Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, February 23, 2013

Hak Istimewa Orang Melayu Dihantukan!

Hak istimewa orang Melayu
Uthaya Sankar SB
February 23, 2013
Selagi keluhuran Perlembagaan dan Wasiat Raja-raja Melayu dipelihara, hak istimewa Melayu-Bumiputera akan tetap terlindung.

Pada perenggan pertama lagi, biar saya tegaskan bahawa makalah ini tidak sedikit pun cuba mempersoalkan apa-apa yang termaktub dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Malah sebenarnya bertujuan memperkukuhkan Hak Istimewa Orang Melayu sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 153.
Sesungguhnya, hak-hak istimewa orang Melayu bukan suatu perkara baru yang hanya muncul selepas kemerdekaan (31 Ogos 1957); sebaliknya sudah sedia tercatat dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Dalam Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957, Raja-raja Melayu secara tegas menetapkan syarat untuk memastikan akan kekal terjamin (antara lain) status agama Islam, tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu.
Termasuk dalam senarai Hak Istimewa Orang Melayu menurut Perkara 153 adalah jawatan dalam kerajaan, peruntukan biasiswa dan bantuan ekonomi. Kesemua hak ini sesungguhnya dilindungi Yang di-Pertuan Agong selaku primus inter pares. Majlis Raja-raja Melayu perlu memberi perkenan jika apa-apa perkara berkaitan mahu diubah.
Ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa ada sepuluh perkara yang termaktub dalam Perkara 2 (a), Perkara 38 (4) dan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja. Ketidaktahuan dan kejahilan seperti inilah yang membuatkan pihak tertentu cepat melatah, melenting, melalak dan mengamuk dengan andaian palsu bahawa ada orang yang sedang cuba menggugat Hak Istimewa Orang Melayu.
Secara realiti, kalau sekalipun ditakdirkan bahawa Rakyat memilih dan membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) supaya Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan Pusat, kesemua perkara berkaitan Hak Istimewa Orang Melayu tetap terjamin selagi Raja-raja Melayu berpegang pada tujuh wasiat yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957.
Selepas “tsunami politik” menerusi PRU-12 (8 Mac 2008), ada pihak yang bimbang – serta dimomokkan oleh politikus dan juak-juak – bahawa penduduk Melayu akan hilang segala hak istimewa jika Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi Kerajaan Pusat.
Dalam hal ini, Shad Faruqi (Berita Harian, 14 Mac 2008) tampil untuk menjelaskan bahawa “apa juga perubahan dalam keputusan pilihan raya, hak keistimewaan orang Melayu tidak akan terjejas secara perundangan. … Saya tidak percaya (orang) Melayu perlu bimbang mengenai perkara ini.”
Saya juga percaya dan yakin bahawa Hak Istimewa Orang Melayu akan terus kekal walaupun jika BN menjadi pembangkang. Malah, sebagai pembangkang yang kuat dan berpengalaman luas mentadbir negara (sejak lebih 55 tahun), pasti sahaja BN – termasuk MIC, MCA, PPP dan Gerakan – tidak akan membenarkan atau membiarkan sahaja Perlembagaan Persekutuan dipinda sesuka hati oleh Kerajaan PR.
Pasti Perkasa, Pekida, KIMMA, Gapena, Pena dan sebagainya akan tampil berjuang demi mempertahankan Hak Istimewa Orang Melayu. Saya sendiri sedia hadir menyokong perjuangan mereka jika dilakukan secara yang wajar dan bermaruah.
Ketuanan Melayu, Ketuanan Rakyat
Bercakap mengenai pendirian dan pandangan PR pula terhadap soal ini, saya teringat akan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penggulungan pada Kongres PKR Ke-7 di Petaling Jaya pada 28 November 2010.
Katanya, konsep Ketuanan Melayu tidak ada makna sekiranya majoriti Rakyat termiskin di negara ini masih terdiri daripada kaum Melayu, dan daripada kajian yang dijalankan, terbukti 97 peratus daripada kira-kira 65,000 isi rumah termiskin seluruh Malaysia terdiri daripada golongan Melayu-Bumiputera.
“Kita tidak nafikan kepentingan masa depan orang Melayu di negara ini, sebab itu pemimpin-pemimpin utama PR bersetuju menandatangani deklarasi bersama mempertahankan prinsip asal Perlembagaan negara. Kita bersetuju dengan Hak Istimewa Orang Melayu dan pada masa sama juga hak kaum lain turut terjaga,” katanya.
Dalam akhbar Sinar Harian (1 Disember 2010), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dilaporkan berkata bahawa dari aspek sejarah, hanya Ketuanan Raja yang termaktub dalam Perlembagaan kerana rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada Raja-raja Melayu.
“Sebelum ini tidak pernah disebut ‘Ketuanan Melayu’ dalam masyarakat Melayu. Dalam sejarah, hal sebegitu tidak betul. Yang ada dalam Perlembagaan cuma Ketuanan Raja. Orang Melayu mendapat hak keistimewaan kerana mereka adalah rakyat raja, kerana itu raja yang penting. Kedudukan orang Melayu memang diberikan pertimbangan khas dan tidak perlu dipersoalkan,” katanya.
Kekeliruan antara konsep “Ketuanan Melayu”, “Ketuanan Raja-raja Melayu” dan “Hak Istimewa Orang Melayu” muncul selepas Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan konsep “Ketuanan Melayu” sebagai “slogan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu secara keseluruhan demi kepentingan diri.”
Berdasarkan berita yang disiarkan di Sinar Harian (28 November 2010), kumpulan kecil elit Melayu itu adalah “mereka yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kesalahan tanpa menghiraukan nasib kaum sendiri.”
Wan Azizah yakin bahawa tidak akan ada satu kaum yang akan menjadi agung dan dihormati hanya dengan menggelarkan diri sebagai tuan. Katanya, walaupun sudah ada konsep Ketuanan Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan (1957), nasib kaum Melayu terus terabai.
“Mereka dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan serta kuota 30 peratus penguasaan ekuiti Melayu-Bumiputera gagal dicapai. Semua ini membuktikan pemimpin UMNO bukan berjuang untuk membela (kaum) Melayu. UMNO adalah parti tauke dan jauh sekali berwajah parti rakyat,” katanya.
Kerajaan berubah, Perlembagaan kekal
Saya pada waktu itu bekerja di akhbar Sinar Harian dan terlibat secara langsung dalam menyunting berita-berita yang dipetik di atas. Bagi saya, kenyataan Wan Azizah tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau tidak sedikit pun mencabar Hak Istimewa Orang Melayu atau konsep Ketuanan Raja-raja Melayu.
Sebaliknya, apa yang dipersoalkan adalah mengenai “ketuanan” kumpulan elit tertentu yang katanya membinasakan kaum sendiri (orang Melayu) selain mendiskriminasi (menafikan hak dan kepentingan sah) kaum-kaum lain yang sebenarnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-raja Melayu.
Masalah timbul apabila Rakyat dikelirukan dan terkeliru antara “Hak Istimewa Melayu”, “Ketuanan Raja-raja Melayu” dan “Ketuanan Melayu”. Atas sebab itulah juga saya tidak akan terkejut jika ada pihak yang memutar-belitkan fakta dan cuba mengatakan bahawa makalah ini bertujuan mempersoalkan “Hak Istimewa Orang Melayu”.
Selain daripada PKR, satu lagi komponen PR yang sering dikatakan cuba menghapuskan Hak Istimewa Orang Melayu adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP). Tidak ramai yang tahu apakah pendirian rasmi DAP dalam isu-isu ini kerana tidak disiarkan di media arus perdana; akhbar mahupun televisyen.
Perlembagaan DAP secara jelas menerima Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang teragung di Malaysia. Hak Istimewa Orang Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-Raja Melayu tidak dipersoalkan oleh parti politik itu.
Pada pandangan dan penelitian saya, segala peruntukan berhubung Hak Istimewa Orang Melayu (dan Bumiputera) tidak akan tergugat walau sedikit pun selagi keluhuran Perlembagaan Persekutuan terpelihara. Walaupun apabila kerajaan pusat berubah (jika demikian pilihan Rakyat sebagai pengundi), saya optimis bahawa Raja-raja Melayu akan tetap mempertahankan wasiat yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957.
Sebenarnya, apa yang lebih membimbangkan saya adalah apabila memikirkan kemungkinan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dimanipulasi golongan “Bukan Melayu” tertentu yang menjadi “musuh dalam selimut” lalu “merampas” Hak Istimewa Orang Melayu secara sah!
Tetapi itu adalah topik lain yang akan saya cuba huraikan secara lebih terperinci menerusi makalah yang lain pula.
Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’. Beliau memblog diwww.uthayasb.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa