Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, May 27, 2014

Etnik Miao: Senapang Menjadi Tradisi

Tradisi senapang etnik Miao

Kumpulan etnik Miao di Biasha, China menjadi satu-satunya kelompok orang awam yang dibenarkan memiliki senjata api untuk digunakan dalam persembahan.
 GAYA hidup bersenjata berusia ratusan tahun di Biasha kini dijadikan tarikan utama pelancong luar dan tempatan ke daerah tersebut
 WANITA entik Miao mengenakan baju berwarna-warni bersama kain singkat dan gelang kaki yang merupakan kostum tradisional mereka
SEKUMPULAN pemuda etnik Miao menari sambil memegang senjata api yang dipertontonkan di hadapan pelancong asing.

TEMBAKAN raifal mendengung-dengung di ruang udara perkampungan di kawasan gunung itu. Orang yang mendengar dan menyaksikan aksi itu pula langsung tidak cemas atau gentar. Malah tembakan itu disambut gemuruh keterujaan.
"Kami mula membawa pistol sejak berumur 15 tahun dan merupakan satu-satunya puak yang dibenarkan memiliki senjata api di China," ujar Jia Xinshan sambil jarinya kemas menarik picu raifal kayu dan disaksikan para pelancong yang mengambil kesempatan untuk mengambil gambarnya yang segak berkot hitam kilat.
Gaya hidup bersenjata di Biasha, sebuah perkampungan yang terletak di tengah-tengah hutan tebal di daerah Guizhou merupakan satu peringatan kepada era konflik antara Beijing dan puak-puak pergunungan yang masih mendiami sebahagian kecil kawasan barat daya China.
Penduduknya sehingga kini dibenarkan untuk memiliki senjata api tetapi kegunaannya hanya dihadkan dalam pertunjukan kepada pelancong. Ia menjadi satu ilustrasi terhadap integrasi kelompok minoriti itu dalam pemerintahan republik tersebut.
Senjata api
Sebagai negara yang sering berwaspada terhadap kekacauan dan jenayah, China menyekat pemilikan senjata api dalam kalangan majoriti orang awam.
Justeru, kebolehan menyaksikan tembakan dilepaskan di tempat awam di Biasha mencipta atmosfera yang menyalahi undang-undang di tempat lain.
"Dahulu kami gunakan senapang untuk mengawal keselamatan kampung. Kini kami menyandang senapang sebagai satu bentuk impresi kepada pelancong," kongsi Xinshan, 30, yang melakukan persembahan setiap hari dalam bentuk rutin tarian bersenapang.
Pondok-pondok kayu di Biasha yang menjajar sehingga ke lereng bukit merupakan kediaman kepada kumpulan etnik minoriti Miao dengan populasi kira-kira 12 juta orang. Mereka lebih banyak menggunakan bahasa sendiri berbanding bahasa Mandarin.
Nama Miao pertama kali diberikan kepada puak-puak pergunungan ketika pemberontakan berdarah tercetus antara mereka dan pemerintah China sekitar tahun 1600-an. Rentetan peristiwa itu memaksa mereka berpindah ke kawasan pergunungan yang lebih tinggi.
Menurut kajian pakar sejarah, Robert Jenks seperti yang diterbitkan oleh Universiti Hawaii, Amerika Syarikat, pejuang-pejuang Miao mempunyai kemahiran tinggi dalam mengendalikan senjata api seawal tahun 1681.
Kajian ilmiah Jenks turut mendedahkan askar upahan British pada tahun 1870 menceritakan bahawa tentera China kehilangan 30 hingga 40 anggota mereka setiap hari akibat serangan hendap pejuang Miao ke atas kem-kem mereka pada waktu malam.
Peperangan terbesar antara dua pihak itu tercetus pada abad ke-19 sehingga mengakibatkan jutaan orang terbunuh. Apabila pemberontakan itu berakhir, para pemimpin Miao dihukum gantung pada tahun 1872.
Profesor di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, Siu-Woo Cheung menyatakan, masyarakat di gunung kemudiannya berdepan kepayahan untuk mengadaptasi kehidupan di bawah sistem pemerintahan baharu.
Begitupun, pada tahun 1912 selepas keruntuhan dinasti terakhir China, orang Miao menerima pengiktirafan rasmi sebagai kumpulan etnik di republik tersebut. Bersama autonomi yang terhad, status mereka kekal sehingga Parti Komunis merebut kuasa 30 tahun kemudiannya.
Kini orang Miao selesa di Biasha. Meskipun dibenarkan meneruskan tradisi pemilikan senjata api, pakar bagi menghasilkan alatan itu di kampung tersebut kini hanya tinggal seorang.
Gun Laosheng, satu-satunya pembuat senjata api di Biasha memberitahu: "Saya memerlukan dua hingga tiga hari bagi menghasilkan selaras senapang. Kemahiran ini diperturunkan bapa saya yang juga cekap memburu burung liar."
Persembahan
Tambah Laosheng, bisnesnya semakin merosot ekoran kecenderungan penduduk kampung membeli senjata api daripada pedagang luar. Lagipun, penggunaan senapang di Biasha juga dihadkan untuk persembahan sahaja dan tidak lagi dibenarkan untuk tujuan berburu.
Aktiviti memburu haiwan telah diharamkan sebagai langkah China bagi melindungi hidupan liar.
Selain berburu, penduduk Biasha turut dinafikan hak membeli serbuk letupan di pasar. Justeru mereka terpaksa membeli secara rahsia.
Pengarah filem yang pernah menghabiskan masa lebih setahun di kampung itu, Ning Jingwu menyatakan: "Pemerintah membenarkan mereka memiliki senjata api tetapi dengan syarat yang sangat ketat.
"Mereka terpaksa mendapatkan bekalan senjata api daripada orang luar dan kini senapang yang merupakan pertahanan signatur mereka hanya dijadikan alat dalam persembahan."
Pihak berkuasa China baru-baru ini merampas 15,000 senjata api daripada pedagang haram di bandar Guiyang yang terletak 300 kilometer dari Biasha.
Seorang penduduk kampung berusia 37 tahun, Guan Nila bagaimanapun menyetujui prinsip pengehadan penggunaan senjata api di tempatnya. Dia menyifatkan China sebagai negara yang aman dan sekiranya perlu mempertahankan diri, dia tidak memerlukan sebarang senjata api. - AFP

2 comments:

  1. Wow, this article is pleasant, my younger sister is analyzing these kinds plenty of fish dating site of free dating things, therefore
    I am going to tell her.

    ReplyDelete
  2. I have been browsing online more than 4
    hours today, yet I never found any interesting article like yours.
    It's pretty worth enough for me. In my view,
    if all website owners and bloggers made good content as you did, the web will be
    much more useful than ever before.

    Review my blog :: Plenty Of Fish Dating Site Of Free Dating

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa