berusia 14 tahun itu dikehendaki kerana dipercayai menceroboh gerai di pasar malam dekat Parit Jawa sejak sebulan lalu.
Menurutnya, tangkapan dilakukan selepas menerima empat laporan polis daripada peniaga di situ yang sudah tidak tahan dengan perbuatan remaja terbabit.
“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan, telah membantu pihak polis mengenal pasti mereka.
“Ekoran itu, pihak polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan tiga daripada lima remaja yang terlibat di rumah masing-masing berhampiran Parit Jawa,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Nasir berkata, salah seorang suspek adalah pelajar sekolah pendidikan khas, manakala yang lain tidak bersekolah.
“Antara yang dicuri remaja berkenaan ialah telur ayam sebanyak 100 biji, dua karton air minuman berkarbonat, wang syiling RM10 dan milo seberat dua kilogram.
“Mereka juga menceroboh kedai basikal dan mencuri dua besi umpil tayar, lima sepana dan satu handle basikal,” katanya.
Tambahnya, suspek kini ditahan reman sehingga hari ini (18 April ) untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 kanun keseksaan kerana menceroboh,” katanya.