Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, April 15, 2017

Perlantikan Hisham adalah atas saranan Zahid Hamidi sendiri

Saturday, 15 April 2017

TIDAKKAH SARANAN ZAHID BOLEH BURUKKAN LAGI GAMBARAN KEPADA NAJIB, HISHAM?

Di ketika 93.4 peratus ahli UMNO serta rakyat biasa percaya dan melihat perlantikan Hishammudin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas adalah isyarat tidak baik untuk masa depan politik Timbalan Perdana Menteri kerana ia seolah-olah suatu promosi tambahan kepada sepupunya itu, Najib Razak sebaliknya menyatakan perlantikan itu adalah atas saranan Zahid Hamidi sendiri

Menurut Najib, sebelum perlantikan itu diumumkan pada 12 Mac lalu, ia sudah dibincangkan selama berbulan-bulan dengan Timbalan Perdana Menteri.

"Bila saya umumkan Hishammuddin yang sudah jadi Menteri Pertahanan sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, saya dah bincang dengan Zahid Hamidi selama berbulan-bulan, malah beliau yang cadangkan nama Hishammuddin itu.

"Sebab itu saya nak beritahu, jangan ada yang cuba melaga-lagakan Hishammuddin dengan Zahid Hamidi," ujar Najib.

Ehem...ehem...Betulkah perlantikan Hishammuddin itu atas saranan Zahid Hamidi?
Sebaik dilantik dua hari lalu, Hishammuddin mengatakan perlantikannya itu adalah keputusan Najib untuk meringankan beban tugas Perdana Menteri, tetapi beliau belum mengetahui lagi bidang tugas khusus untuknya.

Kata sepupu Najib itu, beliau akan berbincang kemudian mengenai perkara itu dengan Perdana Menteri.

Zahid Hamidi pula, beberapa jam selepas perlantikan Hishammudin itu memberi reaksi beliau menyokong tugas baru yang diberikan untuk membantu Perdana Menteri dalam misi dan tugas-tugas khas bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta tugas tertentu yang akan membawa kelicinan dalam pentadbiran kerajaan.

Memberi reaksi lanjutnya lagi pada semalam, Zahid Hamidi mengajak Hishammuddin membuat kerja seperti biasa tanpa menghiraukan pelbagai tanggapan yang timbul berikutan perlantikan tambahan rakan Naib Presiden UMNOnya  yang hampir kalah dalam pemilihan 2013 lalu sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, di samping terus kekal menjadi Menteri Pertahanan.

“Saya juga pernah dipertikai tapi saya tak peduli tentang perkara itu dan jalankan tugas serta tanggungjawab seperti biasa. 

"Selagi tak buat salah dengan Allah, tak salah di sisi undang-undang dan etika kerja, saya akan teruskan walau apa pun orang bercakap,” kata Zahid lagi.

Daripada reaksi Zahid itu, tidak terlihat langsung gambaran yang menunjukkan beliau yang memberi sananan kepada Najib berhubung perlantikan Hishammuddin itu.

Begitu juga dengan Hishammuddin, beliau secara spesifik meletakkan Najib sebagai berkuasa mutlak dalam melantiknya.

Tetapi, kalau pun benar seperti yang dikata Najib bahawa Zahid Hamidi sendiri yang memberi saranan kepada perlantikan Hishammuddin itu dan Perdana Menteri tiada masalah dengan cadangan itu, kenapa ia perlu mengambil masa berbulan-bulan untuk dibincangkan sebelum diumumkan?

Bukankah sepatutnya lama sebelum ini lagi Hishammuddin sudah dilantik ke jawatan tersebut?

Di sudut yang lain, kalau untuk membantu serta meringankan tugas Najib di Jabatan Perdana Menteri yang sudah sedia dibantu oleh seorang Timbalan Perdana Menteri, sembilan menteri dan dua timbalan menteri, Zahid Hamidi tentulah seorang yang cukup hebat yang melebihi keupayaan Perdana Menteri sendiri sehingga dapat meyakinkan Najib untuk menambah seorang lagi menteri untuk membantunya.

Bukankah ia dengan sendirinya menunjukkan Najib seorang yang begitu lemah dalam mentadbir negara sehingga perlu ditambah seorang lagi menteri di Jabatan Perdana Menteri, selain mempunyai jumlah kabinet terbesar dan penasihat bertaraf menteri yang juga paling ramai?

Dalam hal itu, kenapa nama Hishammuddin yang merupakan sepupu Najib dan sudah sedia ada portfolio Menteri Pertahanan yang dicadangkannya?

Kenapa tidak disarankan nama-nama pemimpin UMNO atau tokoh profesional lain yang belum ada sebarang jawatan dalam kerajaan sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas?

Tidakkah Zahid Hamidi, jika benar seperti yang disebut Najib sebagai bertanggungjawab menyarankan nama Hishammuddin itu, beliau sebenarnya telah memberi saranan yang buruk, lemah serta mendedahkan lagi Najib kepada pelbagai tafsiran negatif di kala nama Perdana Menteri memang sudah sedia terbeban dengan banyak tanggapan tidak baik selama ini?

Di waktu yang sama, nama Hishammuddin tidak pula bertambah baik dengan pemberian dua portfolio tersebut di mana beliau bukan saja terus dianggap lembik, malah seperti tidak terlepas daripada naungan serta bantuan sepupu sendiri untuk terus meningkat naik.

Maka, tahniahlah kepada Zahid Hamidi atas kehebatannya, satu saranan tapi dua sasaran terkena tembakan. (ShahbudinHusin 15/04/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 04:05

* Aku rasa isu ini bukanlah isu baru dan serius bagi rakyat, tapi bagi ahli UMNO dan penyokong tokoh tertentu ini adalah perkara serius.

Sebab apa aku kata bukan perkara serius bagi rakyat?

Pada rakyat walau siapa yang naik dan apa saja portfolio yang dipegang sama saja. Yang nak tersadung akan tersembam, yang lapar makin kebulur. Poket rakyat terus juga lompang

Apa saja yang di atas tu buat berterusan juga dibela walau pun dengan langkah yang tempang dan lagu yang sumbang 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa