Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, February 27, 2013

Ugutan Vell Paari: Perkasa Pula Cuba Jadi Batu 'Api'

Kita tengok apa kesudahannya

Ridhuan Tee tidak perlu minta maaf, Vell Paari mahu raih populariti, kata Perkasa
OLEH MD IZWAN
FEBRUARY 27, 2013
KUALA LUMPUR, 26 Feb — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mempertahankan kenyataan Dr Ridhuan Tee Abdullah (gambar) dalam akhbar Sinar Harian, serta menegaskan penceramah bebas itu juga tidak perlu meminta maaf.
Sebaliknya, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali membidas S Vell Paari kerana menurutnya pemimpin MIC itu hanya cuba meraih populariti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.
Syed Hassan menegaskan, suara Vell Paari tidak mewakili keseluruhan masyarakat India di Malaysia malahan anak bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu itu juga jelasnya adalah liabiliti kepada Barisan Nasional (BN).
“Kritikan oleh Vell Paari ini bukan sesuatu yang baru, beliau juga sering mengkritik presiden kami Datuk Ibrahim Ali.
“Bagi Perkasa, kami lihat Vell Paari ini cuba meraih populariti, memandangkan beliau sudah tenggelam dalam partinya dan dianggap sebagai liabiliti kepada BN,” kata Syed Hassan yang dihubungi The Malaysian Insider.
Syed Hassan turut mempertahankan kenyataan  Ridhuan Tee memandangkan sesetengah perkara yang disentuhnya dalam artikel tersebut mempunyai kebenaran sambil memberi amaran kepada Vell Paari supaya tidak mencabar kesabaran masyarakat Melayu.
“Kata-kata Dr Ridhuan Tee tersebut ada kebenarannya, kita lihat Vell Paari seorang sahaja yang bersungguh-sungguh mendesak tetapi pemimpin lain tidak pun.
“Malahan ada pemimpin masyarakat India yang rapat dengan Perkasa juga sudah menasihati kepimpinan supaya tidak menghiraukan Vell Paari, kerana suara beliau sudah tidak  penting lagi,” tambah Syed Hassan.
Apabila ditanya sama ada gesaan Ridhuan Tee supaya meminta maaf ke atas tulisan artikelnya tersebut, Syed Hassan menegaskan tidak perlu untuk tokoh pendakwah tersebut lakukan sedemikian.
“Tidak perlu untuk Dr Ridhuan Tee minta maaf,” tambah Syed Hassan.
Dalam pada itu, Perkasa juga memberikan amaran kepada Vell Paari dan pemimpin masyarakat India daripada kem pembangkang supaya berhenti menggunakan taktik “menggugut” menggunakan isu sensitif bagi memancing undi pada pilihan raya nanti.
“Jangan cuba menggugut ataupun mencabar.
“Perkasa tidak pernah menggunakan taktik menggugut untuk menarik sokongan pengundi. Jangan cuba mengguris hati atau menggunakan isu sensitif,” gesa Syed Hassan.
Ridhuan dalam artikel bertajuk “Kesabaran Umat Islam ada had”, bertarikh 18 Februari lalu, menyatakan masyarakat India di Malaysia juga tidak sensitif terhadap perasaan Muslim di negara ini.
Antara kenyataan lain Ridhuan Tee yang menyentuh perkara sensitif masyarakat India adalah patung masyarakat India yang kelihatan semakin banyak selepas Pilihan Raya 2008.
Ridhuan juga turut mengkritik parti komponen BN tersebut yang mana dikatakan jahil memahami budaya masyarakat Islam kerana mahu filem kontroversi Vishwaroopam yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri diteruskan.
Vell Paari dan pemimpin MIC kemudiaannya membidas kenyataan Ridhuan Tee serta menggesa Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel mengambil tindakan ke atas Ridhuan Tee kerana menghina agama Hindu, atau pengarah strategi parti tersebut akan meminta pengundi masyarakat India menentang BN.
Dalam surat terbuka kepada Palanivel, Vell Paari berkata isu ini mesti dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein bertindak ke atas pendakwah Islam itu, dan juga presiden Perkasa, Ibrahim Ali.
Sinar Harian bagaimanapun pada 22 Februari lalu telah meminta maaf atas penyiaran rencana provokatif tulisan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Ridhuan Tee tersebut.
Permohonan maaf itu disampaikan oleh Penasihat Editorialnya, Datuk Abdul Jalil Ali di hadapan kira-kira sepuluh penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati dengan rencana itu dan berhimpun di pintu masuk pejabat Karangkraf pada minggu lalu.

1 comment:

  1. ni mcm nak buat 'ops lalang' je. Dorang gaduh sama dorang yg masuk lokap org lain.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa