Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 1, 2015

Pakatan curang?

SURAT TERBUKA KEPADA PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT

YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Ahli Parlimen Permatang Pauh
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

YB Dato Seri,

PAKATAN HARAPAN PKR-DAP-PAN atau PAKATAN CURANG PKR-PAS?

Assalamu’alaikum WBT. Sesungguhnya segala puji adalah milik Allah semata-mata. Kami memanjatkan pujian kepada-Nya. Kami memohon pertolongan dan keampunan dari-Nya. Kami berlindung kepada-Nya dari kejahatan peribadi dan dari keburukan amal perbuatan kami. Orang yang mendapat petunjuk dari Allah, tiada siapa yang dapat menyesatkannya. Orang yang dibiarkan tersesat oleh Allah, tiada siapa yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Kami mengaku bahawasanya tiada tuhan kecuali Allah, tiada sekutu bagi-Nya; dan kami mengaku bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasul Allah.

2. Surat terbuka ini kami tulis bukan sekali-kali kerana mahu mencari perselisihan dan jauh daripada maksud permusuhan. Tetapi hanya semata-mata hendak meluahkan kegusaran hati kami terhadap suasana politik yang dilihat semakin bercelaru kebelakangan ini. Sejak krisis MB Selangor tercetus lebih setahun yang lalu, nampak keadaan semakin merimaskan dari hari ke hari di mana parti-parti pembangkang yang saling bermuafakat dalam PRU-13 telah terlibat dalam sengketa sesama sendiri hingga berlaku kemelut demi kemelut yang tidak kunjung padam.

3. Kami bukan penulis politik atau media yang mengambil kesempatan dari krisis politik sebagai bahan yang boleh diulas dan diperniagakan untuk mencari makan. Bukan! Sekali-kali bukan. Kami hanya mewakili golongan bawahan yang tidak punya apa-apa kepentingan sama sekali dalam politik kepartian. Ini adalah suara hati golongan marhein yang sayangkan negara dengan ikhlas mengharapkan suatu perubahan politik yang mampu memulihkan ekonomi negara serta mengembalikan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

4. Surat ini kami tulis dengan air mata, kesedihan dan kekecewaan mengenangkan kedurjanaan sang pemerintah terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sesungguhnya air mata kami telah menitik dan mengalir ke tanah lalu hilang lenyap di dalam pasir ketika menyaksikan kezaliman yang ditimpakan ke atas DSAI. Itu adalah sebagai tanda kasih kami kepada insan yang bernama Anwar Ibrahim. Benarlah bagai dikata oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam tahun 1998 yang mengungkapkan : ‘Seandainya rakyat Malaysia tahu bahawa mereka telah kehilangan permata negara, nescaya mereka akan menangis kesedihan’. Tentu Allah tidak akan redha dengan penganiayaan sebegini yang dihadapkan ke atas seorang manusia, apatah lagi mangsa kezaliman itu ialah seorang Muslim yang sentiasa tidak lupa untuk rukuk dan sujud kepada Allah siang dan malam. Tetapi apa yang mampu kami lakukan untuk membela DSAI? Kami hanya orang kecil. Kami bukan siapa-siapa dan kami bukan apa-apa. Kami hanya mampu memanjatkan doa semoga Allah sentiasa memelihara kesejahteraan dan keselamatan Anwar. Kami tetap menganggap DSAI adalah permata negara yang sangat berharga dan tiada galang gantinya.
   
5. Kaedah dalam amalan sistem politik demokrasi seperti Malaysia, walau setinggi mana pun jawatan atau pangkat seseorang dalam pentadbiran kerajaan, namun dia tetap menjadi pekerja parti. Itu adalah hakikat yang tidak boleh disangkal atau dinafikan. Sayugia diingatkan bahawa seorang ketua kerajaan itu mesti patuh dan akur kepada arahan atau keputusan pucuk pimpinan parti, bukan sebaliknya. Alasannya mudah. Parti yang mempunyai kuasa memilih menteri besar, bukannya kerajaan yang berhak melantik ketua parti. Apa yang lebih mencederakan hati kami sebagai rakyat yang hina-dina ini ialah apabila menyaksikan seorang menteri besar ditentukan oleh pihak lain atau dipilih oleh presiden parti lain! Hal itu merupakan persendaan terhadap maruah dan keintelektualan kami sebagai rakyat yang hidup di dalam negara demokrasi.  

6. Kak Wan ialah Presiden PKR. Azmin Ali hanya seorang Timbalan Presiden. Telah berlaku rundingan meja bulat pada tarikh 22 September 2015. Parti-parti pembangkang dipelawa menyertai rundingan yang dipengerusikan oleh Kak Wan sendiri atas kapasiti sebagai Ketua Pembangkang dalam parlimen. Sebagai hasilnya, maka terbentuklah apa yang dinamakan sebagai Pakatan Harapan yang menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Democratic Action Party (DAP), bukan semata-mata bertujuan untuk merebut kuasa dari Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, tetapi perjuangan yang lebih utama ialah membela Anwar Ibrahim yang sedang merengkok dalam penjara kerana dizalimi dengan kejam. Saya yakin ketiga-tiga parti yang bersetuju membentuk Pakatan Harapan akur tentang perkara ini. Rakyat umum juga mengetahui akan penolakan PAS terhadap pelawaan untuk menyertai rundingan itu, sebagai isyarat bahawa PAS tidak sudi untuk bergabung dalam Pakatan Harapan. Titik.

7. Apabila disebut rundingan, maka setiap pihak yang menyertainya bebas untuk menyatakan pendapat, mengemukakan pandangan dan hujah masing-masing. Sebarang perbezaan pendapat yang berlaku dalam mesyuarat antara parti-parti politik adalah perkara biasa bahkan kalau kita pandai menanganinya tentu akan memberi rahmat kepada parti dan rakyat. Tetapi jika timbul kecurangan dan kebohongan di dalam pertukaran fikiran itu, maka perbezaan pandangan itu akan membawa kemudaratan dan menimbulkan fitnah pula. Padahal bukan itu yang kita semua kehendaki. Kata pepatah, ‘bulat air kerana pembetong, bulat manusia kerana muafakat’. Soalnya, kenapa rundingan meja bulat itu gagal menghasilkan keputusan yang bulat?

8. Apabila keputusan telah dimuktamadkan dan Kak Wan sendiri yang mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan selepas mesyuarat diselesaikan, kenapa Azmin Ali secara terbuka memberitahu media bahawa Pakatan Harapan yang baru dibentuk itu tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri Selangor? Bukankah itu suatu pengingkaran terhadap keputusan parti? Bukankah itu suatu penghinaan kepada AMANAH dan DAP yang turut sama mengambil bahagian dalam mesyuarat itu? Bukankah itu suatu kebiadaban yang ditunjukkan oleh seorang Timbalan Presiden terhadap PKR khususnya dan terhadap AMANAH dan DAP secara umum? Bukankah Azmin telah menunjukkan penderhakaannya terhadap Presiden PKR?

9. Kenapa Azmin terang-terang menolak keputusan mesyuarat yang diumumkan sendiri oleh Kak Wan? Atas dasar apa Azmin bertindak seolah-olah dia lebih berkuasa dari Kak Wan selaku Presiden PKR? Kalau mahu dibuat bandingan dari segi kedudukan, apa lebihnya Azmin daripada Kak Wan? Azmin ialah Adun Bukit Antarabangsa dan MP Gombak, tetapi Kak Wan juga Adun Kajang dan MP Permatang Pauh. Azmin Menteri Besar Selangor, tetapi Kak Wan menjawat Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia. Jadi perbuatan Azmin yang mengingkari keputusan mesyuarat dalam rundingan meja bulat tidak dapat dibenarkan oleh akal yang sihat. Pihak disiplin dan tatatertib parti seharusnya lebih tegas mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Azmin Ali.

10. Apabila PAS memutuskan hubungan dengan DAP, itu bermakna Pakatan Rakyat telah musnah. Pengumuman tentang penubuhan Pakatan Harapan lebih mengesahkan lagi kematian Pakatan Rakyat, malahan Kak Wan sendiri yang mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak lagi berfungsi. Lalu DAP mengumumkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang ialah kerajaan Pakatan Harapan. Tetapi kenapa Azmin yang hanya memegang jawatan Timbalan Presiden PKR dan turut hadir dalam rundingan meja bulat itu telah menyatakan secara terbuka selepas mesyuarat bahawa Pakatan Harapan tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri Selangor? Setelah PAS dengan terang dan nyata telah menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan melalui tindakannya yang tidak mahu menyertai rundingan dan melalui kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa orang pemimpin tertinggi PAS yang mengutuk dan mencerca AMANAH dan DAP, kenapa Azmin dengan angkuhnya menegaskan bahawa Adun PAS masih merupakan sebahagian dari kerajaan negeri Selangor? Atas alasan apa Azmin dibenarkan untuk melanggari keputusan mesyuarat? Permainan apa yang cuba dimainkan oleh PKR, wahai Kak Wan? Keistimewaan jenis apakah yang sedang dinikmati oleh Azmin hingga dia tidak perlu patuh kepada ketetapan parti?

11. Bercakap memang senang, kerana lidah tidak bertulang. Tetapi bila Azmin masih mahu mempertahankan kerjasama dengan PAS, sudah tentu banyak persoalan yang boleh ditimbulkan sebagai kesan dari hubungan sumbang PKR-PAS itu. Seolah-olah PKR yang baru melangsungkan perkahwinan dengan AMANAH dan DAP tetapi mengumumkan selepas pernikahan bahawa dia akan terus bersekedudukan dengan PAS! Angkara kerenah Azmin, PKR telah dilihat sebagai parti bohsia yang langsung tidak punya maruah dan kredibiliti. Jadi, bagaimana dengan kedudukan AMANAH dan DAP di sisi PKR? Sampai bila harus dibiarkan ketidakstabilan ini berterusan?

12. Kenapa PKR harus membenarkan Azmin menyanggahi keputusan mesyuarat kerana mahu terus bersekongkol dengan PAS yang tidak ada kena-mengena dengan Pakatan Harapan? Sudah tentu tindakan Azmin itu akan terus mengundang pergolakan yang tiada berkesudahan dan tanpa titik. Mahu atau tidak mahu, PKR mesti memutuskan hubungan dengan PAS untuk menoktahkan kemelut ini. Tidak ada jalan lain kecuali PKR wajib membuang PAS dan mengisytiharkan dengan segera bahawa negeri Selangor berada di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, seperti yang dilakukan oleh DAP di Pulau Pinang. Hanya itu harapan kami.

13. Azmin Ali seorang yang berpengaruh dan telah berkuku samada di dalam PKR atau di negeri Selangor. Tetapi sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, tentu ada juga yang beliau khilaf. Pepatah Arab ada menyebut : ‘Inna likulli faarisun kabwah’. Maksudnya, pahlawan di medan perang ada juga yang tergelincir kaki kudanya.’

14. Kalaulah Kak Wan mahu mendengar suara hati kami yang menyuarakan hasrat dan harapan rakyat marhein, yang pernah dicederakan hatinya oleh pengkhianatan PAS, maka kami merayu kepada Kak Wan selaku Presiden PKR supaya memecat PAS dari kerajaan negeri Selangor.  

Terima kasih. Wassalamu’alaikum.

Abe Awang Malaya
b/p Jebonesta

2 comments:

  1. Pakatan Harapan ini orang orang nya professional...

    Sudah pasti yang malas tiada nilai rkonondan gagal akan di jauhi tetapi secara lembut dan professional

    Masa saja akan tunjukan PAS parti poliltik munafik guna agama tuk cari makan dan kedudukan.. Meminta minta tanpa usaha

    Hanya DAP PKR GHB mampu bantu Rakyat hidup sebagai Rakyat Ber Integriti

    Mana nak sama orang prang Professional dengan orang orang Gagal dan Tolol

    Common Sense saja

    ReplyDelete
  2. Masih mampu Dan stabilkah kerajaan Selangor tanpa Pas ? Mohon pencerahan

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa