Posted on Monday, October 12 @ 15:00:59 MYT by paktam
Oleh Mohamad Yasir Yasin
Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlangsung semalam 11 oktober berakhir sebagai suatu anti klimaks.Mesyuarat menyokong kepimpinan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan seterusnya mengeluarkan resolusi empat perkara.
Pertama, PKR akan meneruskan usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu.
Kedua, PKR komited memantapkan Pakatan Harapan dan keanggotaannya akan diperbesar kepada rakan politik yang lain. Ketiga, PKR menggesa semua parti menghentikan perbalahan terbuka dan keempat, PKR boleh mengadakan kerjasama dua hala dengan parti-parti politik lain bila mana ada keperluan.
Bermula dengan petisyen yang ditandatangani 25 ahli MPP yang pro faksi timbalan presiden Azmin Ali menuntut presiden Dr Wan Azizah mengadakan mesyuarat khas, “build up” menjelang mesyuarat itu membayangkan PKR berdepan ancaman perpecahan dalaman.
Timbul anggapan kumpulan 25 ini memulakan gugatan terhadap kepimpinan Dr Wan Azizah. Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang dilantik Dr Wan Azizah berhadapan dengan usul disingkirkan daripada jawatan.
Sasaran sebenarnya ialah Dr Wan Azizah tetapi dibuat secara ‘pukul anak sindir menantu’.
Ada dua bentuk mesyuarat di dalam PKR. Mesyuarat MPP bulanan dan mesyuarat MPP Khas. Amalan selama ini jika ada isu-isu besar dalam parti seumpama isu menteri besar Selangor, pendirian parti dalam ‘isu hudud’, diskusi strategi pilihan raya dan sebagainya seringkali MPP Khas diadakan.
Memadai dengan membuat permohonan lisan kepada presiden dan setiausaha agung parti dan notis mesyuarat pun dikeluarkan. Kehadiran juga dibuka kepada pimpinan lain yang bukan anggota MPP. Tujuannya supaya penyertaan lebih luas dan maklumat boleh diperturunkan ke bawah dengan lebih pantas dan tepat.
Timbul persoalan apa perlunya kumpulan 25 menghantar petisyen menuntut diadakan MPP Khas sejurus Dr Wan Azizah mengumumkan penubuhan PH?
Memohon diadakan MPP Khas bukannya isu, namun sehingga sampai mengumpul tanda tangan dan yang menurunkan tanda tangan pula terdiri dari faksi penyokong timbalan presiden, Azmin?
Difahamkan tidak pernah Dr Wan Azizah tidak bersetuju dibuat MPP Khas. Jadi kenapa sehingga perlu menghantar petisyen? Lebih aneh apabila Azmin sendiri tidak menandatangan petisyen tersebut. Malah naib presiden Shamsul Iskandar yang juga penyokong Azmin juga turut tidak menurunkan tandatangan. Tidak ubah pepatah melayu 'Baling batu sembunyi tangan’
Perkara penubuhan PH dikatakan sebagai punca pertentangan dalaman dalam PKR. Benarkah begitu?
Ada dua pandangan di kalangan pimpinan PKR menyentuh perkara ini. Pertama kalangan yang berpendapat perlunya diwujudkan segera sebuah gabungan parti-parti pembangkang setelah PR berpecah.
Ada kekosongan kepimpinan dan kekosongan ‘wadah’ yang menemukan semua parti pembangkang. Menangguhkan penubuhan gabungan ini tidak dianggap suatu yang bijaksana.
Alasan tunggu sehingga PAS bersetuju tidak masuk akal ketika mana semua petunjuk setakat ini mencerminkan ketidaksediaan PAS untuk ikut serta. Wujudkan dahulu PH dan pintu perundingan masih terbuka.
Termasuk kemungkinan mengadakan ‘electoral pact’ dengan PAS pada pilihan raya akan datang dengan kesedaran perlu mengelakkan pertembungan 3 penjuru. Sementara itu berlaku maka parti-parti pembangkang yang bersedia bolehlah membentuk gabungan bersama.
Kedua, kalangan yang berpegang tidak boleh ada gabungan baru pembangkang sehingga PAS dilibatkan sama. Harus sabar menunggu dan terus memujuk PAS untuk ikut serta. Abaikan sahaja segala kenyataan-kenyataan pimpinan PAS yang tidak mahu bersama. Berikan mereka masa. Tanpa PAS gabungan pembangkang sukar menarik undi sokongan Melayu.
Undi bukan Melayu sudah dalam tangan. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. PKR hanya perlu bekerja untuk menambah sokongan Melayu. Ini sukar tanpa PKR bekerjasama dengan PAS. Justeru itu, PH yang diumumkan Dr Wan Azizah tempohari adalah kerja gopoh.
