Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, February 17, 2017

Jong Nam sedar hayatnya tak lama

Jong Nam nikmati hidup, sedar hayatnya tak lama

  | February 16, 2017
Rakan terdekat di Macau dan Kuala Lumpur mengatakan Jong Nam sedar pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, sentiasa memburunya.
KUALA LUMPUR: Mangsa pembunuhan Kim Jong Nam menjalani kehidupan baik di Macau. Beliau menyukai Perancis dan wain Portugis serta gemar menghabiskan masa di sauna dan mesin judi, sebagaimana dilaporkan The South China Morning Post (SCMP).
Bagaimanapun, beliau juga menyedari hayatnya tidak lama. Beliau tahu adik sebapanya, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, yang mempunyai reputasi kerana keganasan, sedang memburunya.
Jong Nam memberitahu rakan terdekat, yang beliau menjangka adiknya itu mengatur pembunuhannya suatu hari nanti.
Dan apabila Jong Nam secara misteri meninggal dunia di Kuala Lumpur International Airport 2 (klia2) pada malam Isnin, di mana beliau bersiap sedia menaiki penerbangan ke Macau, ia menjadi kenyataan.
Malah sebelum polis Malaysia mengetahui punca kematiannya, media dunia mengeluarkan laporan mengatakan Korea Utara mengarahkan pembunuh wanita melaksanakan pembunuhan terhadap Jong Nam.
Seorang wanita yang mempunyai pasport Vietnam ditahan pada Rabu di klia2, manakala awal hari ini, wanita yang ke-2 ditahan polis Malaysia dengan lebih banyak tangkapan dijangka menyusul.
Laporan menunjukkan Jong Nam “diserang” 2 wanita Asia yang menyemburnya dengan bahan kimia ketika berada di lobi balai berlepas utama di lapangan terbang itu. Jong Nam meninggal dunia dalam masa beberapa minit.
Pegawai kerajaan Korea Utara di Malaysia membantah bedah siasat yang dilakukan, tetapi Malaysia menolak permintaan itu.
Sumber, yang mengenali Jong Nam selama sedekad memberitahu SCMP, “Beliau tahu hidupnya berisiko … dan beliau tahu adiknya sedang memburunya.”
Menurut sumber itu, kebimbangan Jong Nam semakin meruncing selepas bapa saudaranya Jang Song-thaek dihukum pada 2013.
Dalam artikel berasingan, The Star, memetik seorang pemilik restoran di Kuala Lumpur yang mengenalinya, hari ini melaporkan Jong Nam seronok datang ke Malaysia tetapi sentiasa bersama pengawal peribadi kerana bimbang akan keselamatan dirinya.
Jong Nam pernah dilihat sebagai waris yang berpotensi bagi Kim Jong Il, tetapi satu percubaan memasuki Jepun secara haram untuk melawat Disneyland pada Mei 2001 memusnahkannya, menurut satu pendapat.
Seorang lagi pemerhati Korea mengatakan Jong Nam, yang mendapat pendidikan di Switzerland dan Rusia, tidak pernah menjadi ancaman sebenar atau saingan yang kuat kepada Jong Un, yang akhirnya mengambil kuasa.
Namun begitu, Pyongyang mendapati ia memalukan apabila beliau ditahan kerana menggunakan pasport palsu Republik Dominican di Jepun.
SCMP melaporkan Jong Nam membesarkan seorang anak lelaki dan perempuan di Macau.
Anak lelaki berusia di awal 20-an, anak perempuan dan ibu kepada anak-anaknya itu dipercayai berada di sana.
Kebelakangan ini, Jong Nam banyak berkunjung di antara Macau, tanah besar – di mana beliau mempunyai saudara-mara – dan Paris, destinasi kegemarannya untuk mempraktikkan bahasa dan menikmati masakan, kata rakan Macau beliau memberitahu SCMP.
Menurut rakan suspek, Jong Nam jarang berkongsi pandangan beliau mengenai politik Korea Utara.
“Beliau tidak banyak bercakap mengenai saudaranya atau rejim, walaupun kadangkala beliau berjenaka mengenainya. Beliau kebanyakannya enggan berbicara mengenainya.”
Pemilik restoran Korea Selatan di Kuala Lumpur yang selalui dikunjungi Jong Nam, Alex Hwang, memberitahu The Star yang Jong Nam takut dibunuh, punca mengapa beliau selalu diiringi pengawal peribadi.
Hwang berkata Jong Nam akan menginap di hotel 5 bintang setiap kali berada di bandar.
“Kadang-kala, beliau akan membawa isterinya ke sini,” katanya, sambil menambah Jong Nam turut membawa teman wanita dari Singapura ke Malaysia.
Hwang percaya Jong Nam berada di sini kali ini kerana mempunyai beberapa perniagaan atau rakan di Malaysia yang dapat membantu beliau dari segi kewangan.
“Beliau pernah mendapatkan bantuan kewangan daripada kedutaan Korea Utara tetapi tidak selepas bapanya meninggal dunia dan hidupan dalam pembuangan. Beliau mungkin mempunyai sumber kewangan lain di sini. ”
Sumber lain berkata Jong Nam kerap ke Malaysia di antara 2010 dan 2013 semasa sepupunya, Jang Yong-Chol menjadi duta Korea Utara ke Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berhenti datang ke Malaysia untuk seketika selepas Yong-Chol dipanggil semula ke Pyongyang pada Disember 2013 dan dihukum. Yong-Chol adalah anak saudara Jang Song-thaek, bapa saudara Jong Nam.
Song-thaek dan seluruh keluarganya dihukum bunuh di bawah arahan Jong Un.
Sumber itu berkata, Jong Nam tidak kembali ke Malaysia kira-kira setahun tetapi dilihat semula pada 2015 dan 2016.
Sumber itu juga berkata Jong Nam terlibat dalam perniagaan IT, pengedaran perkakasan dan perisian bagi perniagaan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
“Beliau sedar akan ada percubaan membunuhnya dan beberapa kali berkunjung ke Kuala Lumpur dengan pengawal peribadi,” kata sumber kepada The Star.

1 comment:

  1. Apa yg hairan kenapalah dia matinya di Malaysia
    Nampak sangat yg merancang tahu di tempat kita senang nak buat kerja itu.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa