Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, February 19, 2017

Bebudak berbasikal kemalangan: Berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, salah siapa?

#944: KEJADIAN BUDAK BERBASIKAL DI JALAN LINGKARAN DALAM, SALAH SIAPA?
Hazrey     12:49 AM  

Lapan nyawa terkorban.

Tidak perlu saya mengulangi perincian yang sudah dipaparkan oleh media perdana mengenai kemalangan ngeri yang berlaku awal pagi Sabtu, 19 Februari 2017.

Di kalangan penduduk Johor Bahru malah tidak kurang juga yang sering berkunjung ke selatan tanahair itu kerapkali terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak dan remaja berusia lingkungan 11 hingga  20 tahun berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam.

Apabila kita mendengarnya, kita fikirkan, tidak salah untuk mereka berbasikal. Namun basikal bukan yang lazim kita lihat.

Basikal yang ditunggang mereka ini sudah diubahsuai dengan mengambil kira pecutan menuruni bukit yang laju, lebih ringan, mudah untuk penunggang berada dalam posisi 'superman' bagi daya aerodinamik.

Foto berikut adalah salah satu basikal yang ditunggang kanak-kanak ini.
Basikal mereka tidak memerlukan daya brek kerana ia akan menambah berat kepada rangka 'jentera' dimiliki.

Dalam kejadian kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh turut mengesahkan basikal milik lapan mangsa itu sudah diubahsuai.

Di kalangan pemilik basikal diubahsuai ini, nama Tentera Fly JB bukanlah asing. Mereka adalah pengasas kepada basikal yang sudah diubahsuai dan satu gerakan atau movement yang menjadi tulang belakang lumba basikal ala superman di Jalan Lingkaran Dalam!

Kumpulan Tentera Fly JB ini turut memiliki akaun instagram tersendiri bagi memaparkan aksi-aksi 'hebat' ala 'superman' mereka namun lewat malam tadi, akaun itu sudah dipadamkan. 

Mereka menjadikan laluan berbukit di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah sebagai medan menguji siapakah paling laju menuruni bukit menggunakan basikal mereka.

Sebagai wartawan jenayah, saya sering menyertai operasi cegah lumba haram bersama Cawangan Trafik (kini Jabatan) Ibupejabat Polis Johor Bahru Selatan dan Ibupejabat Polis Kontinjen Johor di sekitar kawasan itu dan Pantai Lido.

Jika ditanya, saya akan katakan saya sudah muak melihat gelagat kanak-kanak dan remaja antara 11 hingga 20 tahun menggunakan jalan awam itu sebagai medan lumba menggunakan basikal.


REMPIT JUNIOR

Saya pernah menggelarkan mereka 'Rempit Junior' kerana aksi yang dilakukan mereka sama berbahaya dengan apa yang dilakukan mat rempit lebih berusia daripada mereka yang menggunakan motosikal.

Bayangkan jika saya sudah melihat gelagat berbahaya mereka ini sejak 2007, tentu sekali sebaik generasi pada sesuatu tahun itu sudah meningkat usia, peranan mereka akan diambil alih oleh generasi seterusnya.

Pada 2007, satu operasi bersepadu dilakukan oleh pihak berkuasa melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Rela. Saya masih ingat lagi akan operasi itu kerana semua kanak-kanak yang ditahan dan dikumpulkan akan hanya dibebaskan selepas ibubapa mereka hadir menjamin anak-anak mereka.

Jika tidak silap ingatan saya, ibubapa turut diberi amaran untuk dikenakan tindakan lebih tegas jika masih gagal mengawal tindak tanduk anak mereka sehingga terjerumus kepada aksi berbahaya seperti yang melibatkan Tentera Fly JB ini.

DIBALING BASIKAL 

Sejak itu tiada lagi operasi dilakukan terhadap kanak-kanak ini.

Jika tidak silap saya pada 2010, saya pernah mengajukan saranan kepada pegawai penguatkuasa cawangan trafik Ibupejabat Polis Johor Bahru Selatan ketika itu, Inspektor Mohd Lail Ab Halim agar menjalankan operasi terhadap kanak-kanak terlibat dalam aksi 'superman' di sekitar Jalan Lingkaran Dalam.

Mohd Lail bersetuju malah gelagat kanak-kanak itu sudah mendapat perhatiannya sejak memegang jawatan itu dan saya turut diajak menyertai operasi di Jalan Lingkaran Dalam ketika itu.

Ia hanya disertai anggota polis serta dibantu anggota Rela dan antara peristiwa ketika operasi itu dilakukan, kami turut dibaling dengan basikal selain mendapat cercaan dan makian kanak-kanak semuda usia 11 hingga 18 tahun kerana mahu menahan mereka.

Ya, maki hamun malah mereka turut menjerit ke arah polis dan mencerca mereka sebagai bodoh pada ketika mereka baharu berusia awal belasan tahun.  

Arah mereka melarikan diri ialah kawasan tanah perkuburan Islam Mahmoodiah atau ke arah Jalan Abdul Samad di celah perumahan di kawasan itu.

Mereka yang ditahan bagaimanapun dibenarkan pulang selepas ibubapa mereka hadir ke balai.

SIAPAKAH YANG PATUT BERTANGGUNGJAWAB? 

Ramai yang marah-marah terhadap pihak polis mengapa dibiarkan kanak-kanak ini bagai raja di Jalan Lingkaran Dalam di media sosial dan bukan sahaja selepas kejadian lapan maut itu sahaja.

Tanyalah kepada mereka yang bekerja di Singapura dan melalui Jalan Lingkaran Dalam pasti tahu kanak-kanak ini hingga ke jam 5 atau 6 pagi masih lagi berkeliaran di kawasan itu.

Dan mereka hanya mampu berkongsi kebimbangan mereka di media sosial dan mempersoalkan mengapa pihak polis tidak mengambil tindakan.

Tahukah anda, pihak polis terutama anggota trafik dan peronda sering menghalau mereka dari kawasan 'aksi superman' itu hampir setiap malam minggu.

Di atas jalanraya, tugas tanggungjawab pihak polis (selain Jabatan Pengangkutan Jalan) terutama anggota trafik adalah memastikan kenderaan bermotor mematuhi segala peraturan yang ditetapkan di negara ini antaranya Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ya, kenderaan bermotor. Sebab itu bagi mereka yang fasih mengenai perundangan, apabila pihak polis menyebut kereta, motosikal, lori, van dan bas, ia akan disebut sebagai motorvan, motorlori, motorbas dan motosikal.

Ia tidak akan disebut sebagai kereta atau van sahaja kerana ia adalah kenderaan bermotor dan dipertanggungjawabkan untuk dikuatkuasakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan di atas jalanraya.

Jika pihak polis menahan kanak-kanak ini, paling tidak, basikal mereka disita namun ia bukanlah dalam bidang kuasa pihak polis kerana Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak mencakupi perlaksanaan undang-undang itu terhadap basikal.

TAFSIRAN AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987 MENGENAI BASIKAL

Tafsiran APJ 1987 ini jelas mengikut Perkara 2 hanya menyebut basikal elektrik atau sikal dengan bantuan kayuh yang dilengkapi dengan motor elektrik sokongan yang mempunyai kuasa berkadar berterusan yang maksimum 0.25 kW, dengan outputnya berkurangan secara beransur.

Biarpun dimasukkan sekali melalui Tafsiran 2 APJ 1987 ini, ia selanjutnya menyebut:

Kenderaan motor elektrik‖ ertinya kenderaan motor yang dipacu oleh sumber elektrik dan tidak termasuk basikal elektrik; kenderaan  motor ertinya  kenderaan  daripada  apa apa  perihalan, 
yang  didorongi  oleh  jentera  mekanisme  yang  terkandung  di  dalam badan   kenderaan   itu   dan   dibina   atau   disesuaikan   supaya   dapat digunakan di atas jalan, dan termasuklah treler.

Jelas bukan?

Ini bermakna jika mahu tindakan dibuat ke atas kanak-kanak ini, paling tidak ialah menghalang lalulintas namun ia tetap tidak boleh dilaksanakan kerana kenderaan yang mereka gunakan bukanlah kenderaan bermotor dan ia tidak termaktub di bawah APJ 1987.

Sebab itu, sejak 2010, saya sendiri telah menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengetuai operasi seterusnya bagi mengelak kejadian tidak diingini jika dibiarkan mereka dengan 'aksi superman' berbahaya mereka di Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru itu.

Terdapat kekuatan peruntukan undang-undang mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 di mana Seksyen 31 akta itu sangat jelas mengenai pengabaian kanak-kanak dan saya pernah menyarankan kepada pihak JKM untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang ini bagi mencegah kegiatan berlumba menggunakan basikal ini:

Penganiayaan,  pengabaian,  pembuangan  atau  pendedahan kanak-kanak

31. (1) mana-mana orang, yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan  seseorang  kanak-kanak

(a)  yang  menganiayai,  mengabaikan,  membuang  atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi  atau  yang  menyebabkan  atau  membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian; 
atau

(b) yang  menganiayai  dari  segi  seks  kanak-kanak  itu  atau yang  menyebabkan  atau  membenarkannya  dianiayai sedemikian, melakukan  suatu  kesalahan  dan  apabila  disabitkan  boleh  didenda tidak  melebihi  dua  puluh  ribu  ringgit  atau  dipenjarakan  selama tempoh  tidak  melebihi  sepuluh  tahun  atau  kedua-duanya sekali.

Undang-undang diwujudkan adalah sebagai pencegahan kepada perlakuan jenayah dan pihak diberi tanggungjawab perlu menguatkuasakannya jika wujud perlakuan itu.

Kewujudan undang-undang adalah bagi melindungi kehidupan mereka yang tidak bersalah dan dalam hal ini, kanak-kanak di bawah umur adalah di bawah tanggungjawab ibubapa atau penjaga sah mereka.

"Jabatan kerajaan bukankah banyak kerja lain dan sepatutnya ibubapa yang bersalah dalam hal ini dan saudara tidak boleh menuding jari kepada jabatan kerajaan," kata seorang lelaki yang mendakwa dirinya pelajar undang-undang di laman Twitter siang tadi.

Saya dengan penuh kesabaran memberi penerangan mengapa apa yang saya nukilkan di laman sosial itu dibaca dalam konteks namun pelajar undang-undang itu berkeras mempertahankan kesilapannya memahami konteks undang-undang. Amat malang sekali. 

Dalam konteks ini, perlaksanaan undang-undang adalah sebagai hukuman kepada ibubapa yang tidak mengendahkan keperluan untuk melindungi mereka yang tidak bersalah. Dan dalam hal ini, kewujudan Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001 ini amat jelas.

Kegiatan kanak-kanak berbasikal ini sudah lama bertapak di Johor Bahru. Bukan sehari dua. Ramai yang merungut akan kebimbangan mereka terhadap keselamatan budak-budak ini.

Katakanlah, sebagai contoh, ketika kanak-kanak ini melakukan aksi 'superman' ini dan menguasai jalanraya, kenderaan bermotor yang lebih berhak di jalanraya terpaksa mengelak hingga menyebabkan kemalangan dan menimbulkan risiko kepada diri pemandu kenderaan bermotor yang tidak bersalah.

Basikal perlu memberi laluan kepada kenderaan bermotor di atas jalanraya, apatah lagi dalam kes di Jalan Lingkaran Dalam ini, perbuatan berlumba sering dilakukan hingga menyusahkan pengguna yang lebih berhak.

Tentu sekali jika berlaku perlanggaran ketika mereka berlumba dan menghalang lalulintas, ia boleh menimbulkan trauma kepada pemandu itu sendiri dan sebab itu perlunya undang-undang untuk melindungi mereka yang tidak bersalah.

Apabila ibubapa bersikap tidak peduli, sebab itulah wujudnya undang-undang dalam memastikan kerana pengabaian itu, orang yang tidak bersalah tidak akan menjadi mangsa. 

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT 

Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu lebih proaktif dan tidak menunggu bencana.

Sebenarnya jika operasi dilakukan, tiada keperluan untuk menyertai operasi seumpama itu dengan jumlah kakitangan yang ramai kerana jabatan itu boleh mendapatkan sokongan dan bantuan daripada agensi penguatkuasaan lain seperti polis, pihak berkuasa tempatan dan Rela bagi menguatkuasakan Akta Kanak-Kanak 2001.

Agak terlewat sebenarnya untuk kementerian bertanggungjawab mewujudkan satu unit penguatkuasaan di Jabatan Kebajikan Masyarakat sejajar dengan perkembangan dunia hari ini kerana pada masa ini, kakitangan yang sama digunakan untuk mengesan penerima bantuan, memproses bantuan, mendaftar penerima bantuan dan penguatkuasaan.

Kesimpulannya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu mengambil iktibar tentang penguatkuasaan Akta Kanak-Kanak 2001 kerana saya lihat mereka lebih proaktif bagi sesuatu kes selepas berlaku sesuatu kejadian atau menerima hebahan publisiti yang meluas.

Mungkin saya terlepas pandang akan penguatkuasaan undang-undang ini namun saya amat yakin, tiada operasi dilakukan sejak 2010 terhadap kegiatan kanak-kanak bawah umur berbasikal secara berbahaya di sekitar Johor Bahru menggunakan Akta Kanak-Kanak 2001.

Malah, JKM sebenarnya mampu menguatkuasakan undang-undang ini secara lebih berkesan dengan berkerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan menugaskan anggota Rela untuk membantu mereka menahan kanak-kanak ini seterusnya mengheret ibubapa mereka ke muka pengadilan. 

Manakala apabila pihak polis mengambil inisiatif menyuraikan kanak-kanak ini di sekitar Jalan Lingkaran Dalam selama ini adalah kerana tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku terhadap kanak-kanak ini.

"Kita pun ada anak," kata seorang anggota polis pada awal pagi 1 Januari 2015.

Anggota peronda itu datang selepas saya menghubungi Pusat Gerakan IPD JBS bagi menghantar kenderaan peronda menyuraikan kanak-kanak itu kira-kira jam 3 pagi di tempat kemalangan berlaku awal pagi 19 Februari lalu.

Anggota itu hanya menggelengkan kepala apabila ada segelintir kanak-kanak terbabit menjerit ke arah mereka dengan kata-kata cercaan selepas diarah bersurai dan pulang ke rumah masing-masing. Usaha berterusan pihak polis perlu diberi pujian.

Namun, selama itu, JKM tetap berdiam diri.

Seharusnya, kejadian ini menjadi iktibar dan membuka mata seluas-luasnya pihak bertanggungjawab terutama di peringkat kementerian dan kita tidak mahu lagi mendengar kenyataan-kenyataan media sekadar meredakan perasaan buat sementara kerana kita mahu lebih banyak tindakan diambil secara proaktif dan lebih berkesan kerana tanpanya, undang-undang sedia ada hanya sekadar hiasan sahaja.
Manakala kepada ibubapa, apa yang dititah Sultan Johor amat tepat sekali. Kita bagai sudah lupa akan tanggungjawab kita walhal saya pasti ketika kita kecil dahulu, itulah pegangan ibubapa kita. Mengapa kita berubah dan membiarkan anak-anak kita berkeliaran di jalanraya sehingga malam sudah hampir bertemu subuh?

Titah baginda, biarlah anak menangis jangan kita menangis.

"Nasihat saya kepada semua, jaga dan pantau anak-anak serta tegur mereka. "Biar mereka menangis, jangan kita yang menangis," titah baginda selepas menziarah keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam melibatkan sebuah kereta dan enam basikal.

Apapun, takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa dan didoakan dapat bertabah dalam melalui ujian Allah ini.

Moga kejadian ini menjadi iktibar. 

3 comments:

  1. Harap pihak polis cepat tangani isu ini. Jgn biar sampai ia meletus mcm isu mat rempit. Awal2 fenomena mat rempit dulu pun pihak berkuasa ambil mudah dan tak serius menanganinya. Apa nak jd dgn bangsa melayu? Belum selesai masalah mat rempit timbul pula mat basikal!

    ReplyDelete
  2. Pemandu juga kena tengok depan apa2 bahaya depannya dan brsedia utk prlahankn kereta brek. Bagaimana bole sampai rembat/ sondol budak2 basikal itu? Tengok depan ke blkg bila pandu❔

    ReplyDelete
  3. Isunya kereta tu langgar dari belakang..pemandu tu betsalah...gilala kalau pemandu tu kepas sebab dia cina...gila babi kerajaan...takut bettindak dgn cina...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa