Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, April 17, 2017

Pilih Pas atau UMNO: Pandangan Hadi itu banyak yang salah daripada yang betul

Sunday, 16 April 2017
PANDANGAN SALAH HADI AWANG

Presiden Pas, Hadi Awang berkata, mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk mentadbir Malaysia perlu memilih sama ada bekerjasama dengan Pas atau UMNO.

Kuasa politik Melayu ada pada Pas dan UMNO. Jika mana-mana parti nak tadbir Malaysia, pilih Pas atau UMNO, kata beliau.

Kenyataan Hadi ini yang dipetik melalui wawancara dengan akhbar milik UMNO yang dahulu pernah dibenci sebenarnya merujuk kepada Bersatu yang kini sudah pun menyertai Pakatan Harapan, seolah-olah tindakan parti yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad meninggalkan Pas akan menggagalkan cita-citanya untuk menyingkirkan Najib Razak dan memerintah negara ini.

Pandangan Hadi itu mungkin betul dan mungkin juga salah, tetapi jika dianalisa betul-betul, banyak yang salah daripada yang betul. Politik adalah sesuatu yang dinamik, bukan statik. Politik tidak terikat kepada satu-satu hukum yang boleh diterima pakai untuk sepanjang masa.

Ia mungkin betul untuk sesuatu masa, tetapi boleh jadi salah di masa yang lain. Sebagaimana citarasa dan pemikiran manusia berubah, hukum politik juga tidak mustahil berubah sama. 
Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu tidak semestinya tidak boleh mentadbir negara ini, meskipun tiada Pas atau UMNO bersama mereka. 

Lebih-lebih lagi berdasarkan kebencian rakyat kepada UMNO sekarang dan penolakan terhadap Najib serta dalam masa yang sama meluat kepada Pas yang keliru dan tidak menentu, peluang Pakatan Harapan, tanpa ada UMNO atau Pas bersamanya, memerintah negara ini terlihat cerah sekali.

Kedudukan Pas dan UMNO mewakili kepentingan Melayu bukanlah sesuatu yang mutlak dan tidak boleh berubah sama sekali. Oleh itu, tidak mustahil peranan Pas dan UMNO tidak lagi penting setelah adanya Amanah dan Bersatu.

Dalam pada itu, sebelum Hadi terus terperasan atau bangga diri dengan tanggapan seolah-olah hanya UMNO dan Pas merupakan kuasa penentu, beliau juga harus sedar bahawa  kedua-dua parti iaitu Pas dan UMNO tidak mungkin mampu mentadbir negara ini secara sendirian tanpa bekerjasama dengan parti-parti lain.

UMNO secara sendirian, tanpa dibantu MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen lain di Sabah dan Sarawak, sudah tentu tidak mampu untuk berkuasa sejak dulu lagi.

Pas sendiri, telah terbukti apabila bersendirian tidak mampu ke mana-mana. Di Kelantan, hanya dengan bantuan Semangat 46, barulah Pas dapat mengalahkan UMNO pada 1990.

Di Terengganu, Pas berjaya memegang kuasa pada 1999 adalah dengan bantuan PKR susulan pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998. Hanya kerana Hadi gagal menjadi Menteri Besar dan pentadbir yang baik, Terengganu kemudian dapat ditawan kembali oleh UMNO pada pilihanraya 2004 dan Pas kekal berputih mata sehingga sekarang.

Di Perak, disebabkan ada kerjasama dengan PKR dan DAP, maka merasa jugalah Pas menduduki kerusi Menteri Besar selepas pilihanraya 2008 dahulu, walaupun hanya 11 bulan saja.

Begitu juga di Selangor, hanya setelah berganding bersama PKR dan DAP yang menyebabkan Pas dapat duduk dalam pentadbiran kerajaan negeri sebagai Exco dan sebagainya.

Maknanya, Hadi janganlah terlalu eksyen dengan mengatakan hanya melalui kerjasama bersama Pas atau UMNO, kuasa dapat digenggam oleh sesiapa kerana hakikatnya Pas dan UMNO sendiri pun tidak akan ke mana-mana jika bersendirian.

Lebih dari itu, di sebalik Hadi berbangga bahawa Pas dan UMNO adalah kuasa penentu dan mewakili Melayu, kuasa juga tidak mungkin dapat digapai jika kedua-dua parti itu bergabung menjadi satu.

Gabungan antara Pas dengan UMNO, terutamanya kerana kecenderungan Pas untuk bersikap ekstrem dan gemar menghukum, ia pasti akan dijauhi oleh parti-parti bukan Melayu serta pengundi yang bandar atau separa bandar yang berfikiran lebih terbuka.

Akhirnya, parti Melayu lain yang disokong oleh parti-parti bukan Melayu yang bersatu hati itulah yang berjaya memperolehi kuasa.

UMNO sendiri, meskipun sedar Pas adalah parti Melayu, tidak mungkin mahu bergabung dengan parti Islam itu kerana risiko kehilangan rakan serta undi bukan Melayu jauh lebih mengundang petak buat mereka.

Apa yang UMNO suka hanyalah memperalat Pas sambil digeli-gelikan dan diberi sedikit gula-gula demi kepentingan untuk mengekalkan kuasa saja - ibarat kekasih gelap yang hanya seronok dicumbui, tetapi bukan untuk dinikahi.

Jika begitu, di mana betulnya pandangan Hadi itu? 

Posted by Shahbudin Husin at 22:52 

Cer baca juga: RAFIZI RAMLI ON NASHARUDIN MAT ISA

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa