Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, August 28, 2017

Ketua AMK Kelantan dipecat, bagaimana pula dengan Azmin Ali?

Ketua Pemuda PKR Kelantan dipecat
Amin Iskandar
Dikemaskini 2 jam yang lalu · Diterbitkan pada 28 Aug 2017 12:16PM

Ketua Pemuda Kelantan Mohd Hafidz Rizal Amran dipecat awal pagi ini dan akan digantikan menurut Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight , 27 Ogos, 2017.

PERGOLAKAN dalaman PKR semakin hebat apabila Ketua Pemuda Kelantan Mohd Hafidz Rizal Amran dipecat melalui mesej di aplikasi WhatsApp hari ini.

Hafidz menerima mesej itu daripada Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pagi ini.

"Salam hormat, saya menerima WhatsApp dari YB Nik Nazmi Nik Ahmad pada jam 9.08 pagi ini yang memecat saya serta merta daripada jawatan ketua AMK Kelantan.

"Saya akan menyatakan pendirian dan memberi maklum balas dalam tempoh terdekat," tulis Hafidz melalui akaun Facebooknya hari ini.

Perkara itu disahkan Nik Nazmi kepada The Malaysian Insight.

"Ketua AMK Kelantan digantikan," kata Nik Nazmi ketika dihubungi.

"Penukaran ketua Pemuda PKR Kelantan ini adalah hasil susulan daripada pertemuan Pemuda Pusat dan Kelantan yang turut dihadiri timbalan saya Dr Afif Bahardin."

Menurut Nik Nazmi, beliau sudah memaklumkan perkara ini kepada Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir.

"Pengumuman nama ketua baharu akan dilakukan dalam jangkamasa terdekat," kata Nik Nazmi yang juga exco kerajaan negeri Selangor.

Pertembungan dalaman PKR semakin memuncak apabila Naib Presiden Rafizi Ramli mengatakan kongres khas perlu dibentuk segera untuk menyelesaikan isu kerjasama antara PAS dan kerajaan negeri Selangor.

Beliau berkata perbezaan mengenai perkara itu (sama ada untuk bekerjasama dengan PAS bagi mengekalkan penguasaan terhadap Selangor) memecahbelahkan parti itu dan kini menyebabkan kekeliruan di kalangan penyokong akar umbi. – 28 Ogos, 2017.

PKR nafi berunding dengan PAS
  | August 28, 2017
Tetapi Saifuddin Nasution enggan mengulas lanjut dakwaan Azmin Ali berjumpa pemimpin PAS mewakili partinya.
PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution hari ini menafikan dengan keras partinya ada mengadakan perbincangan dengan PAS, susulan pendedahan Datuk Seri Azmin Ali pada Sabtu lepas yang mendakwa PKR menyetujui rundingannya dengan parti itu.
Saifuddin berkata perbincangan pembahagian kerusi buat masa ini hanyalah melibatkan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, Amanah dan PPBM.
“Pertemuan itu pertemuan dibuat pimpinan tertentu dalam PKR. Tetapi tidak sampai berunding kerusi. Saya cuma mengesahkan tidak ada perbincangan kerusi antara PKR dan PAS lagi.
“Perbincangan kerusi hanya berlaku dalam parti PH. Saya terlibat sepenuhnya. Sekarang hampir setiap hari kita buat mesyuarat. Kalau ada pimpinan tertentu bertemu PAS, itu saya tak nak komen, mereka boleh komen sendiri,” katanya kepada FMT.
Pada Sabtu, Azmin mendakwa rundingannya dengan PAS mendapat mandat parti, selepas timbul spekulasi PKR cuba mengadakan perjanjian berasingan dengan PAS bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
“Mereka selalu kata rundingan itu inisiatif saya, tetapi sebenarnya bukan inisiatif peribadi saya. Rundingan itu keputusan PKR. Saya mewakili parti,” kata Azmin, yang menyifatkan perbincangan dengan PAS sebagai “tidak rasmi” dan hanya melibatkan PKR dan PAS.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong mengumumkan keluar daripada Biro Politik PKR, badan tertinggi yang memutuskan hala tuju parti itu.
Dua minggu lepas, Azmin dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kedua-dua parti itu pada Mei lalu secara rasmi menamatkan kerjasama selama 2 dekad, selepas PAS menuduh PKR melanggar syarat “tahaluf siyasi”.
Saifuddin hari ini enggan mengulas lanjut dakwaan Azmin beliau berjumpa pemimpin PAS mewakili partinya.
Sebaliknya, beliau berkata Azmin boleh berjumpa sesiapa sahaja dengan jawatan yang ada dalam PKR.
“Dia timbalan presiden, maknanya pada kedudukan itu, boleh jumpa dengan siapa pun,” katanya.
Kongres khas
Saifuddin berkata PKR boleh mengadakan kongres khas memutuskan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan PAS, seperti mana dilakukan PAS ketika memutuskan hubungan dengan PKR.
“Apabila PAS memutuskan dengan PKR, PAS memang buat keputusan itu melalui Muktamar PAS.
“Kalau ada perbincangan dalam PKR seumpamanya di pihak PKR, mungkin kongres parti boleh dibuat,” katanya.
Saifuddin menjelaskan, di bawah perlembagaan PKR, kongres khas boleh dipanggil oleh presiden, dua pertiga daripada ahli pimpinan pusat, atau 1/3 daripada perwakilan cabang.
Semalam, Naib Presiden Rafizi Ramli mencadangkan PKR mengadakan kongres khas memutuskan sama ada akar umbi mahu terus berunding dengan PAS atau tidak.
Rafizi mengakui wujud 2 kelompok bertentangan dalam parti itu mengenai cara menangani PAS.
Katanya, ia sudah berlaku sejak pertengahan 2015 dan dikhuatiri akan memberi kesan kepada persedian gabungan berkenaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Menurut Rafizi, antara pemimpin yang menyokong berunding dengan PAS ialah Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin, Zuraida Kamaruddin, R Sivarasa, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Fahmi Fadzil.
Pemimpin yang tidak bersetuju berunding dengan PAS, menurut Rafizi, ialah Saifuddin, Nik Nazmi Nik Ahmad, Datin Tan Yew Kew, Syed Ibrahim Syed Noh, Datuk Johari Abdul dan William Leong.
Leong baru-baru ini melepaskan jawatannya dalam Biro Politik PKR kerana tidak bersetuju sebarang rundingan dengan PAS.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa