Dua hukuman untuk satu kesalahan lalulintas menyalahi perlembagaan
21 April 2017 | MALAYSIA DATELINE
Penguatkuasaan dua bentuk hukuman bagi pesalah lalulintas yang bakal dilaksanakan kerajaan adalah bercanggah dengan perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan yang mencegah dua hukuman bagi satu kesalahan yang sama.
21 April 2017 | MALAYSIA DATELINE
Penguatkuasaan dua bentuk hukuman bagi pesalah lalulintas yang bakal dilaksanakan kerajaan adalah bercanggah dengan perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan yang mencegah dua hukuman bagi satu kesalahan yang sama.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil turut menyifatkan cadangan tersebut sebagai 'tidak berperlembagaan' dan tidak boleh dikuatkuasakan.
"Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 20 April 2017 bahawa wujud dua hukuman serentak dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 iatu kompaun (AES) dan pemotongan mata demerit (Kejara).
"Ini mengesahkan wujudnya percanggahan terhadap prinsip undang-undang 'double jeopardy' yang mana prinsip undang-undang ini adalah termaktub di dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan," ujar beliau.
Faiz yang juga Timbalan Pengerusi Protaes (Protes AES) berkata, perlaksanaan sistem AWAS itu membabitkan hukuman serentak apabila pengguna jalanraya yang melakukan kesalahan trafik dan dirakam melalui kamera AES boleh dikompaun dari RM150 hingga RM300.
Pembayar kompaun pula, katanya akan dipotong mata demerit (melalui sistem Kejara) untuk jumlah tertentu dengan mata demerit permulaan sebanyak 20 mata akan dipotong dan pemilik lesen memandu boleh digantung untuk suatu tempoh tertentu jika kesemua 20 mata habis dipotong.
"Dengan pengakuan Menteri tersebut, adalah jelas peruntukan sedemikian di bawah seksyen 35 dan 35A Akta Pengangkutan Jalan adalah tidak beperlembagaan kerana Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan mencegah dua hukuman ke atas satu kesalahan yang sama.
"Sesuatu peruntukan Akta menjadi tidak beperlembagaan jika bercanggah dengan Perlembagaan dan ia tidak boleh dikuatkuasakan," tegasnya.
Menurut beliau, rujukan Menteri kepada seksyen 35 dan 35A Akta Pengangkutan Jalan bahawa Ketua Pengarah JPJ berkuasa untuk menggantung lesen setelah mata demerit habis dipotong menambah kepincangan Akta ini apabila hukuman kedua (penggantungan lesen) dijatuhkan oleh pegawai kerajaan dan bukannya mahkamah.
Peruntukan ini, jelas beliau bukan sahaja merampas kuasa mahkamah malah 'ultra vires' dengan sistem pemerintahan tiga badan utama iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman seperti termaktub dalam perlembagaan negara.
"Kuasa yang tidak terhad ini bila diberikan kepada seorang pegawai kerajaan boleh disalahgunakan di mana Ketua Pengarah JPJ boleh bertindak secara 'arbitrary' dalam membuat keputusan dan pemegang lesen tidak diberikan peluang membela diri dan merayu.
"Menurut seksyen 35 dan 35A Akta Pengangkutan Jalan, Ketua Pengarah JPJ boleh menggantung lesen jika beliau dapati seorang pemegang lesen tidak kompeten untuk memandu kenderaan.
"Adakah adil untuk pesalah trafik had laju dikategorikan tidak kompeten sedangkan kesalahan memandu melebihi had laju adalah subjektif dan tidak boleh dianggap pemanduan merbahaya untuk semua kes. Maka, peruntukan ini jelas bercanggahan dengan hak asasi dan keadilan prosedur," jelas Faiz.
Tambah beliau, peruntukan hukuman kedua (penggantungan lesen) juga bakal mendatangkan kemudaratan kepada pemegang lesen yang bergantung hidup kepada lesen bagi mencari pendapatan terutama pemandu bas, lori, teksi dan Uber yang rata-rata adalah golongan B40.
Ini katanya ditambah dengan bayaran kompaun mengakibatkan keperitan hidup rakyat yang digantung lesen.
Sehubungan itu, pihaknya yakin perlaksanaan sistem AWAS adalah serampang dua mata yang berselindung di sebalik alasan mengurangkan kadar kemalangan tetapi sebaliknya lebih kepada keuntungan perniagaan.
"Ia secara jelas tidak mempedulikan prinsip keadilan undang-undang, perlembagaan dan bebanan hidup rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa