Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, September 25, 2011

Penyamun Hanya Hadapi Tindakan Tukar Sahaja!

SPRM tukar pegawai dituduh samun pengurup wang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menukar tiga pegawainya yang disyaki menyamun pengurup wang rakyat asing pada 15 September lalu, ke bahagian pentadbiran jabatan itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaffar, berkata pertukaran itu bagi memastikan ketiga-tiga pegawai berusia 20 hingga 35 tahun itu tidak terbabit dalam kes penyiasatan sepanjang siasatan polis.

"SPRM memandang serius kes ini dan tidak akan melindungi pegawai-pegawai berkenaan yang didakwa terbabit dalam perbuatan jenayah.

"Justeru tindakan diambil untuk menukar pegawai-pegawai berkenaan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia berkuatkuasa serta merta dan hanya akan menjalankan tugasan pentadbiran sepanjang siasatan polis," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penyerahan Kompleks Pejabat SPRM Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Tiga pegawai SPRM yang dilaporkan bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebelum ini ditahan kerana disyaki menyamun seorang pengurup wang rakyat asing kira-kira RM900,000 pada 15 September lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Zakaria berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes itu bagi menentukan sebarang pelanggaran peraturan yang serius dan jika terdapat pelanggaran, SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih berat dan setimpal.

Beliau berkata, ketiga-tiga pegawai terbabit terdiri daripada pegawai berpangkat Pemangku Penolong Pesuruhjaya (Gred P48), Penolong Kanan Penguasa (Gred P32) dan Penolong Penguasa (Gred P29).

Sementara itu, Zakaria berkata, bangunan baru SPRM Kelantan bernilai RM24.6 juta itu akan beroperasi sepenuhnya pada 1 November ini.

Beliau berkata, bangunan yang mula dibina pada Ogos 2008 di atas tanah seluas 0.727 hektar di Mukim Kenali, berhampiran bandar Kota Baharu itu dilengkapi pelbagai prasarana termasuk bilik temubual dan rakaman saksi, bilik menunggu saksi serta tiga unit lokap untuk lelaki dan wanita selain kemudahan untuk golongan kelainan upaya seperti lif, bilik air dan kawasan parkir khas.

"Aspek keselamatan turut diberi perhatian khusus dengan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di luar dan dalam kawasan bangunan, tingkap yang dipasang jeriji besi serta pintu masuk yang dilengkapi sistem 'kad akses'," katanya.

Majlis penyerahan replika kunci itu disempurnakan oleh Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am, Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur, Datuk Dr Amer Hamzah Mohd Yunus kepada Zakaria.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa