Zaid: Henti jadi ‘nerd’ Khairy, anda tiada di forum PPBM
Zaid Ibrahim mengkritik respons Khairy Jamaluddin terhadap keganasan yang tercetus di forum Nothing to Hide 2.0 dengan berkata, ramai tidak akan menghormati menteri belia dan sukan itu lagi.
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim mengkritik tindakan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menepis dakwaan ke atas Umno susulan keganasan yang tercetus di forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Pemuda PPBM di Shah Alam, semalam.
“Jangan jadi ‘nerd’ Khairy, saya ada di sana dan anda tidak. Ia jelas menunjukkan kumpulan pengacau itu sudah diberitahu apa yang perlu dikatakan dan dilakukan,” tulis bekas menteri itu di Twitternya, pagi ini.
Beliau menjawab tweet Khairy semalam yang berkata: “Apa yang berlaku pada #Nothing2Hide perlu dikecam dan tidak boleh dibiarkan. Harap polis tangkap mereka yang bertanggungjawab.
“Saya mengecam apa yang berlaku, tetapi tunggu polis menyelesaikan siasatan sebelum anda mula tuding jari,” tulis Khairy di Twitternya semalam.
Zaid yang menyertai DAP Februari lalu mempersoalkan kurangnya tanggungjawab Khairy selaku pemimpin Umno serta menteri belia dan sukan.
“Tidakkah anda merasakan sedikit bertanggungjawab terhadap tingkah laku anak muda Melayu ini? Bukankah anda pemimpin belia?
“Saya tahu anda perlu menjadi seperti mereka, jika ingin menjadi pemimpin tertinggi suatu hari nanti, tetapi jika anda tidak mengutuk tindakan sedemikian, ramai yang tidak akan hormat anda,” kata Zaid dalam 2 lagi catatan di Twitternya hari ini.
Kekecohan tercetus di forum Nothing to Hide 2.0 petang semalam ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985 semasa beliau menjadi perdana menteri.
Sebelum beliau selesai menjawab soalan itu, ada individu mula membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum melontar suar yang dinyalakan ke arah pentas di mana Dr Mahathir berdiri.
Dewan Raja Muda Musa kemudiannya dipenuhi asap dan insiden tumbuk-menumbuk dikatakan berlaku ketika ahli PPBM meluru ke pentas untuk melindungi bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu.
Dr Mahathir tidak cedera, tetapi FMT difahamkan sekurang-kurangnya seorang sukarelawan PPBM cedera akibat balingan sebuah kerusi.
Polis mengesahkan 3 suspek berusia 17 hingga 19 tahun, termasuk 2 pelajar kolej swasta ditahan bagi membantu siasatan.
Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan itu secara tiba-tiba membaling suar, kerusi dan botol air ke arah pentas di mana Dr Mahathir sedang berada pada ketika itu.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa