Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, August 14, 2017

Cemaskah Najib: Isy......takkan senang-senang nak berpusing haluan?

Monday, August 14, 2017
Pertemuan pemimpin PKR dengan Hadi cemaskan Najib?
IKTISAR PETANG

Gambar kunjungan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama timbalannya Azmin Ali dan naib presiden Dr Shahruddin Badaruddin ke atas presiden Pas Abdul Hadi Awang sebagai menziarahi pemimpin nombor satu Pas itu tampak ringkas sahaja. Sekali pandang ia tidak ada apa-apa yang menarik untuk diperkatakan. Suasana gambar itu dipukul dalam sebuah bilik rehat Abdul Hadi yang agak eksklusif.

Lawatan itu hanya budaya dan tradisi biasa orang Melayu sesuai dengan ajaran Islam menggalakkan sesama Islam mengadakan ziarah dan kunjung mengunjungi ke atas saudaranya yang uzur atau sakit bagi memberi semangat kepadanya. Kunjungan tiga orang pemimpin PKR itu juga atas maksud sama.

Abdul Hadi masih dalam perihatan selepas menjalani pembedahan jantung sebulan lalu. Beliau masih dinasihatkan bercuti dan tugasnya sebagai presiden Pas dipangku oleh timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tidak ada apa-apa kenyataan dikeluarkan berhubung kunjungan berkenaan. Cuma Azmin memberi penjelasan kunjungan itu biasa dan tidak ada agenda politik? Persoalannya kenapa kunjungan secara bersama, presiden dan seorang naib presiden PKR? Dan kenapa Azmin harus menyatakan ia tidak ada agenda politik?

Tetapi atas sifat dan menerima bidalan kata, tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada apa-apa, kunjungan itu tetap membawa sesuatu yang menarik dan akan dinilai dengan berbagai tafsiran. Terutamanya dari pihak Najib Razak dan Umno yang sebelum ini selesa dengan pendirian Pas untuk bersendirian dan mengambil pendekatan politik Matang dan Sejahtera, pertemuan di bulan Zulkaedah di antara Hadi dengan pemimpin PKR itu sedikit sebanyak meresahkan Najib. Najib boleh menyebabkan mula membuat perhitungan yang kurang enak.

Dengan memahami bahawa politik itu bersifat dinamik, berubah, tentu presiden Umno membuat semakan dan mencari apakah tujuan tiba-tiba pemimimpin PKR itu mendatangi Abdul Hadi, dan Abdul Hadi pula bersedia menerima mereka dengan penuh mahabbah?

Apa dibimbangkan Najib, manalah tahu kalau-kalau Abdul Hadi merombak pendiriannya sebelum ini dan membuat  pertimbangan baru untuk kembali bersatu dengan parti pembangkang dan melupai hasrat untuk bersendirian, dalam masa sama menjalani kerjasama (ta'awun) dengan Umno. Apakah hasil pertemuan 30 ahli jawatan kuasa kerja Pas dengan Arul Kandasamy boleh merubah prinsip politik Abdul Hadi?

Najib juga boleh berfikir Pas mungkin mengubah pendirian setelah menyedari ura-ura untuk berkerjasama dengan partinya menyebabkan ahli dan penyokong parti agama itu menentang dan sedia meninggalkan Pas. Ini mungkin yang dinilai semula oleh Abdul Hadi.

Mengenai pertemuan itu, Najib dan orang Umno tidak boleh menerima begitu sahaja melainkan dicari apakah sebab musabab sehingga membawa ketiga orang pemimpin itu menemui Abdul Hadi. Apa juga yang mungkin difikir dan menimbulkan tanda tanya kalau kunjungan itu untuk semata-mata ziarah, kenapa selepas sebulan Hadi menjalani pembedahan jantung, bukan diawal-awal.

Sedangkan Najib menurut Tuan Ibrahim Tuan Man awal-awal telah melawat dan menziarahi Abdul Hadi datang memberi kata-kata semangat dan doa. Jika kunjungan itu tidak membawa apa-apa motif cukup Azmin seorang sahaja berjumpa dengan Abdul Hadi lagi pun beliau diketahui rapat dengan presiden Pas itu.

Apakah Najib dan Umno tahu sebelum Azmin membawa Dr Wan Azizah menemui Abdul Hadi, sudah ada dua pertemuan oleh pemimpin tertinggi Pas dengan Azmin seminggu lalu? Mungkin Najib tahu dan mata-mata gelapnya sudah melaporkan hal ini. Boleh jadi pertemuan dengan Abdul Hadi itu ekoran dari pertemuan dua pemimpin tertinggi Pas dengan Azmin itu.

Dari konteks politik yang sifatnya suka mengambil kesempatan dari suasana apa sahaja, tentunya juga pertemuan itu bukan saja-saja melainkan ada tujuan dan maksudnya. Dengan memahami keadaan ini Najib wajar berasa cemas dan bimbang dengan peristiwa di Zulkaedah itu. Kunjungan Azmin itu mungkin menjadi petunjuk yang Pas membuat perkiraan baru dalam politiknya. Mungkin?

Apa lagi Abdul Hadi tidak memberi ulasan panjang mengenai pertemuan itu dan juga pertemuan dua pemimpin Pas dengan Azmin. Abdul Hadi hanya menulis di laman facebook nya beliau menerima kunjungan pemimpin Keadilan, tidak lebih dari itu. Mungkin cara Abdul Hadi mencatat itu untuk mengabui bahawa ada perkara sulit yang turut dibincangkan dalam pertemuan itu dan beliau melindungi dengan catatan sebegitu.

Dan musatahil sebagai presiden, Abdul Hadi tidak mengetahui mengenai pertemuan dua pemimpin tertinggi Pas dengan Azmin serta buah bicaranya kecualilah ada pihak yang ingin menyembunyikan perkara itu daripadanya? Yang pastinya kehadiran dua pemimpin tertinggi Pas menemui Azmin itu tentu ada motifnya. [wm.kl.6:50 0m 14/08/17]

Posted by mohd sayuti Omar at 7:00:00 PM 

1 comment:

  1. excelente publicar , muito informativo. Me pergunto por outro especialistas deste sector don '
    t perceber isto. Você deve continuar sua escrita.

    Eu sou certeza , tens um grande dos leitores base já!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa