Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, December 22, 2015

Kupasan yang baik: Kompleksiti kerjasama PAS-UMNO

KOMPLEKSITI KERJASAMA PAS-UMNO. PENILAIAN SUDUT PANDANG KETUA PEMUDA PAS

oleh Harith Abd Rani. 16 Disember 2015

Kerjasama PAS-UMNO. Ia tidak semudah dua bulatan yang terkait.

Saya membaca kenyataan Us. Nik Abduh, Ketua Pemuda (KP) PAS berkaitan kerjasama PAS-UMNO. Atau lebih tepat, kerjasama parti pembangkang PAS dengan parti pemerintah UMNO-BN.

Kenyataan beliau ini telah mengesahkan kebarangkalian berlakunya kerjasama PAS-UMNO seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan yang lalu. Dalam tulisan tersebut, saya menafikan kebarangkalian wujudnya Gabungan PAS-UMNO itu sendiri. Tetapi sekarang, saya mula mempersoalkan kebenaran kenyataan saya itu.

Apakah benar kerjasama antara parti ini akan berterusan dengan sekadar ‘kerjasama?’

SEKILAS KENYATAAN KP PAS

Membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Us. Nik Abduh, meski diarahkan oleh Presidennya untuk tidak membuat kenyataan buat masa ini, saya terus mencapai iPad dan membuat lakaran seperti di atas.

Di sebelah kiri, PAS. Di sebelah kanan, UMNO.

PAS, satu komponen daripada blok pembangkang. Ia membawa aspirasi perjuangan Islam, iaitu membina sebuah Daulah Islamiyyah. Inilah cita-citanya sejak lebih 60 tahun yang lalu.

UMNO, satu komponen blok kerajaan semasa. Setelah hampir 6 dekad memerintah, ia mulai sedar rakyat tidak bersamanya. Maka ia berminat pula untuk bersama dengan PAS.

PAS, menurut Ketua Pemudanya, melihat perkembangan ini sebagai peluang untuknya membawa aspirasi Islam dengan lebih baik. Ini kerana tawaran yang diberikan oleh UMNO menghilangkan ketidak-samarataan padang politik di mana rata-rata suara pembangkang diketepikan. Dengan tawaran itu, PAS punya kedudukan ‘istimewa’.

Menurut beliau lagi, cara bagi PAS menggunakan peluang ini ialah dengan mendorong UMNO untuk membaiki sistem negara berdasarkan Islam. Dan hal ini akan digerakkan melalui 3 cara berikut:

Mencadangkan (atau ‘memaksa’) program-program agama dan pelan-pelan alternatif kepada kerajaan UMNO-BN dengan bersumberkan nilai-nilai agama.
Menghalang (ya, menghalang) UMNO daripada melakukan hal yang sebaliknya.

PAS juga akan bersama UMNO untuk melawan unsur-unsur negatif yang lain seperti LGBT, tuntutan hak-hak asasi ‘style’ barat dan lain-lain.

Dengan cara ini, sekalipun tanpa bergabung dengan UMNO, PAS mengharapkan agar rakyat dapat melihat kesungguhan PAS membawa Islam. Lantas rakyat diharapkan akan bersama PAS dan memberikan kuasa pemerintahan kepadanya setelah melihat kesungguhan PAS itu menggerakkan agenda Islamnya.

ANALISIS SIFIR PAS

Sudut pandang di atas adalah sifir PAS setakat ini, merujuk kepada KP PAS itu. Untuk tujuan perbincangan, anggaplah kenyataan Ketua Pemudanya itu sebagai mewakili partinya. Ini kerana komunikasi PAS dengan khalayak umum agak lemah dan tidak konsisten.

Di sini, empat perkara dapat difahami daripada kenyataan KP PAS yang dirujuk di atas.

Pertamanya, PAS melihat UMNO sebagai sebuah entiti yang boleh dipercayai komitmennya terhadap Islam lantas seruannya disambut baik. Parti Melayu itu dilihat sebagai serius ingin kepada Syariat Islam sebagai solusi, lalu timbullah slogan ‘Syariat Islam Asas Perpaduan Ummah’ yang dibawa oleh PAS.

Keduanya, PAS kini tidak lagi melihat UMNO-BN yang memerintah dengan segala kepincangan itu sebagai mudharat yang besar berbanding mudharat-mudharat yang lain. Maka diambil mudharat yang kecil itu untuk menolak mudharat yang lebih besar.

Ketiganya, PAS sendiri sedar UMNO sedang ditolak hebat oleh rakyat. Bagaimanapun, PAS mengambil keputusan untuk terus menunjukkan kebersamaan dengan UMNO dalam hal-hal tertentu khususnya agenda agama. PAS tidak melakukan ini, mengikut Ketua Pemudanya, demi menumpang kuasa pemerintahan UMNO. Tetapi PAS ingin mengambil tawaran silaturrahim UMNO itu untuk menunjukkan kepada rakyat kesungguhan mereka dengan agenda Islam.

Dan keempat, kita dapati PAS berpuas hati buat masa ini dengan sekadar menjadi penasihat kepada UMNO-BN, dalam agenda ‘agama’ yang saya dapati disempitkan maknanya. Dalam perkara keempat ini, terdapat dua ironi untuk kita sedari—

Ironi pertama ada pada keadaan di mana PAS sebagai sebuah parti sanggup menjadi penasihat kepada musuh politiknya juga perosak negara ini, sedangkan badan pemutus tertinggi mereka iaitu Majlis Syura Ulama’ (MSU) tidak sanggup menjadi penasihat kepada badan eksekutif parti mereka sendiri.

Masih ingat tuduhan yang dihalakan kepada bekas pimpinan yang tewas itu? Tidakkah mereka dilabel ‘liberal’ kerana ‘mahu’ MSU tidak terlibat dalam hal ehwal eksekutif harian? Hari ini, PAS cukup merendah diri apabila bersetuju menjadikan keseluruhan parti sebagai badan penasihat. Saya tidak punya masalah ahli parlimen menjadi penasihat kepada kerajaan, itu sememangnya tugas mereka. Tetapi tidak bagi sebuah parti berperlembagaan dalam latar demokrasi, yang ditubuhkan untuk terlibat bertanding dengan parti-parti lain dalam pilihanraya.

Ironi keduanya pula ada pada tafsiran operasional bagi ‘agama’ yang disebut oleh Ketua Pemuda PAS ini. Saya tidak meragui keluasan kefahaman Islam beliau, tetapi janggal sekali apabila agenda ‘Islam’ yang ingin dizahirkan kepada umum dalam kerjasamanya bersama UMNO adalah terhad kepada ‘nilai-nilai’ tertentu, ‘program-program Islam’, selain agenda melawan arus LGBT juga fahaman hak asasi ‘style’ barat yang lainnya.

Semangat tafsirannya begitu sempit sekalipun motivasi agenda sebagai penasihat itu adalah supaya UMNO-BN memahami Islam secara luas!

Saat rakyat dihimpit kesempitan kos sara hidup; krisis kepercayaan pelabur yang merudum; kes-kes pembunuhan para penyiasat sindiket 1MDB dan banyak lagi krisis semasa yang sifatnya begitu menuntut perhatian segera, PAS berasa cukup sekadar ingin menasihati UMNO dalam hal-hal di atas.

Benar, cadangan-cadangan itu tidak terhad kepada contoh-contoh yang diberikan. Tetapi sempitnya ruang lingkup semangat cadangan PAS itu begitu jelas melalui beberapa contoh yang diberikan itu. Tidak banyak yang disebut berkaitan memperbaiki kebejatan pengurusan kewangan negara atau kepincangan sistem kehakiman juga ketelusan pencegahan rasuah yang ada kini.

Bagaimanapun, ada baiknya Ketua Pemuda PAS ini tidak menyebut hal demikian sebagai fokus ‘dokumen penyelesaian Islamnya’ kepada kerajaan UMNO-BN. Adalah lebih baik bagi PAS untuk memfokuskan kepada beberapa resolusi Kongres Rakyat yang sejak 1 Muharram lalu masih belum dilihat kesan praktikalnya. Saya mohon maaf kerana sedikit skeptikal dalam hal ini. Latar budaya dalaman PAS dan realiti yang berlaku
membuatkan saya berpandangan seperti ini.

Apapun hasil pemerhatian yang diutarakan di sini, PAS jelas sekali punya sesuatu untuk dimanfaatkan dalam kerjasamanya dengan UMNO. Dan itu barangkali dilihat baik untuk PAS.

Tetapi bagaimana pula dengan UMNO? Adakah ia punya sesuatu untuk dimanfaatkan melalui kerjasama dengan PAS?

ANALISIS SIFIR UMNO

Jika benar sebab utama UMNO ‘kepinginan’ dengan PAS ialah kerana kesedarannya betapa UMNO-BN telah kehilangan sokongan rakyat (seperti dinyatakan oleh KP PAS), maka kehendak UMNO untuk bersama dengan PAS tentunya adalah untuk mendapatkan sokongan yang telah hilang itu. Secara spesifiknya sokongan orang Melayu Islam itulah yang diharapkan oleh UMNO kerana PAS itu sama saja dengan parti Melayu itu mengikut komposisi demografi ahlinya.

Maka dengan kerjasama bersama PAS, cara untuk UMNO mendapat sokongan tambahan menjelang pilihanraya umum nanti ialah — Mendapatkan undi ahli-ahli dan para sympathiser PAS itu sendiri.

Inilah jalannya agar silaturrahim yang dijalin ini ada hasilnya bagi pihak UMNO. Jika tidak, UMNO hanya akan mendapat organisasi penasihat agama sahaja. Bukankah ini sebab UMNO teringin dengan PAS seperti yang dinyatakan oleh KP PAS tadi?

Dalam hal ini, dua persoalan penting perlu dibangkitkan. Dan persoalan ini perlu diambil kira kerana sebarang kerjasama adalah bersifat hubungan mutualisme atau faedah dua hala. Tidak dipanggil kerjasama sekiranya satu pihak memberi dan satu pihak lagi sekadar menerima. Dalam hal ini, UMNO perlu memberikan sesuatu kepada PAS dan itu telah jelas seperti di atas mengikut perkiraan PAS. Pada masa yang sama, PAS juga perlu memberikan sesuatu kepada UMNO.

Jika PAS mendapat ‘padang politik’ yang lebih baik seperti ditawarkan UMNO, apakah yang diperolehi oleh UMNO?

Adakah sekadar nasihat agama? Atau pelan alternatif Islami (yang saya doakan ia berjaya dihasilkan)? Saya tidak yaqin UMNO telah bertaubat daripada kebejatannya dan akan menerima baik nasihat agama atau cadangan selainnya seperti seorang pesalah di hadapan tali gantung.

Hakikatnya apa yang diinginkan oleh UMNO, seperti yang menjadi asas 2 persoalan selepas ini, ialah — Sokongan rakyat!

Maka persoalan pertamanya di sini ialah — Adakah ahli PAS akan memberi undi mereka kepada UMNO sedangkan PAS menyatakan mereka masih sebagai pembangkang?

Bentuk jalinan semasa PAS-UMNO, yang disambut baik oleh KP PAS, tidak akan membenarkan hal ini berlaku. PAS sebagai pembangkang tidak akan memberikan undi ahlinya kepada UMNO yang sekadar dinasihatinya, bukan disertainya. Bahkan PAS saat ini masih menyatakan aspirasinya menggantikan UMNO sebagai pemerintah. (Kompleks bukan hubungan dua parti ini?)

Hal ini bererti bentuk jalinan semasa ini hanyalah bermanfaat untuk PAS (mengikut hitungan sifir mereka) dan tidak bermanfaat untuk UMNO. Jika demikian, kerjasama ini sebenarnya bukanlah kerjasama. Hanya UMNO sahaja memberi, dan PAS tidak pula memberikan apa-apa dalam konteks meraih sokongan rakyat. Bukankah itu motif utama pinangan UMNO kepada PAS?

Maka di sini kita terpaksa berhadapan pula dengan persoalan kedua iaitu — Apakah jalinan PAS-UMNO ini akan kekal dalam bentuk semasanya, yang tidak menguntungkan UMNO?

Jika jawapannya ya, maka UMNO telah mengambil langkah yang silap. UMNO akan menyedari kesilapannya dalam masa terdekat dan jalinan ini tidak akan kekal lama. Ia akan bertahan dalam tempoh maksimum sebelum tibanya PRU14. Saat itu, percubaan UMNO mendapatkan sokongan tambahan akan berakhir dan usaha keras PAS pula (untuk mebaiki sistem negara dalam tempoh singkat jalinan ini) tidak akan berhasil sedang dirinya sudah punya bayang-bayang songkok dan keris.

Bagaimanapun, jika jawapannya tidak di mana jalinan PAS-UMNO ini akan berubah daripada bentuk semasa lalu berkembang menjadi sebuah koalisi rasmi, maka inilah jalannya untuk UMNO meraih undi ahli PAS. Inilah jalannya untuk UMNO beroleh manfaat daripada jalinan ini. Atas dasar ini saya katakan — UMNO tidak akan berpuas hati dengan sekadar kerjasama dalam bentuk semasa ini.

Mereka akan usahakan agar ada penyusunan tertentu di mana PAS akan bargabung dengan UMNO, atau PAS akan meminta ahlinya memberi undi kepada UMNO. Bererti, wujud kemungkinan di mana kerjasama atas dasar ‘kepentingan agama dan negara’ ini berkembang pula menjadi satu persetujuan politik dalam menghadapi pilihanraya!

Ya, saya juga terkejut dengan cetusan yang cukup-cukup gharib ini. Tapi ia bisa terjadi!

Kata warga yang berbahasa Inggeris — Possible, even if not probable!

Agak sukar untuk membayangkannya saat ini, tapi ia perlu bagi UMNO. Saya menganggarkan penjelasan seperti ‘menyokong UMNO bererti menjamin kelangsungan pelan-pelan Islami PAS’ akan digunakan, baik oleh pemimpin UMNO kepada ahli PAS atau oleh pimpinan-pimpinan PAS sendiri kepada masyarakat muslim seluruhnya. Inilah jalannya UMNO beroleh sokongan tambahan, dan inilah juga jalannya agar kerjasama PAS-UMNO berterusan!

Saya faham ia sangat spekulatif dan barangkali mustahil untuk diterima saat ini; tetapi pernahkah sekali seumur hidup kamu membayangkan bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan UMNO buat kali kedua? Ia juga hal yang ‘mustahil’ tetapi perkembangan semasa menunjukkan ia sedang berlaku saat ini.

Ini adalah kemungkinan kedua, di mana bentuk semasa kerjasama PAS-UMNO akan menjadi lebih sofistikated iaitu koalisi PAS-UMNO dalam pilihanraya umum.
Bagaimanapun, kemungkinan kedua ini amat berbahaya untuk PAS.

Jika jalinan seperti ini yang berlaku, maka PAS akan ditolak bukan sahaja oleh kaum bukan bumiputera yang telah sedia menolak UMNO-BN (lihat saja PRU13), kaum bumiputera Melayu yang 54% menolak UMNO-BN juga akan turut menolak PAS! Bahkan peratusannya mungkin bertambah lantaran keluarnya baki ahli, sympathiser PAS yang ikhlas dan kritikal, yang saat ini masih mengambil keputusan berkecuali dengan konflik semasa PAS.

Jika benarlah bacaan ini, maka PAS bukan sahaja akan kehilangan undi di kawasan-kawasan campuran bahkan mereka juga akan kehilangan undi di kawasan majoriti Melayu. Maka perjuangan mengembalikan Islam kembali ke tempat tertinggi akan terbantut.

Tidak mustahil hal ini berlaku termasuklah di pedalaman, melainkan ahli PAS telah menjadi seperti ahli UMNO — Apa saja yang berlaku, PAS pilihanku. Dulu, kini, dan selamanya.

Harapnya tidak begitu. Apapun, dunia ini bukanlah binari sifatnya.

Saya bersedia meraikan kemungkinan ketiga di mana hasil hujungnya masih tidak dapat dijangkakan. Boleh jadi PAS menyedari bahayanya jalinan ini dan mengubah fikiran dalam masa terdekat. Boleh jadi juga UMNO tersedar akan sia-sianya hubungan dengan PAS lalu berpatah arah. Berkemungkinan juga PAS berjaya dipujuk oleh KeADILan lalu menyertai Pakatan Harapan.
Mungkin.

Kesemuanya dalam ilmu Allah. Tidak ada manusia yang sedar kelemahan dirinya mampu menyenaraikan kesemua kemungkinan yang ada. Dunia tiga dimensi ini adalah terlalu kecil untuk dibandingkan dengan tujuh lagi dimensi yang berpotensi wujud.

Sebuah Persimpangan. Sebuah Kemestian?

Permainan PAS-UMNO ini sememangnya sangat berbahaya kepada PAS, lebih daripada bahayanya kepada UMNO.

UMNO tidak ada apa-apa untuk dirisaukan daripada jalinan ini kerana ia sememangnya sedang terdesak. Tetapi PAS… PAS punya legasi 60 tahun untuk dipertaruhkan.

Dalam kegawatan ekonomi dan permasalahan sosial semasa yang berterusan; juga tempoh singkat setahun lebih sebelum tibanya pilihanraya berikutnya — Percaturan yang sangat berbahaya kepada PAS ini sedang dalam teka-teki. Dan saya risau kredibiliti PAS akan terus tercalar selagi teka-teki ini tidak selesai atau dijelaskan dengan baik.

Sungguh saat ini bukanlah masa untuk bermain-main dengan UMNO-BN.

Jika rakyat menolak UMNO-BN atas krisis kepimpinannya, apakah PAS merasakan ia akan dapat meraih sokongan rakyat dengan kerjasama bersama UMNO-BN pula? Kalaulah strategi menzahirkan kesungguhan pelan dan perlaksanaan ‘program agama’ dan ‘alternatif Islam’ yang ingin ditunjukkan, apakah itu keperluan rakyat terbanyak dan apakah PAS telah bersedia untuk bertindak dengan berkesan?

Mampukah PAS membawa pelan konstruktif Islami itu sedang perlaksanaan praktikal bagi resolusi Kongres Rakyat, seperti yang disebut sebelum ini, pun masih belum terlihat hasilnya? Dan sekiranya PAS mampu (mudah-mudahan), apakah UMNO akan menerima baik saranan PAS itu sedangkan tawarannya sebelum ini dalam hal pindaan ‘Akta 355' pun ditolak ke tepi begitu saja?

Sungguh PAS berada dalam sebuah persimpangan. Dan usaha melobi ke arah satu-satu keputusan sedang berjalan. Muktamar khas pula masih belum dapat dipastikan tarikhnya.

Saya mendoakan agar pimpinan PAS yang ikhlas dan kritikal seperti Dato’ Husam, Dato’ Mahfuz, juga tokoh-tokoh yang terkenal lantang seperti Us. Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato’ Iskandar Abdul Samad akan dapat mengubah arus ini.

Apa jua keputusannya, saya bersyukur kepada Allah kerana parti Islam kedua telah ada.

Persimpangan ini bukanlah satu kemestian.
Tangan-tangan pemberi tongkat, yang barangkali memejamkan mata kepada sifat penerima tongkat itu, sama sekali tidak diperlukan.

Kerana yang zalim itu mesti diturunkan. Kita tidak punya banyak masa — Usahanya perlu bermula sekarang.

.: Harith Abd Rani
Disclaimer: PAS masih belum mempunyai keputusan akhir dalam hal ini. Tulisan ini seluruhnya merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda PAS.

Facebook penulis boleh dilawati disini:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=708641945902011&id=100002686358316

2 comments:

  1. Sekarang ni isu perkauman sedang giat dijalankan untuk mengaburi orang melayu untuk kembali kepada UMNO.

    ReplyDelete
  2. Masih ada saki baki yg reti pikir dlm pas..

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa