TMI - Published: 11 October 2015 7:34 PM
Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal menjadi pemimpin Umno ke-2 yang menyokong penuh kenyataan Majlis Raja-raja Melayu awal minggu ini yang menggesa penyelesaian segera diambil berhubung dakwaan salah laku 1MDB dan tindakan diambil terhadap dalang yang terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Oktober, 2015.
1Malaysia Development Berhad (1MDB) menghina kebijaksanaan rakyat Malaysia apabila bertindak balas kepada kritikan dengan memberi jawapan "semua berjalan seperti biasa" memandangkan nilai aset syarikat itu melangkaui jumlah hutangnya, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal hari ini.
Dipecat daripada Kabinet pada Julai lalu, bekas menteri itu menjadi pemimpin Umno ke-2 yang menyokong penuh kenyataan Majlis Raja-raja Melayu awal minggu ini yang menggesa penyelesaian segera diambil berhubung dakwaan salah laku 1MDB dan tindakan diambil terhadap dalang yang terbabit.
"Saya menjunjung tinggi titah Majlis Raja-raja Melayu untuk siasatan ke atas 1MDB dipercepatkan dengan telus dan jujur dengan harapan keyakinan rakyat dapat dikembalikan.
"Saya juga menyokong pendirian Bank Negara Malaysia supaya kes pemindahan wang 1MDB ke luar negara disemak semula dan syor bank pusat itu diberi pertimbangan secara bebas oleh Jabatan Peguam Negara," kata Shafie.
Shafie dalam satu kenyataan turut berkata, beliau bersetuju dengan pandangan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai firma pelaburan milik kerajaan yang bermasalah itu.
"Saya bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin mengenai 1MDB baru-baru ini.
"Semasa berada di dalam Kabinet (sebelum rombakan), kami diberi taklimat mengenai struktur modal awal syarikat 1MDB yang disuntik oleh Kementerian Kewangan selaku pemegang saham, kedudukan aset serta hutang syarikat.
"Bagaimanapun, kebimbangan rakyat yang lebih serius mengenai butir-butir pengambilalihan tanah di Pulau Pinang dan juga di Pelabuhan Klang, yang dipersoalkan nilainya serta status kebolehgunaannya, isu status dana berbilion ringgit SRC International, yang dahulunya anak syarikat 1MDB, yang dipinjamkan oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan pemindahan berbilion ringgit ke dalam akaun pihak ke-3 masih tidak dijawab sehingga hari ini dan perlu diberi perhatian utama.
"1MDB sering menyatakan aset yang dimiliki syarikat itu melebihi hutang, dan ini bukanlah satu kebimbangan. Kenyataan seperti ini merupakan satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia kerana hutang berkenaan terkumpul kerana jaminan kerajaan dan kedudukan 1MDB selaku anak syarikat milik penuh kerajaan," kata Shafie.
Muhyiddin, pada 2 hari lepas memuji kenyataan Majlis Raja-raja Melayu dan berkata adalah menjadi tanggungjawab ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendengar nasihat mereka bagi pihak kerajaan untuk memastikan siasatan ke atas syarikat sarat hutang itu dijalankan secara telus, adil serta tanpa gangguan.
"Apabila Duli Yang Maha Mulia Raja-raja bersuara tentang isu 1MDB, ia menandakan 1MDB adalah suatu perkara yang sangat besar pada pendapat mereka dan menunjukkan kebimbangan mereka terhadap kesan negatif kontroversi 1MDB kepada orang ramai dan negara," kata Muhyiddin.
Muhyiddin dan Shafie digugurkan daripada Kabinet pada 28 Julai selepas secara terbuka mempersoalkan Najib berhubung cara beliau mengendalikan firma pelaburan itu, yang mempunyai hutang sebanyak RM42 bilion.
1MDB juga merupakan idea Najib dan beliau adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat itu. – 11 Oktober, 2015.
Jika ditanya pendapat pencuri mengenai polis, sudah tentu 100% pencuri itu akan mengatakan polis ni hanya menyusahkan saja.
ReplyDelete