PKR mendakwa Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah memperolehi lebih banyak "durian runtuh" tambahan menerusi urusniaga penjualan tanah yang didakwa tidak didedahkan kepada Bursa Malaysia.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa, ia merupakan tambahan kepada bayaran RM130 juta oleh syarikat Boustead Holding Bhd kepada syarikat Awan Megah Sdn Bhd yang dimiliki Raja Ropiaah itu.

Menurut Rafizi dakwaan itu adalah berdasarkan penelitiannya terhadap dokumen satu syarikat yang dinamakannya sebagai Bakti Wira Sdn Bhd dengan dokumen syarikat Awan Megah Sdn Bhd  dan juga dokumen syarikat Astacanggih Sdn Bhd yang dimiliki saudagar permaidani, Deepak Jaikishan.

Rafizi mendakwa, beliau menyaksikan dokumen berkenaan pagi ini dalam kapasitinya sebagai seorang pemegang saham minoriti.

Rafizi mendakwa, Bakti Wira merupakan anak syarikat Boustead Holdings Berhad yang dimiliki secara langsung oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi pihak berkaitan berhubung dakwaan berkenaan.