Apabila Dr Wan Azizah membuat keputusan pada akhir persidangan mejabulat dengan mengumumkan penubuhan PH, maka Azmin dan penyokongnya dalam MPP membantah. Sasaran mereka ialah setiausaha agung, Rafizi. Rafizi diserang - membelakangkan MPP, engkar ‘arahan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempergunakan presiden.
Sementara Azmin sendiri tidak tandatangan, 25 ahli MPP yang lain diminta menandatangan petisyen menuntut diadakan MPP Khas untuk membincangkan pertama, isu penubuhan PH dan kedua untuk MPP mengeluarkan arahan baru kepada presiden! Niat tersirat terserlah sudah.
Apabila kandungan petisyen dan nama-nama kumpulan 25 bocor pada khalayak, perbincangan dan perbahasan terbuka berlaku, ada pro dan kontra. Namun umumnya berpendapat tindakan menghantar petisyen suatu yang tidak wajar.
Mood rakyat ialah mahukan sebuah gabungan pembangkang. Kelahiran PH dianggap tepat pada masanya. Pintu untuk PAS terus terbuka. Begitu parti-parti pembangkang yang lain. Melengahkan penubuhan gabungan pembangkang meresahkan rakyat. Azmin dan kumpulan penyokongnya gagal membaca sentimen ini.
Dr Wan Azizah membuat keputusan yang tepat. Buktinya apabila mesyuarat MPP Khas semalam menyokong penubuhan PH. Kedudukan Rafizi juga tidak tergugat. Bahkan difahamkan resolusi yang diterima MPP Khas itu disediakan Azmin.
Kalau sekadar itu resolusinya yakni menyokong kepimpinan Dr Wan Azizah dan bersetuju penubuhan PH, mengapa perlu riuh rendah menghantar petisyen mendesak presiden?
Bolehlah disimpulkan beberapa perkara. Pertama, Azmin kini menyedari Dr Wan Azizah ada kelebihan tersendiri – kesabaran, ketenangan, ketahanan, pengorbanan, keihlasan dan gaya kepimpinan yang berterus terang tanpa muslihat dan agenda tersembunyi. Mencabar dan menggugatnya biarpun secara ‘baling batu sembunyi tangan’ akan hanya mendedahkan niat tidak elok.
Justru Azmin akhirnya akur menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah, sementara Rafizi kekal sebagai sasaran serangan penyokong Azmin.
Kedua, alasan ‘arahan’ Anwar diengkari tidak dapat dipertahan bila mana Dr Wan Azizah tegas dengan kenyataan 'mana mungkin saya mengkhianati perjuangan yang diasaskan suami saya’.
Ketiga, Azmin gagal untuk merungkai penubuhan PH. MPP Khas sebaliknya menyokong keputusan Dr Wan Azizah.
Keempat, Rafizi kekal sebagai setiusaha agung tanpa perlu bertutur sepatah perkataan pun dalam mesyuarat MPP Khas disebalik serangan keras penyokong Azmin semalam.
Hujah Dr Wan Azizah, ‘Rafizi saya anggap macam anak saya sendiri’ menggambarkan keyakinan beliau terhadap Rafizi.
Sesungguhnya bukan soal PH yang melahirkan pergolakan dalam PKR. Sebaliknya suatu pertembungan kuasa atau ‘power balance’ yang memenatkan dan hasilnya sangat tidak produktif. Cuma satu pesan saya kepada pimpinan PKR, jangan dipandang rendah ‘kebijaksanaan rakyat’.
Selamat berjuang!
* Penulis adalah anggota PKR dan pemerhati politik yang mengikuti dekat perkembangan PKR seawal penubuhan sehingga sekarang.
Kah kah kah .......... ini membuktikan wawi seorang yg realistik dan berpandangan jauh ...... tak macam admin dan konco2 spt yong, alhusyeeen, tulang besi, ciPAN dsbnya ternasuklah amanah .... politik bodoh dan emosional ...... hanya tahu balas dendam je ! ..... kan dah terpaksa hirup ludah sendiri yg dah berchetong2 diludahi ngeh3 !
ReplyDeleteYeahaaaa ! ada ngak ada yg penting kita ketawa ! Sekarang PAN de tat sapa tahu besok coup de tat ! dibilang macai ngak juga ! dibilang barua ngak juga !
ReplyDeletePKR ini bende kechil saja pada Dr Wan Azizah dan Anwar Ibrahim
ReplyDeleteBoleh urus mudah saja
Moga2 MELAYU dalam PKR jangan emosi macam Janda Janda ikut gaya Pemimpin PAS sudah.