Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, July 20, 2010

Kos Perbelanjaan Kerajaan Pusat Membelit Kemiskinan di Sabah

Membenarkan apa yang saya tulis mengenai Sabah sebelum ini bertajuk Dari Pandangan Mataku. Apa yang saya tulis adalah hasil dari pengamatan mata sendiri semasa melawat Sabah baru-baru ini.

Oleh Luke Rintod

KOTA MARUDU: Bekas timbalan menteri persekutuan Jeffrey Kitingan berkata perbelanjaan mengurus semasa dalam kerajaan pusat cukup membimbangkan melihatkan trend kemiskinan dan juga kos-kos hidup yang meningkat kini.

Menurut Jeffrey, walaupun berbilion ringgit dilaburkan ke setiap negeri namun ia hanya memberi kesan kecil terhadap kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak.

Jeffrey yang berkhidmat sebagai bekas menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedekad lalu, berkata satu unit tertentu di bawah pejabat Perdana Menteri membelanjakan RM4 bilion setiap tahun hanya untuk operasi sahaja.

"Jika dibandingkan dengan RM4bilion dengan RM1bilion yang disimpan oleh kerajaan untuk memotong subsidi minyak kepada kumpulan yang berpendapatan rendah…..bila kita potong subsidi, harga barang akan naik dan kumpulan itu yang akan terkena kesan paling mendalam

Beliau yang kini menyertai PKR berkata, kerajaan persekutuan kini berhadapan risiko kehilangan kuasa ekoran terlalu menurut nafsu dengan berbelanja berlebihan ke atas projek-projek mega.

Menurutnya, BN gemar melabur ke atas projek-projek yang tidak wajar seperti litar formula

Menara Kembar Petronas, pembelian kapal selam yang tidak berguna, jet-jet pejuang, bakun dan banyak lagi ketika rakyat sedang menderita.

"Kerajaan hilang banyak duit dan membuang masa dengan menumpukan ke atas projek-projek mega tersebut. Sedangkan pelaburan itu boleh digunakan ke atas rakyat terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Naib Presiden PKR itu juga menjangkakan angin perubahan akan berlaku di seluruh negara termasuklah di timur Malaysia dan melihat pimpinan pusat PKR mampu membawa idea-idea baru bagi membelanjakan wang untuk manfaat rakyat.

Beliau merujuk kepada pimpinan PKR bagi kerajaan Selangor yang membuka akaun RM100 kepada bayi baru lahir di negeri tersebut.

"Inilah caranya, setiap bayi dipastikan untuk mendapat sedikit wang apabila mereka dewasa dan boleh mengeluarkan wang tersebut bagi pelaburan mereka kelak," katanya.

Kenaikan kos dan peluang yang semakin berkurang

Rakyat tempatan kecewa dengan sedikit kemajuan yang dicurahkan di kawasan paling utara di Sabah sejak tahun 1970.

Seorang rakyat tempatan, Itoh Manggong berkata, kerajaan pusat sepanjang pemerintahan perdana menteri sebelum ini gagal membangunkan Sabah terutama wilayah utara yang merangkumi Kota Marudu, Matunggung, Kudat, Pitas dan Pulau Banggi.

"Kami dipinggirkan daripada pembangunan. Jalan di kawasan kami dibina pada tahun 1975 dan ia tidak pernah diperbaiki sehingga sekarang. Ini satu negara malang… kami telah diabaikan setelah sekian lama," katanya.

Itoh yang berasal dari Matunggung berkata walaupun berjuta-juta ringgit diumumkan sekitar bahagian Sabah, namun hanya sedikit kemajuan yang dapat dilihat.

"Bila tiada jalan yang elok, tiada sebarang kemajuan akan dapat dilihat, kami tiada sebarang peluang seperti ditawarkan kepada bandar besar seperti Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, seorang ketua komuniti tempatan, Liliton Mindulong, turut bersetuju dengan Itoh dan beliau berasa sedih di atas keadaan orang kampungnya.

"Kami jarang sekali mempunyai wang yang cukup. Malah kos sara hidup meningkat disebabkan kenaikan harga minyak dan gas serta barangan keperluan lain yang turut menjerat kami," katanya.

Sumber dari freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa