Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, February 17, 2017

Agenda Akta 355: Siapa untung terbesar?

Siapa penerima laba terbesar agenda Akta 355
Sheikh Omar Ali  -  16 Feb 2017, 5:43 petang
ULASAN l Himpunan RUU355 PAS pada 18 Februari 2017 ini bakal menjadi himpunan solidariti untuk terus mengukuhkan lagi survival 'Malaysian Official 1' (MO1).
Himpunan yang pada awalnya riuh sekampung dicanang sebagai agenda perlaksanaan hudud akhirnya hanyalah sandiwara PAS. Apa yang gegak gempita itu hakikatnya bukanlah perihal hudud yang dianggap 'nyawa PAS'.


Sebagai perbandingan, berbeza dengan kemuncak permuafakatan politik PAS dalam Pakatan Rakyat era Almarhum Tuan Guru Nik Aziz (TGNA), pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tergambar dalam slogannya 'PAS For All' atau 'PAS Untuk Semua'.

Ia berjaya dilihat sebagai agenda ke arah menyatu-padukan rakyat Malaysia yang pelbagai ke arah satu hala perjuangan menentang pemimpin yang fasad yang menjarah harta negara sehingga memangsakan rakyat.

Untuk rekod, pada waktu itu juga tidak timbul isu berhubung komitmen Pakatan Rakyat dalam mempertahankan apa yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Menerusi Buku Jingga, penegasan dibuat pada perihal mempertahankan Raja berperlembagaan, Islam sebagai agama persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu serta kedudukan bahasa Melayu.

Hudud dan PAS bukanlah sesuatu yang baru. Menyedari pelbagai kekangan yang ada dan memahami konteks perjuangan dalam kerangka 'rule of law', PAS era TGNA telah menggembeling amarah rakyat kearah punca sebenar permasalahan negara iaitu melawan pemimpin yang korup dan salahguna kuasa.

Ia adalah cerminan kebijaksanaan Almarhum menghalakan kompas perjuangan parti Islam itu.

Kedangkalan PAS

Namun PAS era Hadi Awang ternyata gagal. Mereka yang bersorak sorai pusingan kali ini adalah Umno.

Himpunan RUU355 adalah gambaran kedangkalan PAS daripada melihat isu sebenar melanda negara yang terpalit dengan pelbagai skandal.

Malaysia terjerumus ke arah kleptokrasi global dan rakyat terus 'tidak cukup makan' dengan
peningkatan kos sara hidup akibat polisi negara yang tempang.

Kesannya, kompas pergelutan sebenar rakyat telah dikaburkan oleh sebuah parti Islam bernama PAS.

'Aulawiyat' atau keutamaan PAS yang tergambar ketika ini bukanlah agenda menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara kleptokrasi global. PAS bukan lagi berjuang untuk melawan kejahatan MO1 dan sekutunya.

Sehingga kini kita terus tertanya-tanya, siapakah penerima laba terbesar dalam agenda RUU355 ini?

Sebagai parti yang memimpin Kerajaan, Umno/BN yang sepatutnya membentangkan usul RUU di Parlimen bagi meminda akta 355 mahkamah syariah sendiri pun, masih belum bertindak apa-apa mengikut kerangka legislatif.

Lantas di manakah letaknya rasional PAS?

Sebab itu, Umno sebenarnya yang mendapat laba paling besar dalam hal ini. Lebih tepat lagi adalah MO1 yang pastinya sedang bekerja keras mencari jalan mengalih perhatian rakyat dari melihat isu sebenar.

'Ya hanana'

Himpunan RUU355 18 Februari ini adalah sebahagian daripada noktah penting buat MO1. Ia ibarat 'rezeki terpijak' yang boleh menenggelamkan isu sebenar Malaysia.

Apa tidaknya. Berbanding membawa haba'ib-haba'ib dari luar untuk disumbat ke program-program 'Ya hanana', Himpunan RUU355 PAS adalah momen penting yang pastinya tidak boleh dilepaskan.


Pada satu aspek lain, begini komentar saya berhubung isu RUU355 yang kononnya 'road to hudud' PAS.

'Hudud' dari segi bahasa berasal dari perkataan 'had' yang membawa erti 'limitasi'.

Dari sudut bahasa juga, semangat hudud yang dibawa oleh Islam umumnya kearah mencegah kejahatan dari membawa kerosakan kepada umum.

Dalam kerangka perlembagaan Malaysia yang memiliki latar belakangnya tersendiri, saya amat yakin RUU355 PAS ini tidak akan membawa kepada penyelesaian sebenar di bawah suluhan Islam dalam konteks kenegaraan.

Dalam keadaan kos sara hidup yang menekan rakyat akibat urustadbir negara yang culas, RUU355 PAS tidak akan membawa kepada akar penyelesaian isu melanda Malaysia.

Oleh itu, apakah keberahian PAS sebenarnya?

Akar permasalahan di Malaysia berpunca dari Umno yang telah mentadbir negara selama lebih 60 tahun.

Rakus yang membengkak

Dengan segala sifat tamak dan rakus yang membengkak, Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi di bawah pimpinan MO1.

Soalan saya, apakah RUU355 PAS ini mampu menghambat MO1 ke muka pengadilan demi menyelamatkan rakyat dan negara?

Keutamaan kita pada ketika ini adalah menghentikan kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin yang sedang meratah dan menggadai kekayaan negara tanpa 'had'nya. Inilah tuntutan 'hudud' yang mesti diperjuangkan pada masa ini dalam konteks Malaysia.

Perjuangan 'hudud' demi menyelamatkan Malaysia daripada terus dirompak MO1 yang menjerumuskan negara ke arah kleptokrasi global.

Saya yakin PAS hari ini tidak lagi berani melaungkan slogan 'selamatkan Malaysia dari kerakusan MO1' yang selaras dengan semangat 'berkata benar di hadapan pemimpin zalim'.

Justeru, jika berbalik kepada soal Himpunan RUU355 yang akan dijalankan pada 18 Februari 2017 nanti, saya sifatkan ia tidak lebih dari sekadar bakal menjadi himpunan solidariti mengukuhkan lagi survival MO1.

Samada PAS sedar ataupun tidak, itulah hakikatnya.

SHEIKH OMAR ALI adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor.

1 comment:

  1. Yg sedihnya, yg menjadi mangsa resmi pertama kedangkalan kerajaan umno/bn mengurus ekonomi negara ialah ahli pas yg terjun drp jambatan p pinang! Hj hadi buat dek je...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa