3 suspek kes bunuh Jong Nam mungkin sudah ‘cabut’
Rakaman CCTV mendedahkan 3 suspek lelaki terbabit menukar baju dan berjalan ke balai berlepas sebaik saja selepas serangan di klia2.
PETALING JAYA: Tiga lagi lelaki yang dikehendaki kerana ada kaitan dengan pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam masih lagi bebas, dan dipercayai sudah meninggalkan Malaysia sebaik saja selepas serangan itu berlaku di klia2.
Sumber memberitahu The Star, 3 lelaki terbabit berusia antara 30 dan 50 tahun dipercayai menaiki pesawat ke negara jiran sejurus selepas 2 suspek wanita melaksanakan pembunuhan itu dan kemudiannya ditahan polis.
“Rakaman CCTV di klia2 menunjukkan suspek menukar baju mereka sebelum menuju ke balai berlepas untuk menaiki pesawat mereka.
“Suspek memakai baju warna kelabu, ungu dan hijau sebelum serangan itu.
“Tetapi selepas serangan, mereka masuk ke tandas dan bertukar sebelum ke balai berlepas untuk naik pesawat mereka,” kata sumber itu dipetik sebagai berkata kepada The Star.
Dipercayai, mereka merancang pembunuhan itu, termasuk jalan untuk melepaskan diri dengan pantas sebaik saja selepas serangan itu dilakukan.
“Kemungkinannya begitu kerana 2 suspek wanita berkata rakan lelaki mereka tidak kelihatan lagi sebaik saja serangan dilakukan,” kata sumber.
Pada Jumaat malam, suspek keempat yang dikenal pasti sebagai Ri Jong Chol, seorang warga Korea Utara ditahan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
Suspek direman 7 hari dan ditahan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sepang.
Pada Rabu, polis menahan seorang wanita pemegang pasport Vietnam, bernama Doan Thi Huong, selepas dia kembali ke tempat kejadian untuk menaiki pesawat ke Vietnam.
Pada awal Khamis, polis menyerbu bilik di sebuah hotel di Ampang, Kuala Lumpur untuk menahan suspek wanita kedua. Suspek memegang pasport Indonesia dengan nama Siti Aisyah, dari Serang, berhampiran Jakarta.
Kedua-dua suspek wanita itu dikenal pasti berdasarkan rakaman CCTV yang diambil dari terminal klia2 pada hari kejadian.
Suspek ketiga dalam tahanan polis ialah warganegara Malaysia berumur 20-an, dan dikatakan teman lelaki Siti Aisyah.
Dengan penahanan terbaru itu, polis kini memburu 3 lagi lelaki dalam siasatan pembunuhan Jong Nam, menurut akhbar itu.
Jong Nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Februari dan dijadualkan menaiki pesawat ke Macau jam 9 pagi pada Isnin.
Ketika di klia2, dia didatangi seorang wanita yang menyemburnya dengan sejenis cecair manakala seorang lagi wanita menyerkup mukanya.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa