Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, November 25, 2015

Gejala penularan fahaman ekstrimisma di Malaysia membimbangkan - Mujahid dan Raja Baharin

AMANAH BIMBANG DENGAN GEJALA PENULARAN FAHAMAN EKSTRIMISMA DI MALAYSIA - YB DR MUJAHID DAN YB RAJA BAHARIN

Peperangan ke atas terorrisma yang dilancarkan masyarakat dunia nampaknya tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kebangkitan ISIS dan letupan Paris yang terkini membuktikan dunia memerlukan nafas yang panjang untuk mendepani isu kegiatan terror yang menjadikan orang awam yang tidak berdosa sebagai korban.

Kegiatan terror berakar umbi dari faktor yang menyuburkannya dan asas kepada tapak yang membina fenomena ini ialah ekstrimisma dan tiada toleran dalam kepelbagaian. Walaupun fahaman dan kecenderungan ektrimisma atau sikap melampau ada berkait dengan Islamofobia dan peperangan yang berlaku di Asia Barat namun apa yang lebih bahaya ialah aspek ideologi yang membentuk corak ekstrimisma sebagai satu sikap dan kepercayaan.

Menularnya ideologi ekstrimisma di Malaysia kini menuntut beberapa persoalan yang perlu digarapkan. Asasnya ialah sebaran secara tidak sedar atau disedari beberapa doktrin di kalangan para pengkuliah dan penceramah agama, antaranya ialah

1. Menganggap jamaah atau kelompoknya yang memiliki kebenaran yang mutlak (absolute truth) lalu mewajarkan pelabelan sesat, munafik dan mengkafirkan sesama umat Islam yang bukan dari kalangannya. Fenomena takfiri ini adalah asas pemikiran ISIS dan yang seumpamanya.

2. Memilih wadah politik lain dengan meninggalkan parti lama dianggap pengkhianat dan layak mendapat laknat malah memaksa supaya isteri diceraikan berpandukan kepada ikatjanji yang dibuat. Pemikiran ini menjadikan tinggalkan parti politik tertentu dengan memilih wadah lain seolah keluar dari agama Islam. Inilah pelabelan murtad , sesat munafik dan tinggalkan Jamaah yang dikuliahkan oleh sebahagian pengkuliah dan penceramah. Corak pemikiran inilah yang membentuk gaya ISIS dan seumpamanya yang amat membahayakan masyarakat.

3. Penafsiran ayat al Quran dan al Hadith dikupas secara tekstual tanpa melihat konteks yang amat penting dalam disiplin ilmu memahami teks yang dipetik. Begitu juga keterasingan memahami realiti kenegeraan dan perundangan negara dan kedudukan masyarakat berbagai membawa penafsiran literal dari bahan yang dibaca sehingga melahirkan hubungan anti-establisment (anti-negara) dengan negara yang didiami. Maka konsep Islamic State yang sesat fahamannya mudah meresapi pemikiran awam.

4. Menegaskan dan hanya menekankan Islam dalam kerangka Hukuman Jenayah tanpa melihat aspek Syariat dalam kerangka Tujuan Besar Syariat melahirkan pembawaan Islam yang keras sehingga hilang asas Islam yang Ramah dan penuh kemanusiaan. Pembawaan ini mendedahkan masyarakat menjadi ekstrim dalam pandangannya.

Hari ini hasil dan benih ekstrimisma telah menular apabila insiden-insiden melibatkan beberapa ahli Parti Amanah Negara menjadi mangsa kepada pandangan-pandangan ekstrim terhadap mereka. Beberapa laporan polis telah dibuat khususnya di Terengganu dan beberapa insiden lain yang menyebut secara khusus orang tertentu Murtad dan Sesat serta keluar Jamaah yang wajar dihalalkan darah mereka. Begitu juga sesetengah pengkuliah yang mengheret orang awam di mesjid dan surau dengan fatwa-fatwa kecil yang arus bawahnya membentuk corak pemikiran ekstrim. Kami tidak hanya bimbang kepada Ahli Parti Amanah Negara tetapi masyarakat lain pun boleh menjadi mangsa apabila jalur keras ini menguasai pemikiran orang ramai.

Kami menuntut kerajaan supaya lebih sensitif kepada corak pemikiran ini dan proaktif menangani kegiatan pra-terrorisma secara ideologi ini dengan mengambil langkah berikut;

1. Membentuk Jawatankuasa Mendepani Ideologi Ekstrimisma di peringkat Parlimen.

2. Menggesa Majlis Agama negeri-negeri memantau isi kandongan para pengkuliah di mesjid dan surau agar jalur pemikiran ekstrim dibendung dengan menasihati dan membetuli perkara fundamental tentang bahaya Takfiri.

3. Mengusahakan dokumentasi fahaman Fiqh Kenegaraan mengikut metode Malaysia dengan mengambil kira teks dan konteks untuk menangani fahaman literal yang membahayakan keutuhan negara.

4. Menggesa JAKIM menangani secara berkesan fenomena Takfiri dan bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai cita yang sama.

Kami mengharapakan agar isu ini menjangkau segala fahaman politik dan supaya pihak berwajib tidak mendiamkan diri dengan mengeksploitasi keadaan untuk kepentingan politik tertentu. Seluruh masyarakat harus menyokong usaha mengawal penularan virus ekstrimisma dan pada waktu yang sama menolak parti-parti politik yang mengiyakan fahaman sebegini dan menyebarkannya di kalangan orang ramai.

Sekian

Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden
Partii Amanah Negara (AMANAH)

Dato' Raja Kamarul Baharin
Ahli Parlimen Kuala Terengganu

24/11/2015

1 comment:

  1. Pandangan yang amat benar. Hujah agama yang ditafsir secara sempit digunakan bg melawan rakan islam yg tidak sealiran. Bukan fitnah datanglah ke kuliah agama di surau2 tertentu. Jangan sebab politik kita menyemai kebencian. Orang tidak berilmu akan menelan bulat2 mungkin dalam jangka panjang akan hilang imbangan dan bertindak di luar batasan. Jadilah org islam yg baik dan berfikiran waras

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa