RCI Sabah: Seorang rakyat Malaysia yang dilahirkan oleh ibu bapa dari kaum Orang Asal Rungus di Sabah terpaksa menunggu hampir tiga dekad sebelum mendapat kad pengenalan.

Charles Magadap berkata hal ini berlaku kerana ibu bapanya tidak mahu berjalan selama 12 jam dari Kampung Sampil di Matunggong, Kota Marudu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bandar sewaktu dia dilahirkan pada 1964.

"Tidak ada jalan raya ketika itu dan kami tidak mempunyai kenderaan," katanya memberi keterangan dalam sesi pendengaran suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung pendatang tanpa izin di Sabah.

Sebagai saksi ke-93, Magadap berkata dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya dengan menggunakan resit permohonan kad pengenalan sementara yang diterimanya sewaktu memohon untuk mendapatkan kad pengenalan pada 1976, ketika usianya 12 tahun.

Menurut Magadap, dia memohon kad pengenalan menggunakan sijil status yang disahkan oleh pegawai daerah dan menunggu sehingga tahun 1985.

Pada 1985, katanya, dia memeriksa di JPN Kota Marudu dan diberitahu bahawa sijil status itu tidak lagi diiktiraf dan dia terpaksa mendapatkan sijil pendaftaran kelahiran terkini.